Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kehadiran naskhah berbahasa Indonesia diyakini menjadi antara sebab filem Soulmate Hingga Jannah 'ghaib' beberapa pawagam di seluruh Malaysia hanya selepas tujuh hari ia mula ditayangkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FiTa Studios Sdn Bhd, Abdul Latiff Mohaideen, pertembungan ruang tayangan mewujudkan persaingan hebat antara produk tempatan dihasilkannya dengan bahan dari luar.

“Walaupun Surga Yang Tak Dirindukan 2 termasuk dalam kategori filem antarabangsa, kita sebenarnya bersaing dengan filem berbahasa lebih kurang sama.

“Adalah malang apabila kami terpaksa berdepan dengan filem yang mempunyai bajet tiga kali ganda lebih besar, namun itu adalah realiti yang terpaksa ditelan.

“Penerbit tempatan terpaksa mempertahankan pasaran Melayu daripada pasaran antarabangsa sedangkan filem kita tak ditayangkan di Indonesia pun,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Katanya, sehingga semalam, jumlah kutipan filem diarahkan Datuk Prof Abdul Razak Mohaideen itu dianggarkan mencecah RM200,000.

Filem komedi romantik itu diterajui Raja Ilya (gambar) dan - pelakon dari Singapura - Taufik Batisah, selain dibantu oleh Erra Fazira, Douglas Lim dan Reen Rahim.

Selera berubah-ubah

Abdul Latiff tidak menolak kemungkinan keadaan ekonomi tidak memberangsangkan turut menyebabkan penonton terpaksa berjimat-cermat berbelanja membeli tiket wayang.

"Kita guna formula untuk bawa penonton sedekat mungkin namun kedudukan ekonomi dan kewangan hanya membenarkan penonton di luar sana berbelanja untuk satu filem. Dan penonton lebih selesa keluarkan wang untuk filem antarabangsa berbanding filem tempatan," katanya.

Dalam pada itu Abdul Latiff berkata, beberapa faktor lain seperti populariti pelakon selera penonton yang berubah-ubah serta tiada kuasa berunding antara pempamer boleh dianggap antara penyebab Soulmate Hingga Jannah tidak cukup kuat untuk bertahan lebih lama.

"Produksi ambil masa kira-kira setahun dua bulan untuk hasilkan filem, apabila ia dikeluarkan pola selera tontonan mungkin berubah.

"Faktor populariti artis juga berpengaruh apabila kita lancarkan filem ini," katanya.

Walaupun menggunakan formula terbaik dari sudut pandangan produksi, Abdul Latiff berkata pihaknya tetap akur terhadap keputusan pempamer.

Katanya, pempamer mempunyai hak untuk menghentikan tayangan jika sudah memenuhi syarat wajib tayang.

“Kita terima apa jua keputusan, hakikatnya kutipan pusingan pertama di panggung tidak cukup hebat dan harus perbaiki kelemahan di masa akan datang selain hasilkan filem tepati cita rasa penonton,” katanya.

Bagaimanapun, dihenti daripada ditayangkan di beberapa pawagam tidak menandakan nasib Soulmate Hingga Jannah sudah berkubur.

Menurut Abdul Latiff pawagam bertindak sebagai satu cabang daripada pendapatan diperoleh FiTa Studios, pihaknya mempunyai perancangan untuk menjual filem berkenaan di Astro, portal atas talian, syarikat penerbangan, hotel, IPTV dan pasaran antarabangsa.

Lihat Komen
ADS