Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
'M'sia dapat persetujuan sebelum persembahkan zapin'

Malaysia telah mendapat persetujuan daripada pihak Arab Saudi berhubung tarian zapin dan ghazal sebelum ia dipersembahkan
kepada umum di Riyadh International Book Fair 2017 yang berlangsung dari 8 hingga 17 Mac.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin berkata Malaysia memahami sensitiviti masyarakat setempat dan telah mengemukakan cadangan persembahan berkenaan kepada Kementerian Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi apabila mendapat jemputan kira-kira sebulan lalu sebagai Negara Tetamu Kehormat pada pesta buku tersebut.

"Kita bentangkan kepada mereka terlebih dahulu mengenai konsep Pavilion Malaysia, buku yang dibawa dan persembahan yang akan dibuat dan mereka bersetuju dengan persembahan zapin dan ghazal kerana ia menepati adat-adat di sini termasuk persembahan melibatkan lelaki sahaja," katanya kepada pemberita di Riyadh hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kekecohan yang berlaku apabila seorang lelaki warga Arab bertindak mencampak mikrofon serta alat muzik ke lantai sambil membantah acara tarian zapin dan ghazal di pesta buku berkenaan pada Khamis lepas.

Katanya masyarakat Arab Saudi juga mempunyai tarian mereka tersendiri yang dipersembahkan kepada umum.

"Apa yang berlaku (kekecohan) tidak melambangkan masyarakat Arab Saudi secara keseluruhan, hanya segelintir yang berpandangan berbeza," katanya.

Zainol Rahim berkata pihak kedutaan Malaysia menerima banyak kenyataan kesal dan permohonan maaf daripada rakyat tempatan yang tidak senang dengan kejadian tersebut.

Sementara itu, seorang ahli akademik Arab Saudi, Prof Muhammad al-Asimi menyifatkan insiden itu sebagai memalukan manakala tindakan menyakiti tetamu negara adalah sama sekali ditegah.

Beliau turut menasihati pengunjung yang tidak berpuas hati untuk membuat aduan melalui saluran rasmi.

"Mungkin juga individu itu tidak perlu menghampiri tempat yang mereka tidak selesa seperti yang dilakukan oleh manusia berakal lain yang menghormati diri sendiri dan hak kebebasan orang lain," katanya dalam tulisan yang disiarkan dalam portal akhbar tempatan Alyoum.

Muhammad berkata rakyat Malaysia ialah saudara yang menyambut Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dengan sambutan rasmi dan nasional yang sangat hangat.

"Sambutan itu menunjukkan sikap persaudaraan dan cinta yang dalam kepada rakyat Arab Saudi," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS