Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Karya Yusof Ghani pamer pakaian Islamik di London

Prof Yusof Ghani, seorang daripada pelukis terkenal Malaysia, mahu menggunakan seni dalam pakaian Islamik untuk menjadikannya lebih menarik, dan tidak hanya untuk orang Islam sahaja.

Beliau akan mempamerkan 15 lukisan, 12 daripadanya akan dicetak pada pakaian yang direka bercirikan Islamik di Asia House London selama lima hari bermula 3 April ini.

Profesor di Universiti Teknologi Mara berusia 67 tahun itu, yang juga
seorang pengukir berkata persediaan untuk pameran seni solo memberikan beliau peluang untuk "mentafsir lukisannya ke dalam seni yang boleh dipakai (wearable art)".

Dalam pameran itu, beliau akan berkolaborasi dengan anaknya Muhammad Zaki, Pengarah Urusan Sofearose, sebuah butik busana Muslimah berpusat di Petaling Jaya, kata Yusof dalam satu temu bual di galerinya di sini.

Beliau berkata lukisan terpilih akan dicetak pada baju 'peplum', dress labuh dengan 'cape', skirt panjang, abaya, kardigan dan kimono.

Yusof, yang berkarya sejak lebih tiga dekad, telah mengadakan pameran di seluruh dunia termasuk Berlin, Moscow, Washington, San Francisco, Singapura, Jakarta, Tokyo dan Madrid.

Bagaimanapun, ini akan menjadi pertujukan 'art to wear' beliau yang pertama.

Duta Malaysia di United Kingdom Datuk Ahmad Rasidi Hazizi akan merasmikan pameran kelima dalam siri 'Segerak' itu.

Yusof berharap dapat menarik kira-kira 10,000 orang iaitu penduduk tempatan dan juga rakyat Malaysia di London ke pameran itu.

Sementara itu, Muhammad Zaki berkata pertunjukan dengan konsep Art to Wear itu akan memberi lebih pemahaman mengenai fesyen Islam yang boleh menjadi sofistikated dan sesuai bukan sahaja untuk orang Islam malah untuk semua orang.

"Kami ingin menarik perhatian orang ramai bahawa fesyen Islamik merupakan sesuatu yang bersesuaian dengan sesiapa juga...Ia fesyen sederhana, ringkas lagi sofistikated," katanya.

Beliau percaya London merupakan venue terbaik untuk mengeksport budaya tempatan di peringkat global. "Ia boleh menjadi platform baharu kepada industri Art To Wear di Malaysia," katanya.

Melepaskan jawatan sebagai ahli farmasi beberapa tahun lalu untuk menumpukan perhatian dalam bidang fesyen, Muhammad Zaki berkata ramai pelanggannya terdiri daripada pembeli dari luar negara.

Mereka termasuk pembeli dari New Zealand, Emiriah Arab Bersatu, Perancis, Rusia dan Australia.

"Ada yang membeli melalui pos, secara dalam talian dan ada juga yang datang sendiri ke butik saya," kata Muhammad Zaki yang mengiklankan produknya di Internet dan pameran. -Bernama

Lihat Komen
ADS