Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Melihat keseriusan dipamer pada wajah pengarah U-Wei Saari, mungkin tidak siapa menyangka lelaki itu sebenarnya sering mengalah dengan arwah isterinya suatu ketika dulu.

Menurut U- Wei jika timbul perselisihan faham, setiap kali itu dia akan ‘memenangkan’ Diana Gail sebagai tanda kasih dan sayangnya kepada wanita itu.

“Anda tidak boleh berkata tidak kepada isteri. Tiap kali timbul perselisihan faham sepertinya saya yang akan mengalah dengan arwah isteri,” katanya yang ditemui pada sidang media memperkenalkan poster raksasa filem Hanyut di Kuala Lumpur kelmarin.

Bercerita lanjut mengenai Diana, ketika hayatnya wanita itu pernah menghadiahkan tiga novel kepada U-Wei. Dua daripadanya berakhir sebagai filem iaitu Barn Burning (Kaki Bakar) 1996 dan Almayer’s Folly (Hanyut) 2016.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Diana 62, ditemui mati di perairan sebuah pantai di Alameda, California, Amerika Syarikat setelah tujuh hari dilaporkan hilang.

Beberapa hari selepas media melaporkan kehilangan Diana, U-Wei menulis catatan di laman Facebook: “I love you usah (gail).”

Hanyut yang akan menemui penonton pada 24 November depan dibintangi antaranya Adi Putra, Diana Danielle, Sofea Jane, Khalid Salleh, Bront Palarae selain turut menampilkan beberapa pelakon antarabangsa.

U-Wei berkata, hatinya berkenan untuk mengadaptasi novel Almayer’s Folly - ditulis Joseph Conrad - kerana jiwanya dekat dengan tema pengasingan.

“Ia menggunakan konsep keterasingan, iaitu orang tidak kena tempat seperti Zaleha dalam Perempuan Jalang (Tajuk filem itu ditukar kepada Isteri, Perempuan dan …), Kakang dalam Kaki Bakar dan Zaitun dalam Buai Laju-laju.

“Selain itu, apabila baca novel itu, penulis tidak memahami perempuan Melayu, saya juga begitu, tetapi tidak faham itu indah,” ujarnya berseloroh.

'Mereka tak tahu cerita sebenar'

Hanyut berdepan banyak dugaan seperti beberapa kali rancangan menayangkannya terbantut sejak penggambaran selesai pada 2012 selepas dimulakan dua tahun sebelumnya.

Filem itu mengambil masa 10 tahun sebelum boleh diterbitkan, menelan belanja sebanyak RM18 juta selain dikatakan membazirkan wang kerajaan.

Media melaporkan, U-Wei pernah memohon tambahan RM2 juta daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) bagi tujuan promosi, namun tidak diluluskan.

Bagaimanapun, U-Wei menafikan dakwaan itu dengan menegaskan ia bukan seperti diperkatakan malah tidak pernah merungut.

“RM18 juta untuk produksi saja adalah duit yang dikumpulkan, geran dari tempat lain dan dipinjam.

"Finas melabur RM2 juta saja. Yang cakap itu duit rakyat jaga-jaga mereka tidak tahu cerita sebenar. Saya tidak dapat bajet filem nasional, saya tidak bising pun,” katanya.

Lihat Komen
ADS