Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Arahan Trump gila, buat kita nampak bodoh'
Diterbitkan:  Feb 1, 2017 12:46 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Anggota parti Republican, Arnold Schwarzenegger berkata arahan eksekutif oleh presiden Amerika Syarikat untuk menghalang kemasukan muslim ke negara itu tidak disemak dengan teliti dan menyebabkan mereka kelihatan bodoh.

Schwarzenegger berkata demikian ketika menggantikan Donald Trump sebagai hos rancangan televisyen, Celebrity Apprentice.

Menurut Schwarzenegger yang juga bekas gabenor California dari 2003 hingga 2011, pasukan diterajui Trump masih tercari-cari kaedah mereka dalam menangani isu itu.

“Kamu masuk ke sana sebagai orang baru, ada pasukan baru dan kesilapan dilakukan. Saya berharap ini isu ini dapat membuka mata mereka,” kata pelakon filem Terminator itu.

Schwarzenegger dan Trump adalah penerbit eksekutif untuk rancangan berkenaan, namun kedua-duanya berbalas kritikan antara satu sama lain sejak kebelakangan ini.

Trump sebelum ini mengecam Schwarzenegger menerusi Twitter kerana gagal meningkatkan jumlah tontonan program itu seperti pernah dilakukannya.

Schwarzenegger pula mengkritik pemilihan Trump ke atas Setiausaha Pertanian Sonny Perdue dengan mengenepikan Abel Maldando yang pernah berkhidmat sebagai naib gabenor California.

Apabila ditanya mengenai arahan Trump untuk menyekat kemasukan pelarian dan pendatang, Schwarzenegger berkata: “Saya berasa masalah sebenar adalah ia dinilai dengan teruk.

“Jika isu ini dikendalikan oleh Jabatan Pentadbiran dan Keselamatan Dalam Negeri, dan peguam membuat kajian serta fokus, mungkin ia dapat dilakukan dengan cara lebih elok,” katanya.

Katanya, pentadbiran Trump juga terburu-buru dalam membuat keputusan mengharamkan kemasukan pendatang.

“Untuk mengharamkan pendatang yang mendapat kad hijau bermakna Amerika Syarikat memberikan kamu kebenaran untuk bekerja tetap di sini tetapi kemudian menghalang kamu daripada mendapatkan hak kerakyatan," katanya.

Schwarzenegger sendiri adalah pendatang dari Austria yang berhirah ke AS sejak 1968.

“Saya pernah berada dalam situasi itu...ia gila. Ia gila dan menyebabkan kita nampak bodoh sedangkan Rumah Putih tidak bersedia untuk mengeluarkan arahan eksekutif ini,” katanya.

'Kami semua pendatang'

Sementara itu, pelakon dan penyanyi Jennifer Lopez pula memuat naik status di media sosial sebagai tanda sokongan terhadap pendatang ke negara itu.

Dalam status dimuat naik, Jennifer menulis perkataan: “Kami semua pendatang”

“Secara jujurnya, saya berasa seperti sedang mengalami mimpi buruk ketika ini! Di negara yang diasaskan oleh pendatang tetapi bagaimana ia menjadi perkataan terlarang!” tambahnya.

Jennifer atau lebih dikenali sebagai J.Lo adalah penyokong Hillary Clinton semasa pemilihan presiden 2016.

Baru-baru ini dia menyertai selebriti lain melakukan protes terhadap sekatan kemasukan warganegara dari tujuh negara Muslim ke AS.

 

 

Lihat Komen
ADS