Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Tugas seseorang artis bukan setakat menghiburkan masyarakat semata-mata tetapi perlu mempunyai kebijaksanaan dan kemampuan berfikir, kata penulis lirik terkenal Habsah Hassan.

Habsah berkata, seseorang artis akan dianggap mempunyai pakej yang lengkap sekiranya memiliki tahap pemikiran berkualiti, selain menjadi tiket untuk kekal lama dalam industri.

"Perlu ada artis pakai otak. Berhibur tetap berhibur tetapi kena bijak jugalah. Kalau tiada kebijaksanaan, nanti orang suruh menyanyi sekadar mampu berbuat demikian dan bergoyang saja,” katanya kepada Malaysiakini.

Habsah, 66, ditemui di pejabatnya di Damansara baru-baru ini.

Dilahirkan di Johor, Habsah seorang pencipta lirik terkenal lagu-lagu Melayu dan juga penulis skrip tanah air.

Antara karya dihasilkan anak kacukan Melayu dan Cina itu yang pernah memenangi anugerah termasuk Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon, Aku Kehilangan Mu didendangkan Francisca Peter,  Merisik Khabar (Sudirman) dan Ku Seru (Misha Omar).

Apabila berbicara mengenai industri hiburan, Habsah pasti tidak lekang daripada menyebut nama Allahyarham Sudirman.

Bagi Habsah, Sudirman layak diangkat sebagai rujukan zaman bagi artis pada masa kini.

Suatu ketika dulu, Habsah atau lebih mesra disapa Kak Chah adalah antara individu yang pernah meraih pengalaman bekerja dengan penyanyi kesayangan ramai itu.

Sudirman sebagai rujukan

Sudirman nama yang masih terpahat di ingatan ramai biarpun sudah lebih dua dekad berlalu sejak pemergiannya.

Anak Temerloh Pahang itu ketika hayatnya memang cukup terkenal dengan sikap merendah diri dan patriotik malah gelagatnya di atas pentas sering menjadi tumpuan.

Hingga kini, Habsah akur dia sebenarnya sukar untuk membandingkan mana-mana artis seperti ikon negara yang telah pergi buat selama-lamanya itu.

Katanya, keistimewaan Sudirman yang pernah menyandang gelaran sebagai Penghibur Nombor Satu Asia itu terserlah sisi kebijaksanaannya dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai artis.

“Kelebihan Sudirman adalah dia begitu komited dalam setiap pelaksanaan tugas dilakukan.

“Dia bijak mengeluarkan idea selain mahu terbabit sama dalam segala hal berkaitan persembahan seperti pemilihan pakaian, peralatan dan juga koreografi.

“Sudirman juga pandai menulis dan berkomunikasi dengan sesiapa saja,” katanya.

Penghibur tiada ganti

Penonton yang menyaksikan persembahan Sudirman pula kebiasaannya pasti seakan-akan terpaku di kerusi, kata Habsah. Ternyata atas alasan itulah, Sudirman sememangnya layak digelar sebagai penghibur tiada ganti.

“Setiap bait lagu dan kata-kata disampaikan dalam persembahan membawa makna tersendiri.

“Beliau seolah-olah rapat dan tahu kehendak penonton, maka tidak kiralah semua budak-budak dan dewasa terdiri dari pelbagai kaum turut meminatinya," ujarnya.

Walaupun nampak hebat, menurut Habsah Sudirman masih mempunyai beberapa kelemahan tetapi perkara itu dapat diatasi olehnya.

“Beliau mampu memperbaiki kekurangan diri dengan baik.

“Perkara seperti itu harus dimiliki oleh seorang penghibur selain turut menjadikan ia contoh untuk lebih maju ke hadapan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS