Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Buku Harry Potter rawat hati si cilik dari Syria
Diterbitkan:  Nov 25, 2016 5:35 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Hadiah novel Harry Potter yang diberikan penulis terkenal JK Rowling sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan ditanggung seorang kanak-kanak Syria berusia tujuh tahun.

Menerusi akaun Twitter @alabedbana, Bana Alabed memuat naik gambar dia memegang plakad berserta ucapan buat Rowling.

“Apa khabar kawanku @jk_rowling? Terima kasih untuk buku, sayang kamu dari #Aleppo - Bana,” katanya.

Bana tinggal bersama ibu, bapa dan dua adik lelaki di sebuah rumah di Aleppo, Syria.

Tweet Bana ditulis menggunakan bahasa Inggeris dengan dibantu oleh ibunya, Fatemah yang merupakan seorang guru.

Ia bertujuan untuk berkongsi maklumat mengenai perjuangan dan penderitaan dihadapi mereka di kediaman di Timur Aleppo yang dikuasai pemberontak.

Bana pernah menyatakan dia menghabiskan masa dengan membaca buku, di tengah-tengah tragedi peperangan yang tidak lekang daripada serangan bom dan kematian setiap hari.

Katanya, dengan cara itu dia dapat ‘melupakan' peperangan walaupun sejenak.

Aleppo terbahagi menjadi dua bahagian iaitu bahagian barat dikawal pemerintah dan timur dikuasai pemberontak sejak 2012.

Kehidupan seharian menjadi semakin sukar dan mundur untuk penduduk Aleppo. Menerusi Twitter, Bana merintih mengenai serangan bom dan kekurangan bekalan makanan yang terpaksa ditempuhi mereka.

Setakat semakan Malaysiakini hari ini, jumlah pengikut akaun twitter Bana mencecah hingga 98 juta.

Terdahulu, Fatemah memberitahu Rowling melalui Twitter bahawa Bana telah menonton filem Harry Potter dan anaknya itu berhasrat untuk membaca naskhah yang dihasilkan.

Rowling kemudian memberi respon selain menghantar beberapa salinan novel kepada Bana.

Dalam wawancara bersama BBC bulan lalu, Fatemah berkata anak perempuannya begitu menginginkan dunia “mendengar” suara mereka.

“Ibu kenapa tiada orang yang datang membantu kita?,” katanya.

Jangan terkejut, jika membaca tweet Bana terdapat beberapa gambar yang sadis dan menyayat hati.

Bagaimanapun, menurut Fatemah, anaknya itu sudah sudah terbiasa dengan keadaan seperti itu.

“Dia pernah melihat kawannya terbunuh, dan rumah kami dibom. Dia juga melihat sekolahnya dibom. Hal itu benar-benar menjejaskannya,” katanya.

 

 

Lihat Komen
ADS