Anggun dalam persalinan baju kebaya dan kain batik sarung tradisional, penyanyi Ushera Yusof melancarkan album bertajuk 'Semalam di Malaya' baru-baru ini.
Berbeza dengan album lain di pasaran, Semalam Di Malaya menampilkan muzik kontemporari ketika era prakemerdekaan iaitu sekitar tahun 1940an dan 1950an.
Menurut Warner Music, penyumbang utama dalam album ini adalah Ganesh Bala, pemain piano Ushera sepanjang lima tahun pembabitannya dalam bidang muzik, merangkap komposer, penyusun lagu dan penerbit.
Mereka mengambil masa selama tujuh bulan untuk menyiapkan album tersebut yang mengandungi sebelas lagu klasik dalam irama orkestra, Latin, muzikal dan Jazz.
Semalam Di Malaya juga mengetengahkan semula bintang-bintang legenda seperti Ahmad Jaafar dan Osman Ahmad yang bertanggungjawab menulis lagu-lagu dan karya-karya indah buat vokalis tersohor termasuk Nona Asiah dan Kamsani.
Di antaranya adalah Bunga Raya, Dunia Asmara, Jikalau Abang Merindu, lagu rancak Polynesia Mambo dan lagu Chuchi Kain Chuchi Mata yang kesemuanya dinyanyikan di dalam gaya asli.
Meskipun ia masih mengekalkan keaslian bunyi audio klasik tanpa mengubah melodi dan sususan muzik yang asli, teknologi moden masih digunakan.
Ini bagi memberi pengalaman sinematik kepada pendengar, bagaikan menyaksikan sebuah persembahan konsert di dalam dewan.
Kaji wanita di zaman dulu
Menurut Ushera, dia amat berhati-hati untuk tidak mengubah terlalu banyak versi asal lagu-lagu yang dirakamkan kerana komposisi karya-karya tersebut sudahpun begitu indah.
Tambahnya, melalui projek ini dia belajar mengenai sejarah Tanah Melayu dan faktor menjadikannya begitu istimewa seperti pertembungan budaya sehingga terbentuk acuan muzik Malaya.
"Saya mengkaji tentang wanita di zaman itu serta perilaku mereka dan cuba untuk membawa ciri-ciri ini di dalam persembahan saya.
"Yang lebih penting, saya juga belajar untuk menyanyi dengan lebih baik. Lagu-lagu klasik Melayu bila didengar bagaikan mudah untuk dinyanyikan tetapi ia tidak seperti yang disangkakan," katanya.
Album ini akan turut diancarkan di Brunei pada Disember depan.
Ia boleh didapati menerusi iTunes , Spotify dan saluran streaming musik utama, manakala pembelian boleh dilakukan secara atas talian di laman web www.semalamdimalaya.com.
