Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! gagal, membosankan?

Judul dan filemnya jelas lebih terarah kepada kanak-kanak tetapi watak animasi yang digemari itu hanya muncul kira-kira selepas 20 minit tayangan berlangsung.

Apa sudah jadi dengan Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! agaknya?

Lakonan penyanyi rock Awie, Remy Ishak dan Puteri Balqis sebagai watak hidup pula didakwa menenggelamkan karakter utama filem berkenaan, Upin dan Ipin.

Elemen watak hidup dan animasi digabungkan itu dilihat tidak bersesuaian untuk golongan kanak-kanak sehingga pada ketika tertentu ia menimbulkan kebosanan di dalam panggung.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Media Baru dan Perhubungan Awam Les’ Copaque Production Sdn Bhd Mohd Zarin Abdul Karim, kemudian tampil membuat penjelasan.

Katanya, untuk filem yang mengetengahkan gabungan dua elemen berbeza, penonton tidak boleh membandingkannya dengan karya terdahulu yang sepenuhnya menggunakan animasi.

“Penonton perlu memahami karya ini menggunakan konsep gabungan.

“Jika naskhah itu hanya memfokuskan animasi semata-mata maka watak itu akan muncul pada awal jalan cerita.

“Tetapi untuk filem gabungan animasi dan watak sebenar, perlu ada kerangka penceritaan dibuat satu persatu,” katanya kepada ketika dihubungi.

Menurutnya, tujuan menggabungkan watak hidup dan animasi adalah untuk meraih lebih banyak pasaran dan tidak bertumpu hanya satu kelompok.

Demi masa depan

Dengan cara itu, katanya, peringkat umur yang boleh menonton Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! adalah lebih meluas.

“Ada orang dewasa suka menonton watak Awie, Remy atau Balqis manakala kanak-kanak pula Upin dan Ipin, jadi sasaran penonton kami tidak terhad.

“Bagi golongan yang menunggu animasi penuh, kami sedang menyiapkan naskhah berkenaan dan ia dijangka siap pada tahun depan,” katanya.

Hasil kutipan panggung Upin & Iping Jeng Jeng Jeng! pada hari pertama filem itu ditayangkan 24 November lalu hampir mencecah RM500,000 untuk semenanjung, Sabah, Sarawak dan Brunei.

Menurut Mohd Zarin, produk tempatan yang menjadi kebangaan negara itu juga mendapat tempat paling banyak ditayangkan oleh pempamer iaitu sebanyak 121 panggung.

Mengakui dia sendiri turun padang untuk menyaksikan sambutan pada hari pertama filem itu ditayangkan di Alamanda di Putrajaya, Mohd Zarin berkata sambutan amat menggalakkan.

Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! dijangka akan mula menembusi pasaran Indonesia pada bulan depan manakala Singapura masih dalam perancangan.

Katanya, untuk memastikan kejayaan naskhah Upin dan Ipin yang seterusnya, Les’ Copaque mengambil berat pandangan dilontarkan umum.

“Saya sendiri mengumpul maklumat dan respon diberi oleh penonton, menerusi kaedah itu, kami dapat pastikan kelangsungan karya ini di masa depan.

“Cuma satu harapan saya, mari tengok dulu Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng!, bagi peluang dahulu kerana ia filem yang berbeza daripada sebelumnya dan jangan terus menghukum buat yang belum menonton,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS