Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selepas Anak Alam suara seniman cuma di angin lalu

Telefon pejabat berdering.

"Lu datang Central Market petang ni. Kawan-kawan nak jumpa. Nak bincang pertemuan penulis muda. Lu jangan tak datang. Nanti wa sembelih sama lu!"

Belum sempat panggilan dijawab, Pyanhabib sudah meletakkan telefon. Datang. Jangan tak datang. Lagi pun penulis ketika itu masih bujang. Usia 27 tahun pada 13 Februari 1987. Masih muda. Masih belum ada cita-cita nak pakai Audi macam lebai Kuala Nerus tu.

Masih bersemangat sastera, melepak dan baca puisi. Masih ghairah baca puisi bawah tiang lampu macam Sani Sudin, Ladin Nuawi dan Imuda.

Petang itu kami bertemu di Central Market atau dikenali juga sebagai Pasar Budaya. Di restoran mamak. Mohamad Daud Mohamad, M Hanafiah Samad, Nawawee Mohammad, Pyanhabib dan beberapa teman lain berkumpul dan merancang mengadakan Pertemuan Penulis Muda Malaysia 1987 - pertemuan secara rasmi dan besar-besaran di Padang Merbok pada hujung 1987.

Kami mengambil semangat Anak Alam untuk bertemu secara santai dan tanpa darjat seni. Masing-masing teruja untuk mengadakan acara seni yang besar kerana Kuala Lumpur ketika itu semakin tergoda dengan ancaman seni popular dan melalaikan.

Beberapa pertemuan seterusnya berlangsung di Rumah Anak Alam yang mempunyai tradisi sejarah seni yang panjang. Saya hanya kenal Anak Alam dari jauh.

Ketika mereka aktif dekad 1970-an, saya masih di kampung. Masih belum kenal udara Kuala Lumpur. Masih belum kenal seniman dan seni yang rela hidup kerana keyakinan terhadap citra alam dan kehidupan itu sendiri.

Tinggal kesan luar biasa

Tanpa sokongan rakan di Rumah Anak Alam ketika itu - terutama Abdul Aziz HM, Khalid Salleh, Marzuki Ali dan Ladin - mustahil Perhimpunan Penulis Muda Malaysia tercapai, dan mungkin 1987 tidak mencatat sejarah besar dalam konteks kesusasteraan di Malaysia.

Hari ini Anak Alam sudah menjadi tinggalan sejarah. Sisa lampau masih tersemat di pedalaman jiwa seniman Malaysia. Tokoh besar seperti Usman Awang sudah meninggalkan kesan yang luar biasa dalam pelbagai genre. Johan Jaaffar, Dinsman, Sutung Umar RS dan Ladin juga turut dewasa bersama Anak Alam dan kini membawa haluan masing-masing.

Banglo lama di Padang Merbok menghimpunkan seniman tempatan dengan cara hidup yang damai, santun dan berseni. Pyanhabib ketika itu adalah di antara spesies terakhir yang tinggal di Padang Merbok.

Ladin dan Abdul Aziz HM juga di antara teman seni yang sering ditemui di Rumah Anak Alam. Mereka bagai pewaris era A Latiff Mohidin, Johan Jaaffar, A Ghafar Ibrahim, Ibrahim Ghafar, Siti Zainon Ismail dan teman lain di Anak Alam.

Jiran Rumah Anak Alam adalah sebuah rumah yang tak kurang hebatnya. Banglo lama juga. Mior Hashim Manap dan rakan-rakan mereka dalam Grup Teater Kreatif menetap dan menjayakan bengkel teater untuk pelbagai pementasan di Lembah Klang.

Diari kaum kapitalis

Kewujudan Anak Alam dan Grup Teater Kreatif menjadikan Padang Merbok sebagai daerah seni terpenting dalam sejarah kesusasteraan negara.

Mereka mandiri. Hidup seadanya demi seni. Tanpa pemerhatian politik, mereka terikat dengan landasan seni teater, lukisan dan sastera. Orang politik dan kapitalis tidak melihat mereka kerana seniman lazimnya tidak dipercayai dalam rangka pembangunan nasional negara.

Hanya apabila penguasa mula mengenal nilai pasaran tanah, maka Padang Merbok dilihat berdaya maju dan perlu dibangunkan. Padang Merbok termasuk dalam diari kaum kapitalis yang bertujuan merancakkan akauan bank mereka.

Seni disisihkan. Rumah Anak Alam dan Rumah Grup Teater Kreatif diruntuhkan di atas nama pembangunan.

Seniman terpaksa melarikan diri daripada kesibukan kota. Suara seni makin lesu kerana ada atau tidak adanya sasterawan tetap tidak bermanfaat dalam rangka pembangunan nasional.

Hari ini kesenimanan semakin luntur berbanding era Asas 50 dan tradisi baca puisi yang dilakukan seniman terdahulu. Walaupun ada acara bulanan anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA), tradisi kepenyairan seperti dilakukan oleh seniman terdahulu amat berbeza.

Bagaimanapun syabas kepada PENA kerana masih mempertahankan tradisi baca puisi secara terancang dan berkala.

Dulu seniman ada tempat untuk melepak dan berkarya. Ada tempat tidur dan mandi. Berkumpul secara santai untuk karya seni. Zaman sudah berubah kerana tradisi kesenimanan itu sendiri pun menuntut kehidupan yang lebih stabil.

Seniman kini ada jawatan hakiki. Mustahil mereka boleh berpakaian macam Khalid Salleh dan Pyanhabib lagi.

Generasi kini adalah pewaris pembangunan nasional 2050 yang tentunya memerlukan ketrampilan fizikal yang mesti kelihatan ilmiah dan berwawasan walaupun jiwa kosong. Kuala Lumpur semakin tenggelam dengan kesibukan dan kesesakan.

Era baca puisi di Pasar Budaya sudah berlalu seperti juga kendurnya Kopratasa bersama Sani Sudin, Siso dan Usop. Tiada lagi kelibat Pyanhabib, Khalid Salleh, Imuda, Ruslan Mamat, Kamarool Yusuf dan Ladin membaca puisi di bawah tiang lampu. Sutung Umar RS tiada lagi. Dinsman dan Jaafar HS tidak lagi aktif berpuisi. Tiada lagi Grup Teater Elit membaca puisi di hotel kerana masa tidak lagi memihak kepada penyair.

Nawawee Mohamad tidak lagi menggerakkan Perkumpulan Penyajak Mutakhir seperti dekad 1980-an yang menggerakkan pertemuan seni di laman Tasik Perdana dan Tasik Titiwangsa.

Masa sudah mengalahkan kegiatan mereka. Usia menjadi alasan untuk tidak aktif lagi. Paling fatal, kegiatan kesenian terutama acara baca puisi secara santai dianggap tidak perlu, tabu dan perlu disisihkan.

Ghairah pada RM2.6b

Kecuali Rumah Pena yang menjadikan acara baca puisi secara berkala, lokasi lain tidak lagi ghairah bersastera. Seniman dan kesenimanan semakin lupus di kota raya ini. Penguasa terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengehadkan majlis seni.

Seniman jalanan perlu lesen untuk menjayakan majlis, sedangkan majlis kesenian bukan membabitkan kepentingan niaga, ekonomi dan politik. Seni tetap seni yang sepatutnya merakyat.

Penguasa lebih ghairah menjual tanah kepada pelabur China berbanding pembangunan kesenimanan yang sepatutnya menjadi cita-cita nasional.

Tidak salah mencapai kemajuan dalam pentadbiran dan sosioekonomi, tetapi jangan sampai membelakangi karya seni sebagai khazanah negara.

Jepun, Korea Selatan, China dan Thailand sentiasa menghargai warisan seni sebagai harta intelek negara. Kita pula lebih ghairah untuk skandal rasuah, isu 1MDB dan gaya hidup mewah yang bernilai RM2.6 bilion.

Orang politik dengan skandal politik mereka. Ustaz dan lebai yang mendakwa ulama memperalatkan agama untuk cita-cita siasah. Mereka tiada masa merenung tradisi seni yang wujud pada era Anak Alam, walhal Anak Alam lahir seiring dengan era Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang bertujuan menyemai dan melaksanakan kehidupan murni melalui agama dan seni generasi muda.

Hilangnya Rumah Anak Alam menjadi penanda aras keruntuhan tradisi kesenimanan dalam kalangan generasi muda. Lebih parah apabila budaya gajet dan media sosial mengambil ruang kehidupan semasa menjadikan generasi kini semakin sibuk di alam maya.

Mereka bagai tidak sempat melihat wajah dan peribadi sendiri kerana masing-masing sibuk di alam maya yang tentunya turut mengundang persekitaran dan cabaran yang lebih berbeza dan amat mencabar.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) tidak mencatat nama Malaysia dalam senarai negara yang menghargai karya seni.

Guna siku dan lutut

Berbanding jiran terdekat seperti Indonesia dan Thailand, kita terlalu mundur untuk menghargai seniman sebagai harta negara. Kita jangan bandingkan dengan Boston di AS dan Copenghagen, Denmark yang membiarkan seniman bebas berkarya 24 jam di jalan utama.

Kita masih kalah dengan apa yang ada di Filipina dan Vietnam yang membenarkan seniman jalanan berkarya secara santai.

Kita mungkin berbangga dengan beberapa pelakon dan penyanyi yang bukan pun bertaraf Asia, tetapi kita sering meminggirkan pelukis, pemuzik tradisional, penggiat teater dan penyair jalanan.

Lebih malang, banyak seniman kita terpinggir daripada perangkaan proses pembangunan ekonomi kerana Malaysia lebih melihat kepada percaturan di bursa saham, projek pembangunan dan pelan transformasi yang tidak berkesudahan.

Kita banyak bangunan pencakar langit tapi kita tidak mempunyai ruang untuk seniman kecil berkarya dan mempamer bakat mereka.

Apakah Malaysia tiada falsafah seni? Apakah kemajuan hanya meletakkan karya sebagai hiburan dan menafikan fungsi seni sebagai pengucapan dalam masyarakat?

Kita hairan apabila seni lebih dilihat sebagai sorak-sorai, sedangkan jati diri dan sistem nilai dikesampingkan untuk ekonomi dan siasah.

Masanya sudah tiba untuk kita memiliki sebuah kampung seni di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Di situlah nanti kalangan seniman berkarya dengan santai dan bebas memenuhi pasaran mereka secara terbuka.

Bukan semua pelancong datang untuk mendongak melihat puncak KLCC apatah lagi ke Langkawi hanya sekadar melihat ombak dan pasir pantai.

Mereka mahu menilai dan menikmati akar umbi kita yang dikatakan santun, penyayang dan berbudi bahasa.

Namun suara seniman hanya angin lalu yang ditelan zaman. Era Anak Alam dan jerit pekik Pyanhabib sudah berlalu. Padang Merbok kawasan pembangunan yang amat asing berbanding 1987.

Tahun ini - selepas 30 tahun berlalu - perhimpunan masih diadakan di Padang Merbok. Kononnya 200,000 mengikut dakwaan golongan yang taasub.

Mereka berkumpul bukan untuk baca puisi tetapi sekadar menggunakan siku dan lutut kononnya untuk memperkasakan hukum syariah di Malaysia. Menyanggah hasrat mereka akan kena siku dan lutut. Jika tidak pun kena sekeh menyekeh.

Padang Merbok, Anak Alam, suara nyaring Pyanhabib semakin jauh. Hidup memang begitu. Jauh dan menjauhi. Hari ini politik dan kapitalis adalah segala-galanya. Dulu kini dan selamanya!


IMLAN ADABI ialah sasterawan dan bekas wartawan Berita Harian. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukan menggambarkan pandangan Malaysiakini

Lihat Komen
ADS