Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam dunia perfileman Tamil, tema politik kerap menjadi latar untuk diangkat ke tengah khalayak. Bezanya, cerita politikus jahat jarang ditembungkan sekali dengan politikus baik bagi mewujudkan dialektika realiti.

Kebiasaannya dihidupkan watak hero dari luar seperti anak muda terpelajar. Misalnya dalam filem Sivaji The Boss. Menyentuh langsung pertembungan politik kepartian didasari prinsip dan maruah - seingat saya - tiada.

Ketika meninjau cuplikan filem baru bertajuk Kodi, keinginan menonton dialektika realiti itu melonjak-lonjak, sekalipun tidak ditunjangi pelakon cantik dan terkenal seperti Samantha Ruth Prabhu atau Rajinikanth.

Lantas masa diatur sebaiknya agar punya masa sekitar tiga jam untuk menghadam naskhah baru arahan R S Durai Senthilkumar ini, babak demi babak.

Kodi bermula dengan seorang lelaki pekak dan bisu, juga merupakan anggota parti pembangkang yang teruja menyiapkan pentas ceramah pemimpin partinya. Sebaik ceramah berakhir, isterinya dikhabarkan selamat melahirkan kembar lelaki.

Gembira dengan kelahiran tersebut, si ayah membawa pasangan kembar ke pemimpin nombor satu parti. Di sinilah si kembar pertama beroleh nama - Kodi, bermaksud panji - dengan hasrat besar mahu anak itu menjadi panji negara.

Si adik pula kemudian dinamakan Anbu, ditunjuk untuk berkhidmat kepada keluarga.

Membesar di lingkungan parti politik yang bertahun didokong ayahnya, Kodi amat meminati pidato politik, malah sangat digalakkan si ayah.

Cacat anggota badan

Dalam menekuni minat tersebut, Kodi berkonfrontasi panjang dengan seorang gadis cilik parti pemerintah dan merupakan bakat yang lebih kurang sama umur dengannya, Rudra.

Kesetiaan si ayah kepada parti pada awalnya ditanggap hanya bersandarkan taasub kepada pemimpin semata-mata. Telahan itu nyata silap dengan satu peristiwa awal yang penting dan menjadi asas perkembangan cerita.

Dalam satu temu rapat, pengerusi parti pembangkang membongkar operasi sebuah kilang menghasilkan sisa buangan berbahaya seperti raksa yang dilepaskan ke tanah dan saliran. Kesan buruk jangka masa panjang bahan itu ialah kecacatan anggota bagi yang bergantung hidup pada sumber saliran dan tanah untuk bercucuk tanam.

Mendengar penerangan tersebut, si ayah menggigil menahan amarah. Demonstrasi bantahan mendesak penutupan kilang disusun dan si ayah memimpin anak kebanggaannya, Kodi di tengah-tengah unjuk rasa.

Mulutnya bising memaki hamun para penguat kuasa yang mengawal dan pengurusan kilang celaka. Setelah beberapa ketika, pemimpin parti mengarahkan demonstran bersurai.

Si ayah tidak setuju bersurai. Kesan jangka panjang diakibatkan kilang tersebut pada hematnya terlalu berat untuk hanya bersurai dengan demonstrasi separuh hari. Matanya melingas ke kira dan ke kanan mencari sesuatu. Akhirnya beliau mengambil tong berisi minyak dan mengetuknya kuat, menggamit perhatian rakan-rakan demonstran.

Dengan tidak semena-mena si ayah mencurahkan minyak ke kepala. Tanpa sempat dibantah anak dan rakan-rakan lain, si ayah menyalakan api dan langsung membakar tubuh.

Ia adalah tindakan nekad bagi menuntut perubahan segera. Meraung-raung si anak melihat ayah hangus dijilat api. Tragedi 'kamikaze' itu menjadikan kilang ditutup serta-merta.

Kodi mendewasa menjadi pemimpin tempatan yang banyak berjasa. Namanya disebut ramai orang. Dengan khidmat dan tingkah yang menyenangkan, Kodi berhasil memimpin sayap muda parti pembangkang.

Pada ketika sama, Kodi dan Rudra berpacaran dalam senyap. Pergaduhan kecil awalnya telah menambat hati teruna dan dara untuk memintal kasih. Rentetan blok politik bertentangan dan masing-masing mempunyai pengaruh dalam parti, mereka memilih untuk merahsiakan hubungan.

Anbu, pensyarah yang rapat dengan seorang aktivis sosial, telah menemukan Kodi dengan sebuah pusat perubatan menempatkan anak-anak cacat anggota. Di situlah pecah berita bahawa kilang yang telah memutus nyawa ayah mereka dahulu masih belum ditutup sepenuhnya.

Tabur janji politik

Walau pagar depan tertutup rapat, operasi dalam kilang masih berjalan dan sisa-sisa buangan berbahaya terus tersalir dan menjadi punca kecacatan anak-anak di situ.

Kodi yang berang terus telah mengambil tindakan drastik. Tatkala pusingan awal kempen pilihanraya MLA (perwakilan peringkat negeri), Kodi menerima laporan lengkap operasi kilang tersebut dan proses kelulusan yang dijalani.

Malangnya, pemimpin partinya sendiri bersekongkol dengan tidak menghentikan operasi walau dahulu kemenangan MLA adalah atas undian protes kepada parti pemerintah.

Bantahan dibawa secara undang-undang hingga mengundang ketidakselesaan pimpinan parti pembangkang. Kodi dipanggil dan beliau membentangkan semua bukti penyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa depan pimpinan tertinggi.

Pengerusi parti berjanji kononnya akan menyelesaikan kes tersebut kemudian dan meminta Kodi untuk tidak mengganggu proses pilihan raya yang sedang berjalan.

Kodi yang kecewa telah meluahkan segalanya pada kekasih hati. Rudra yang ketika itu telah berjaya melobi untuk dipilih sebagai calon MLA mewakili parti pemerintah, telah menjadikan luahan Kodi sebagai 'peluru' menembak parti pembangkang dalam satu ceramah politik. Keadaan tersebut ibarat halilintar buat parti pembangkang dan Kodi telah dituduh cuba mensabotaj parti sendiri.

Bagi menutup mulut Kodi dan tidak terus mendedahkan isu operasi kilang haram, parti pembangkang akhirnya memilih Kodi sebagai calon pilihanraya MLA.

Sifir mereka, Kodi sebagai calon, tentu tidak akan mahu membuka pekung dan menjejaskan undian terhadapnya nanti. NAmun sifir itu ternyata silap.

Kesan buruk sisa buangan kilang haram telah merebak dan menjadi sensasi di media-media sosial. Kodi akhirnya memilih berdepan dengan media dan menjelaskan sejujurnya langkah-langkah awal yang telah dibuat untuk membantah operasi kilang.

Desak akur kehendak parti

Sebaik pengakuan dibuat, sokongan kepada Kodi naik mendadak berdasarkan faktor integriti - melawan sekalipun kesalahan orang partinya sendiri - dia langsung meninggalkan calon parti lawan, Rudra yang dirundung malu apabila percintaannya dengan Kodi terdedah kepada ahli dan pimpinan parti pemerintah.

Rudra yang tertekan telah setuju berjumpa Kodi bagi menyelesaikan konflik antara mereka. Ketika saling menyalahkan, mereka diserang sekumpulan pembunuh upahan.

Kodi yang bermati-matian menahan libasan parang dan pedang akhirnya - dengan tidak beliau sangka - dibunuh kekasih yang amat dicintai. Mahu bebas daripada bayangan Kodi, Rudra beralasan itu sahaja satu-satunya cara untuk dirinya naik dalam politik!

'Politaik' Rudra mengundang dendam yang tidak sedikit kepada Anbu. Bezanya, Anbu ketika itu tidak tahu identiti pembunuh abangnya. Rudra memaklumi bahawa beliau tidak akan memenangi pilihan raya MLA, telah melobi sekali lagi pimpinan parti.

Namun naratifnya berbeza. Beliau melobi untuk mencalonkan Anbu sebagai calon parti pemerintah dengan hujah, undi simpati kepada Kodi bakal memenangkan parti pemerintah.

Congakan 'politaik' Rudra nyata berhasil dan Anbu memenangi pilihanraya MLA. Sebagai imbalan, Rudra berterus-terang dengan pimpinan tertinggi partinya untuk menjadi anggota parlimen (MP).

MP Rudra dan MLA Anbu kini memasuki ruang pertembungan dalaman parti, dengan aspirasi bertentangan.

Anbu meneruskan perjuangan abang dan ayahnya, menutup operasi kilang walau tidak didokong parti. Rudra terus memujuk Anbu untuk akur pendirian parti.

Kemuncak pertembungan apabila Anbu telah memanfaatkan media sosial dan YouTube untuk mengumpulkan ribuan anak muda turun ke jalan raya mendesak penghentian operasi kilang serta-merta. Strategi itu berjaya dan jalur pertembungan Anbu-Rudra semakin jelas dan menebal.

Misi Anbu mencari dalang yang membunuh abangnya berakhir jua dengan pengakuan Rudra. Walau cuba memadamkan semua bukti, usaha Rudra menemui jalan buntu dan mengaku setelah hampir membunuh adik angkat dan menculik ibu kepada Kodi dan Anbu.

Nah, filem hebat ini mengajar kejujuran berprinsip dan 'politaik' yang menjahamkan. Parti adalah wahana untuk semua orang - sama ada jahat atau baik - turun tangan berpartisipasi membina negara.

Kejujuran dan ketulusan perjuangan bukan diukur daripada parti mana diwakilinya semata-mata, tetapi dinilai sejauh mana seseorang ahli politik berlaku jujur dan kekal berprinsip sebelum dan selepas berkuasa.

Kodi mengajar kita mengenali tokoh 'politaik' dan mengajak untuk menolak mereka.


SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN naib ketua pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lihat Komen
ADS