Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kalau diperhatikan kelibat kumpulan Senario yang tiba-tiba dilihat menyepi sejak tiga tahun lalu mencetuskan tanda tanya, namun di sebalik kejadian itu aturan Allah Taala memang 'cantik.’

Selepas ditamatkan kontrak dari stesen TV3 pada 2014, kumpulan yang pernah menjadi pelawak nombor satu negara menerusi sitkom Senario itu dispekulasikan sudah tidak aktif lagi.

Namun, Senario yang dianggotai oleh Mohd Azlee Jaafar, Abdul Wahid Mohd dan Mazlan Ahmad sebenarnya memberi laluan kepada penerbitan animasi Senario Toons dalam memperluaskan jenama mereka.

“Alhamdulillah, tengoklah keadaan sekarang, sungguh cantik percaturan ditentukan Allah untuk kami satu persatu.

“Semasa nama Senario sedang meningkat, sitkom menjadi fokus utama malah kami tidak mahu dilihat tamak kerana ingin membolot pelbagai cabang seni pada masa yang sama.

“Meskipun kontrak sudah lama berakhir kami masih berpeluang mengubati kerinduan terhadap peminat kerana nak beraksi pelik-pelik atas pentas sekarang malu, jadi kami gunakan kaedah ini,” katanya.

Wahid, 41, ditemui pada majlis pelancaran muzik video SenarioToons dan SenarioToons Digital di Petaling Jaya, Selangor semalam. Seorang lagi anggota Senario yang turut hadir adalah Azlee.

SenarioToons adalah sebuah rancangan animasi bersiri diadaptasi daripada kumpulan Senario, ia ditayangkan pada slot Bananana di TV3 sejak tahun lalu.

Walaupun tiga tahun tidak membabitkan diri daripada sebarang program di kaca TV, wajah Wahid sering dilihat membuat kemunculan 'tanpa sengaja' di media sosial.

Perkembangan itu pula biasanya dikongsikan oleh peminat yang meminta kebenaran untuk merakamkan gambar dengan artis kesayangan mereka itu.

Pada imej dimuat naik itu, wajah dan penampilan Wahid kelihatan cukup berbeza daripada sebelumnya - dia mengenakan kopiah di kepala, berambut panjang selain kerap menghadiri majlis agama.

Terkejut dengan penghijrahan itu, segelintir pihak menyifatkan Wahid berkecil hati ekoran tiada tawaran lain diterima selain sitkom Senario.

“Hal saya berubah menjadi alim itu sebenarnya sudah lama ia cuma tanggungjawab yang perlu dititiberatkan sebagai seorang Islam terhadap agamanya, tiada kena mengena dengan industri.

“Mengenai tamat kontrak itu pula, sampai pada satu tahap saya seolah-olah berasa ‘patah’ kerana tidak tahu alasan sebenar hingga memaksa Senario dibubarkan.

“Nak dijeritkan tiada gunanya, daripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali,” katanya sambil menyeka air mata di pipi.

Sementara itu, Azlee, 49, turut mengulas mengenai perubahan dialami Wahid.

Katanya perilaku Senario terkinja-kinja di atas pentas hanyalah terdapat pada mata kasar seseorang, ia bagaimanapun tidak pada dalaman.

“Apa pun kita buat jangan lupakan Allah," katanya.

Bagi Azlee, rezeki Allah itu ada di mana-mana untuk hambanya yang sentiasa beringat.

Malah seandainya mereka diberi peluang untuk mengemudi sesuatu rancangan di stesen TV, pasti pintu rezeki anggota Senario terbuka lebih meluas.

Katanya, pasti kelebihan itu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin seandainya pihak TV bersedia untuk memberi kepercayaan itu kepada mereka.

“Senario mampu buat pelbagai perkara yang orang lain tidak tahu, kalau ada pelawak lain diberi kepercayaan dalam bidang pengacaraan dan jadi penyampai radio kami juga boleh.

“Malangnya, kami tidak diberi peluang itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS