Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Tanpa berselindung atau berlapik, Kaabil sebenarnya amat rapat dengan kita. Meletakkan kenderan - tanpa rasa bersalah - di petak parkir orang kelainan upaya (OKU) misalnya, atau mencuri-curi masuk ke tandas berlogo kerusi roda, dan pelbagai lagi ragam yang melambangkan sikap tidak reti bahasa orang kita.

Sikap bermudah-mudah ini kemuncaknya melahirkan penindasan terhadap OKU dengan melingkungkan hak mereka hanya dalam hal kemudahan awam semata-mata.

Soal pendidikan, keselamatan dan keadilan sosial seolah-olah diabaikan. Kalau wujud pun sesatu dasar, ia sekadar sama ada seperti melepaskan batuk di tangga, atau tidak serius dikuatkuasakan.

Bertajuk 'Kaabil' (capable), filem terbitan keluarga Roshan ini berkisar tentang susah senang perjuangan orang biasa dalam sistem keadilan yang rosak ditunggangi manusia-manusia sial.

Lebih menarik, watak utama - Hrithik Roshan - tampil sebagai Rohan, OKU yang tidak mampu melihat. Malah lebih mengujakan, kekurangan yang biasa ditanggap sebagai ketidakmampuan, telah memberi kelebihan untuknya bangkit dan memenangi perlawanan.

Cerita bermula dengan pertemuan yang disusun melibatkan kedua-dua watak protagonis. Cinta dan kebahagiaan Rohan lengkap dan sempurna apabila Supriya - seorang pemain piano yang juga OKU mata - memilih untuk berkongsi hidup dengannya.

Sebaik mendirikan rumah tangga, perancangan diatur untuk membeli rumah baru. Kasih dan sayang yang memekar dan terzahir indah itu rupanya tidak hanya mengukir senyum jiran tetangga, tanpa mereka sedari, mengundang dengki dan malapetaka.

Suatu malam, pasangan bahagia ini diganggu secara seksual ketika pulang dari makan malam. Tidak terhenti di situ, Amit yang sejak awal cemburu dengan kebahagiaan pasangan itu, bersama Wasim merancang sesuatu yang buruk dan sadis.

Anggap tiada apa-apa

Keesokan harinya, ketika Rohan keluar bekerja, duo celaka itu menyelinap masuk ke rumah pasangan tersebut.

Tanpa mengeluarkan suara, dengan kerakusan yang tidak terhinggap langsung perasaan belas, Amit dan Wasim menyumbat kain ke mulut wanita malang itu serta mengikat kaki dan tangan di bucu katil. Rayuan dan tangisan Supriya langsung tidak membekas sedang keduanya hanyut memenuhi serakah durjana.

Rohan pulang. Hatinya luluh dengan amarah yang meluap-luap. Polis dihubungi dan siasatan dibuat. Supriya dan Rohan diminta segera ke hospital bagi tujuan pemeriksaan perubatan yang mesti dilakukan dalam tempoh 24 jam selepas kejadian. Dalam perjalanan ke hospital, mereka diculik (dengan perancangan polis keparat) dan dikurung di sebuah gudang terpencil.

Setelah tempoh 24 jam berlalu, kedua-duanya dilepaskan. Bergegas ke hospital, laporan perubatan yang keluar tidak menggambarkan apa yang telah berlaku.

Kesan dan bukti rogol telah hilang dan terhapus! Dengan laporan perubatan itu juga mereka dituduh sebagai pembohong dan mereka-reka cerita. Rohan benar-benar hilang arah.

Tidak mahu suaminya terus dirundung kekecewaan berterusan, Supriya - dengan deraian air mata - mencadangkan untuk mereka 'menganggap' seperti tiada apa-apa berlaku. Cadangan Supriya tidak bersahut dan Rohan terus membatukan diri.

Rohan dirundung penyesalan. Hari berikutnya Rohan pulang awal ke rumah, hanya untuk menyempurnakan pohonan maaf yang tertangguh semalam. Sampai di bilik, ketika teraba-raba mencari isteri tercinta, Rohan tersentuh sekujur tubuh yang tergantung kaku. Supriya tewas di celah realiti dunia yang zalim dan kejam.

Ketika berseorangan meratapi pemergian Supriya, Rohan didatangi abang Amit, Madhavrao, yang juga politikus terkemuka. Tanpa berselindung, Madhavrao mengaku menyalahgunakan pengaruh untuk melindungi adiknya daripada tindakan undang-undang.

Lebih mengejutkan, rupa-rupanya bukan sekali Supriya dirogol, bahkan dua kali! Kesemuanya tertulis dalam catatan terakhir sebelum Supriya pergi.

Kemarahan membuak

Kemarahan yang membuak-buak telah bertukar menjadi dendam kesumat. Rohan mula meletakkan sistem yang gagal memberikan keadilan dan manusia-manusia sial yang melingkari sistem sebagai musuh.

Amaran spontan dihala pada pegawai polis, Chaubey, bahawa kematian isterinya akan berbalas, dan polis takkan mampu berbuat apa-apa. Tindakan sendiri yang mungkin berakar daripada ungkapan, "When injustice becomes law, resistance becomes duty."

Sasaran pertamanya, Wasim. Keupayaan Rohan meniru bunyi dan suara orang lain dimanfaatkan sepenuhnya. Konflik direka kemas antara Amit dan Wasim agar langkah seterusnya terlihat asli dan meyakinkan.

Wasim kemudian diperdaya untuk berdepan Rohan (yang menyamar sebagai Amit) dan berlaku pergaduhan besar yang hampir-hampir menewaskan Rohan. Wasim akhirnya kecundang dengan sapu tangan Amit - yang tercicir ketiga merogol Supriya - dilepaskan Rohan dengan tujuan memerangkap Amit.

Amit yang langsung tidak disiasat rentetan pengaruh abangnya, Madhavrao, telah dihantar jauh keluar untuk meredakan ketegangan.

Sungguhpun jauh, keadaan tersebut langsung tidak menjejaskan perancangan licik Rohan untuk menjadikan Amit sebagai sasaran kedua. Pertemuan direncana di gudang terpencil, lokasi Rohan dan Supriya diculik dahulu. Pertarungan yang awalnya menewaskan Rohan telah berakhir dengan letupan besar yang mengorbankan Amit.

Chaubey yang mula mengesyaki Rohan, telah memerangkap Rohan menggunakan kanak-kanak yang rapat dengan pemuda itu.

Sementara menunggu hasil siasatan lengkap untuk mengaitkan Rohan dengan setiap tragedi, polis mengawal laluan keluar masuk di kawasan kejiranan bagi membataskan pergerakan 'pembunuh sebenar'.

Rohan yang masih belum melenyapkan sasaran terakhir, Madhavrao, dengan jayanya telah menyelinap keluar dari rumah.

Menggunakan taktik yang sama, Rohan mengumpan politikus jahat itu ke tapak pembinaan pangsapuri miliknya. Sebagaimana dirancang, Madhavrao 'dijatuhkan' ke bawah bangunan, sekaligus melunaskan dendam terakhir.

'Twist' di akhir babak filem ini nyata menarik dan tidak terjangka. Namun lebih utama yang harus ditelusur, bagaimana penindasan - pada tahap tertentu - mampu melonjak keupayaan diri ke takat yang amat luar biasa.

Malah kalau mahu, boleh juga diajukan soalan terus ke lubuk hati paling dalam: "Penderitaan mana lagi yang mahu diwariskan? Tunduk dan terus akur atau angkat muka, bangun dan bangkit melawan?"


Shazni Munir Mohd Ithnin adalah Naib Ketua Pemuda Parti AMANAH Nasional (AMANAH).

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS