Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Tidak mahu bergantung kepada wang orang tua semata-mata, penyanyi Indonesia Judika sanggup mengilap kasut di tepi jalan demi mengumpul wang bagi membeli basikal idaman.

Baginya, jika tidak mahu menyusahkan keluarga, adalah wajar seseorang anak itu berdikari dan berusaha mencari pendapatan sendiri.

“Dari kecil saya memang suka bekerja keras dan kebetulan saya tinggal di Medan - daerah yang dipenuhi pelancong - tempat yang sesuai untuk mencari duit.

“Ia pekerjaan yang jadi ikutan rakan-rakan saja walaupun kehidupan keluarga saya tidaklah sesusah mana.

“Tetapi saya mahu guna duit sendiri untuk membeli basikal berbanding menyusahkan ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, ada kalanya dia turut berkhidmat untuk ibunya dengan membantu menjual buah-buahan yang ditanam demi mencari duit poket.

Judika atau nama penuhnya Judika Nalon Abadi Sihotang, 38, ditemui pada sesi pendengaran album eksklusif dan pengumuman Malam Sensasi Bersama Judika.

Malam Sensasi Bersama Judika adalah sebuah konsert mini ditujukan buat peminat dengan kerjasama HyppTV, Transmedia International Sdn Bhd dan Sony Music Entertainment Malaysia. Persembahan dijadual berlangsung malam ini di Kompleks Beli Belah IOI, Putrajaya.

Konsert mini itu juga diadakan bagi mempromosi single terbaru yang digubah oleh Drajat, Jadi Aku Sebentar Saja.

Ternyata, Judika bukanlah seorang yang gemar mengalah dengan kehidupan, baginya untuk berjaya seseorang itu memerlukan pengorbanan.

Hal itu juga termasuk dalam membuat pilihan antara meneruskan pembelajaran atau menempa nama dalam bidang seni suara.

Satu ketika dulu, ibu bapa Judika pernah berputus asa terhadap anak mereka itu kerana tidak menjadi seperti diharapkan sewaktu dia berhenti belajar di tengah jalan.

Menurut Judika, mengikut kelaziman suku Batak di Sumatera Utara, kerjaya seperti doktor, pegawai kerajaan atau jurutera memang menjadi pilihan nombor satu ibu bapa kerana berasakan pekerjaan itu dapat menjamin masa depan.

“Kerana terpaksa berbahagi waktu antara belajar dan menyanyi, saya akhirnya berhenti dan memilih bidang seni suara.

“Namun, keputusan itu ternyata membuatkan mama dan papa amat kecewa kerana mereka berkerja keras untuk memastikan saya boleh belajar hingga tamat,” katanya.

Kata penyanyi Aku Yang Tersakiti itu, sifat degil yang ada dalam diri berjaya mengubah persepsi lapuk kedua orang tuanya terhadap potensi anak seni untuk meraih prestasi.

“Saya perlu membuktikan kepada mereka kerjaya yang saya kejar itu adalah terbaik.

“Mereka mungkin bukan sombong, tetapi disebabkan saya paling berjaya dalam keluarga, kejayaan dikecapi akhirnya mengubah pendirian ibu bapa saya.

“Syukur, kerana banyak tuhan titipkan selama ini agar saya boleh membantu keluarga selain mampu membelikan mama sebuah rumah. Orang seni juga boleh berjaya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS