Gunawan Maryanto, pelakon yang memegang watak Wiji Thukul dalam filem Istirahatlah Kata-kata, mengaku sukar memegang peranan sebagai tokoh penyair itu.
"Bagi saya sangat susah kerana saya tidak kenal secara peribadi dengan Wiji Thukul. Kemudian data, dokumentasi perihal Wiji Thukul juga terbatas," katanya.
Bagaimanapun, Gunawan berkata dia tetap berusaha menghayati watak ketika menjalani penggambaran, menerusi dokumen mengenai Wiji Thukul yang diperolehinya.
"(Kehidupan) seharian (Wiji Thukul) saya dapat pada foto-fotonya. Saat latihan teater, saat dia bersama keluarganya. Nah itu yang kemudian jadi bahan utama saya sebenarnya," jelasnya dipetik daripada portal Kompas.com.
Dalam filem Istirahatlah Kata-kata, Gunawan memegang watak Wiji Thukul yang menjadi pelarian di Pontianak, Indonesia.
"Sebagai seorang aktor saya berada dalam situasi, barang kali dialami oleh Wiji Thukul dalam pelarian. Keterasingannya.
"Bagaimana dia di kota yang tidak ia kenal bertemu dengan orang- orang baru. Sementara dalam situasi dia menjadi buruan. Itukan sangat mencemaskan," katanya.
Istirahatlah Kata-Kata adalah sebuah karya yang diarahkan Yosep Anggi Noen, memaparkan kisah kehidupan Wiji ketika hidup sebagai pelarian di Pontianak pada 1996.
Tahun lalu, filem itu diumumkan sebagai filem terbaik pada malam Apresiasi Filem Indonesia (AFI) yang diadakan di Manado, Sulawesi Utara.
Wiji, atau nama sebenarnya Widji Widodo hilang dipercayai diculik pada tanggal 27 Julai 1998, ketika berumur 34 tahun.
Selain penyair, Wiji merupakan salah seorang aktivis hak asasi yang lantang menyuarakan penentangan terhadap orde baru di bawah kepimpinan presiden Suharto.
Sejak 1998 dan sehingga kini Wiji tidak ditemui dan khabar angin mengatakan dia diculik tentera Indonesia.
