Pelakon senior Indonesia, Christine Hakim berharap presiden republik itu, Joko Widodo akan menonton filem terbaru lakonannya, Boven Digoel.
"Harapan kami presiden boleh menonton (filem) ini. Saya tahu beliau selalu sempat menonton filem Indonesia di tengah kesibukan beliau," katanya dalam sidang media di Jakarta Selatan, semalam.
Christine memiliki alasan yang kuat untuk berharap Joko Widodo atau lebih popular dengan panggilan Jokowi menonton filem berkenaan.
Ini kerana filem arahan FX Purnomo itu mengisahkan tentang perjuangan seorang doktor muda di wilayah Papua yang bergelut dengan kekurangan kemudahan dan akses kesihatan.
Christine percaya filem itu dapat membuka mata terutama presiden Indonesia mengenai apa yang berlaku di Papua.
"Memang ini harus ditonton oleh bapak Presiden, kerana kita tahu komitmen Pak Jokowi membangun Papua. Faktanya ada, ini kelima kali beliau berkunjung ke Papua. Ertinya serius membangunkan Papua," katanya dilapor kompas.com.
Menurut Christine, 99 peratus daripada tenaga produksi Boven Digoel terdiri daripada anak kelahiran Papua, manakala kru filem dari luar wilayah itu pula tidak sampai 10 orang.
Pelakon filem Tjoet Nja' Dhien (1988) itu berkata, perkara yang dapat membangunkan Papua adalah seni dan budayanya, dan salah satunya adalah filem.
Film Boven Digoel merupakan kisah benar dari buku berjudul "Papua: Sebuah Fakta" dan "Tragedi Anak Bangsa" yang ditulis oleh seorang doktor, John Manangsang.
Selain Christine Hakim, filem ini juga dijayakan penyanyi Edo Kondologit, penyanyi rap, JFlow, Finalis Putri Indonesia 2014 Maria Fransisca dan calon Miss Indonesia 2014 Ellen Aragay.
Tayangan perdana filem berkenaan akan berlangsung pada 9 Februari 2017 di pawagam seluruh Indonesia.
