Tampil dengan rupa hodoh bukan penghalang buat pelakon dari Indonesia Nicholas Saputra untuk menjayakan watak diberi.
Dalam filem terbaru dilakonkan - Interchange - tawaran disahut memerlukannya kelihatan jauh dari rupa asal.
Ia mungkin nampak jelek pada mata umum, tetapi Nicholas berkata dia tetap teguh menjiwai Belian - semangat haiwan yang menjelma dalam bentuk separuh manusia.
"Matlamat utama saya adalah untuk menghidupkan watak Belian dengan berkesan.
"Walaupun ia menyebabkan kegatalan pada kulit (kostum) dan tidak selesa, tetapi saya perlu mempercayai karakter selain menyesuaikan diri dengan rupa itu sepanjang penggambaran,” katanya.
Nicholas ditemui pada sidang tontonan media di Pavillion Kuala Lumpur semalam. Turut hadir barisan pelakon yang menjayakan Interchange seperti Shaheizy Sam, Iedil Putra, Prisia Nasution, Nadiya Nisaa dan Chew Kin termasuk pengarah Dain Iskandar Said.
Filem yang bakal menemui penonton pada 1 Disember itu mengisahkan Adam (Iedil), jurufoto forensik mengalami halusinasi.
Dia menyertai rakannya Dektektif Man (Shaheizy Sam) untuk melakukan siasatan pembunuhan bersiri. Dalam pada itu dia bertemu Iva (Prisia), pawang yang ditemani semangat haiwan, Belian.
Menurut Nicholas, dia bebas daripada menjadi pelakon yang taksub dengan penampilan bergaya di sepanjang masa.
Kata pemain layar berdarah kacukan Jerman-Indonesia itu, sebelum Interchange, dia berjaya menghapus imej Rangga yang biasa dilihat dalam Ada Apa Dengan Cinta dan tampil pada sisi berbeza dalam beberapa filem diterajui.
“Langsung tidak pernah terlintas di fikiran untuk menerima sesuatu watak hanya kerana penampilan.
“Kalau anda melihat filem lain yang pernah dilakonkan, saya pernah bawa watak koboi gagal dan selekeh dalam Postcards from the Zoo (2012).
“Manakala dalam What They Don’t Talk About When They Talk About Love (2013), saya menjadi Edo si bisu dan pekak,” katanya.
Awal datang, lewat pulang
Sungguhpun begitu, Nicholas turut berdepan beberapa cabaran lain untuk merealisasikan watak Belian.
Katanya, dia sama ada menjadi individu terawal tiba ataupun paling lewat yang meninggalkan lokasi.
“Untuk tampil lengkap dengan kostum haiwan itu, kadang-kala ia memerlukan 4 hingga 6 jam sehari seperti datang pada pukul 4 pagi jika penggambaran bermula pukul 8,” katanya.
Selain itu, karakter Belian juga memerlukan Nicholas bertutur menggunakan bahasa kaum Kenyah.
“Seorang guru akan melatih saya menggunakan bahasa Kenyah.
"Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana ekspresi boleh digunakan dalam menggayakan bahasa itu begitu terhad.
“Ia bukan seperti bahasa lain yang lebih mudah untuk dituturkan,” katanya.
