Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Aku dan beberapa kawan cuba menyelongkar rahsia-rahsia yang tersimpan di sebalik lebih 1,200 pucuk surat yang dikenali sebagai Surat-Surat Francis Light di Sekolah Kajian Timur dan Afrika (SOAS), London.

Sebelum ini kajian sudah dilakukan oleh Prof Madya Dr Jelani Harun, Prof Dr Ernst Ulrich Kratz, Datuk Dr Annabel Teh Gallop, Prof Madya Dr Ahmad Jelani Halimi, Dr Nik Haslinda Nik Hussain, Dato Prof Dr Ahmad Murad Merican dan lain-lain lagi.

Projek ini sudah berjalan kira-kira tiga empat tahun lalu. Masih berlangsung meskipun kadangkala terhenti-henti dihambat pelbagai cabaran dan masalah.

Minggu lepas, ada pembentangan mengenainya oleh Abd Ur-Rahman Amin dan M Pisol Mat Isa di Universiti Teknologi Petronas. Mereka menjelaskan beberapa pucuk surat daripada Laksamana Perak dan warkah Sultan Alauddin Mansor Shah, Sultan Perak kepada Francis Light yang menjadi Gabenor Pulau Pinang ketika itu.

Oleh kerana ini merupakan sumber primer sejarah orang Melayu, Inggeris dan masyarakat pada abad ke-18 di alam Melayu, ia sangat penting.

Surat-surat Light mengandungi 11 jilid dan masih tersimpan elok di SOAS. Ketika kami menyemak kandungan surat-surat tersebut, beberapa penyelidik dari negara luar juga membuat semakan atas manuskrip-manuskrip lain.

Surat-surat tersebut dihimpun oleh William Marsden yang tinggal selama sembilan tahun di Bengkulu sebagai Ketua Setiausaha Syarikat Hindia Timur Inggeris. Setelah Marsden bersara dan balik England, dia menyerahkan koleksi tersebut kepada King College (SOAS adalah sebahagian daripada King College).

Semasa aku ke Perpustakaan British, Annabel Teh menyerahkan beberapa naskhah buku dan jurnal untuk aku berikan kepada Abd ur Rahman.

Sebelum kuserahkan kepadanya, aku baca beberapa artikel yang ada sambil menunggu kapal terbang Emirates mendarat di tanah air. Sebuah artikel yang ditulis oleh Kratz - seorang sarjana SOAS - tentang “Surat-Surat Ence’ Lena” yang mengandungi enam pucuk surat. Ia adalah tulisan tentang suara perempuan Melayu pada abad ke-18.

Surat-Surat Ence' Lena

Walaupun kebanyakan kandungannya berlegar tentang persoalan peribadi dan keluarga, tetapi ia memberi gambaran luas tentang kehidupan masyarakat pada masa tersebut.

Antaranya Ence’ Lena mengirimi sebuah manuskrip syair Melayu bertajuk “Syair Si Lindung Delima Satu” kepada John Marden. Dinyatakan oleh Ence’ Lena bahawa syair itu merupakan salah sebuah karya sastera terbaik pada masa itu.

Mengapa Ence’ Lina menghadiahkan manuskrip syair itu? Apakah Marden peminat syair Melayu atau pengumpul barang-barang oriental yang unik bagi masyarakat Barat? Itupun aku tidak dapat menjawabnya.

Aku berangan-angan menyambung kajian Kratz tentang 'Surat-Surat Ence' Lena' selepas membaca artikel tersebut. Tetapi angan-anganku berhenti begitu sahaja.

Kemudian aku membaca novel Faisal Tehrani yang bertajuk “Surat-Surat Perempuan Johor”. Ia seperti sekali lagi merangsang angan-anganku dulu. Faisal bijak menyusun novel unsur sejarahnya menjadi novel yang mencabar pemikiran pembaca. Seperti juga novelnya, “1511” terbitan Utusan Publication.

Pembaca dicabar menyaring fakta sejarah dengan khayalan pengarang tersebut.

Di dalam novel Faisal itu, luahan rindu Ungku Hamidah Gul (wanita bangsawan Johor yang berkahwin rahsia dengan Recep, lelaki Istanbul tetapi terpaksa berpisah. Ungku hidup sendiri di Mekah) diungkap dalam pantunnya dalam surat-surat Wanita Johor itu:

Molek terukir labu sayung,

Diisi air menjadi sejuk;

Kita rindu tidak tertanggung,

Bagai tak sanggup menunggu esok.

 

Malam kelas dingin ke pagi,

Lelah berdayung rasa tak larat;

Tuan tak ada kita sepi,

Tidur seorang rasa tak hangat.

Warkah itu adalah warkah peribadi. Tetapi kini menjadi warkah warisan bangsa dan dikongsi sama oleh umum. Sedangkan orang awam biasa yang membacanya tidak ambil kira suasana zaman itu ditulis. Tidak dihiraukan jiwa insan yang menulis warkah tersebut. Oleh itu, tafsiran terhadap setiap patah kata di dalam warkah itu bergantung bagaimana cara berfikir seseorang itu.

Begitu halnya yang berlaku kepada seorang perempuan Melayu di abad ke 18-yang bernama Ence’ Lena.

Isteri John Marsden

Dia ialah perempuan Melayu yang menjadi isteri kepada John Marsden, pentadbir Inggeris di Bengkulu dan juga merupakan abang kepada William Marsden, penulis buku 'The History of Sumatra' dan orientalis terkenal. Telah menjadi dasar syarikat Hindia Timur Inggeris tidak membenarkan kakitangannya berkahwin dengan orang tempatan. Ini adalah bagi mengelakkan masalah peribadi dan tuntutan terhadap hak perwarisan.

Namun realitinya, ramai kakitangan syarikat tersebut berkahwin dengan orang tempatan termasuk Light sendiri yang dikatakan berkahwin dengan perempuan Melayu Phuket dan mempunyai empat orang anak meskipun nama perempuan Melayu itu sudah menjadi Martina Rozelle.

Perlu diingatkan bahawa Phuket ketika itu adalah sebahagian daripada wilayah Kedah yang berada dalam penguasaan Siam.

Warkah Ence’ Lena itu sudah ditranskripkan. Mudahlah untuk aku membacanya. Terasa sedih juga apabila membaca surat Ence' Lena kepada suaminya itu.

Ence' Lena ditinggalkan dengan seorang anaknya hasil perkahwinannya dengan John Marsden manakala dua lagi dibawa si suami ke London.

Surat-surat itu adalah suara kerinduan seorang ibu kepada anak-anaknya dan juga pada John Marsden, suaminya (tidak pasti diceraikan atau tidak semasa ditinggalkan sendiri di Bengkulu).

Ence' Lena menulis: 'Adalah saya seperti ikan kekaringan air saja daripada untung saya kiri pun tiada, kanan pun tiada. Baharulah terkanang pada untung saya tinggal seorang' (SOAS MS 40320/2, no 78)

Pejabat William Marsden terletak Gower Street, tidak jauh dari SOAS tetapi kami tidak terfikir untuk pergi ke situ waktu itu.

Teringin juga menjejaki keturunan anak-anak Ence' Lena yang dikenali sebagai Nona Kete' dan Nona Gadang. Itu bukannya nama sebenar melainkan hanya nama timang-timang sahaja.

Sebenarnya terdapat surat-surat perempuan Melayu lain di dalam Koleksi Surat-Surat Francis Light. Aku masih tidak siap lagi menyelongkar!


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS