Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Dalam industri muzik, kumpulan ini bukan asing. Mempunyai bekas vokalis dan gitaris Jinbara, Khalifah mencetuskan kelainan tersendiri ketika bersurah tentang seorang Cikgu Ayu, dan meratib panjang dalam Hang Pi Mana.

Hasilnya, jutaan peninjau 'mengerumuni' mereka di YouTube.

Dengan bahasa yang mudah serta muzik yang menggoyangkan kepala, tidak sukar untuk lagu-lagu tersebut menjadi siulan anak-anak muda.

Bertajuk Assalamualaikum Ustazah, kolaborasi Yabang dan Harry ini masih mengekalkan muzik rancak dan 'boleh layan'.

Liriknya seakan-akan terbit dengan spontan, langsung membius akal dan perasaan. Mungkin pertama kali 'ustazah berpurdah' menjadi subjek dalam sesebuah lagu semenjak era Mas Mona dan Siti Haida dendangan Datuk Jeffrydin, hinggalah populariti memuncak lagu-lagu tangkap lentok era 80-an dan 90-an seperti Isabella dan Tiara.

Rangkap pertama memberikan luncuran awal kepada mesej besar yang mahu ditelusur Khalifah dalam Assalamualaikum Ustazah:
Tertunduk-tunduk
tumpang minggir bu
itu suara merdu didengariku
.

Tingkah sopan - walau sekecil mana - tetap menggamit perhatian manusia lain.

Ia kemudian disempurnakan pada rangkap kedua:
Cuba kulihat siapa itu
bertudung labuh baju berwarna biru.

Daripada lirik itu terzahir keterampilan dan perawakan sempurna subjek yang sedang dicerita.

Memasuki rangkap ketiga dan keempat, penulis lirik mula memerihalkan pesona sang ustazah.
Ustazah baru di sekolahku
menjadi buah mulut kawan-kawanku.
Ada perasan juga berangan
pada ustazah
ada yang gila bayang.

Aduh, penasaran! Kesantunan yang menjadi bualan, langsung memanah hati ramai orang. Boleh jadi hingga terbawa-bawa dalam mimpi.

Tatkala sampai ke tingkat gila bayang, maka bersua muka (bukan swafoto) pastinya tidak mampu ditahan-tahan.

Kujumpa dia
kutanya dia
ustazah siapa nama
Kenapa dia jadi cerita
semua kawan-kawanku.

Luar biasa. Tidak larut dengan kawan-kawan yang angau, si 'aku' pantas bertemu empat mata dan bersahaja melontar pertanyaan.

Persis si teruna yang nekad berdepan ayah si gadis untuk disunting sebagai suri hati. Berani dan objektif. Kualiti pencinta yang kian pupus di pasaran.

Tidak habis di situ, keterujaan pendengar digarap kemas dengan jawapan sang ustazah.

Hanya suara dia berkata
tidak berpandangan mata.
Tunduk di meja wajah berpurdah
Siti Fatimah namanya.

Aduhai ustazah, jual mahal! Lembut dan tekal memelihara nilai diri. Mengelak berpandangan mata dan tunduk di meja, boleh sahaja dihukum "kolot". Tidak sosial, kata orang sekarang. Terserah.

Pokoknya sampai ke rangkap ini, telah terbayang-bayang wajah berpurdah yang dimaksudkan! Eh, kalau terus ditundukkan pandangan, bagaimana butiran empunya nama boleh diketahui?

Dua rangkap akhir lagu menyimpul mati keindahan tulen yang diheboh-hebohkan. Seolah-olah mahu merakamkan inti tunjang di sebalik magnet berpurdah dan tahap kegilaan orang-orang yang meminati dirinya.

Indah namanya
juga tingkahnya
memang menjadi bualan di sini sana.
Kiriman bunga
penuh di meja
ucap assalamualaikum ustazah.

Akhlak terpuji nyata menjadi elemen tunggal "Ustazah Siti Fatimah" didamba sekalian orang. Mesej besar ketika dunia menggilai seseorang - wanita dan lelaki - melalui keelokan paras rupa.

Menyanggahi populariti lazim daripada ciri fizikal semata-mata, si ustazah berpurdah menjadi fenomena. Soalnya, wujudkah obsesi pada akhlak baik semata-mata di alam nyata?

Jawapannya ada pada kita.


SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional

Lihat Komen
ADS