Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Merantau merupakan suatu kebiasaan yang dilakukan sejak lama dulu oleh masyarakat Melayu. Istilah “merantau” merupakan kata yang terdiri daripada gabungan imbuhan “me-“ dan kata “rantau”.

Rantau pada mulanya bererti garis pantai, daerah aliran sungai, dan luar negeri atau negara lain. Kata kerja rantau - iaitu merantau - bererti pergi meninggalkan kampung halaman dan pergi ke negara lain, berlayar melalui sungai dan sebagainya.

Istilah rantau berakar daripada tradisi masyarakat Melayu merupakan suatu budaya yang telah terjadi sejak lama. Konsep rantau dilakukan secara turun temurun oleh masyarakat Melayu. Merantau bertujuan untuk mendapat kejayaan dan memajukan diri sendiri.

Hamka pernah menggambarkan praktik merantau ini melalui beberapa novelnya seperti Merantau ke Deli, Tenggelamnya Kapal van der Wijk, dan Di Bawah Lindungan Kaabah.

Orang Melayu memiliki budaya yang unik kerana lingkungan rantaunya adalah gugusan pulau-pulau yang banyak. Ini merupakan dinamika tersendiri serta menjadi sebahagian kehidupan orang Melayu, bahkan ada dalam cerita rakyat seperti Malim Kundang dan Si Tenggang.

Filem P Ramlee juga ada mengisahkan perihal perantau seperti Ibu Mertuaku, Musang Berjanggut, Keluarga 69 dan sebagainya.

Melayu itu adalah suku Mandaling, Rawa, Minangkabau dan sebagainya yang berasal dari pulau Sumatera. Orang Jawa dari Pulau Jawa, Bugis dari Sulawesi, Banjar dari Banjarmasin, Kalimantan, Sulu dari Mindanao, Patani dari Patani Darus Salam juga Melayu. Semua itu Melayu.

Lagu-lagu P Ramlee dan S Effendi adalah simbol karya orang Melayu merentas sempadan. Lagu-lagu mereka merakamkan falsafah di sebalik istilah perantau. Orang yang datang dari alam Melayu ini bukanlah pendatang atau orang asing. Meraka adalah perantau.

Dendangan menyentap jiwa

Istilah "orang asing" dan "pendatang" sebenarnya adalah pengertian kepada masyarakat yang luar budaya masyarakat itu sendiri. "Orang asing" dan "pendatang" memiliki budayanya yang tersendiri. Kebudayaan orang Aceh, Jawa, Bugis, Banjar dan etnik lain di gugusan kepulauan Melayu adalah sama. Bahasa, agama dan cara hidupnya tidak banyak berbeza.

Oleh itu, adalah tidak tepat menganggap orang yang berasal dari gugusan kepulauan Melayu ini sebagai pendatang atau orang asing. Mereka adalah saudara-mara dan dari rumpun bangsa yang sama. Istilah pendatang dan orang asing adalah terbitan kata-kata politik prejudis.

Dendangan P Ramlee seperti Dendang Perantau antara lagu yang menyentap jiwa orang Melayu terutama yang meninggalkan kampung halaman mencari kehidupan, merantau ke ibu kota.

Lagu ini sentiasa menjadi pilihan utama setiap menjelang hari raya di stesen televisyen dan radio Malaysia. Ia bukan sekadar sebuah lagu untuk halwa telinga tetapi ia manifestasi pemikiran P Ramlee tentang konsep "rantau" dalam masyarakat Melayu.

Lagu Dendang Perantau dihasilkan P Ramlee dan liriknya ditulis rakanny, S Sudarmaji yang lahir dengan nama Syed Sudarmaji Syed Abdullah pada 19 Jun 1923 di Jogjakarta. Beliau terlibat dalam filem-filem P Ramlee sebagai pelakon, penulis skrip dan lirik.

Istilah rantau terdapat pada rangkap akhir lagu tersebut:
Impian yang murni
Tinggal menjadi kenang-kenanganku
Hanya rangkaian kata dengan lagu
Dendang perantau

Rangkap ini merakamkan sifat perantau yang mempunyai rasa ingatan kuat pada kampung halaman yang ditinggalkan. Pada P Ramlee dan S Sudarmaji, lagu adalah salah satu kaedah mengingat kampung halaman mereka.

Dendang Perantau adalah luahan perantau yang tidak dapat kembali berhari raya bersama keluarga di kampung. Ini juga berkaitan dengan budaya balik kampung dalam tradisi orang Melayu perantau.

Lagu ini dicipta pada 1960-an ketika P Ramlee berkarya di Singapura. Ketika itu, Singapura dianggap sebagai sebahagian daripada rumpun yang sama dengan Malaya dari segi sosiobudayanya.

Meskipun Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, pemisahan tersebut dianggap hanya dalam bentuk politik semata-mata namun dari segi kebudayaannya, ia masih sama.

Orang berdagang harap ihsan

Semasa S Sudarmaji lahir, Indonesia sebagai sebuah negara belum wujud lagi. Yang ada adalah gugusan kepulauan Melayu yang dijajah oleh kuasa Inggeris, Belanda, Perancis dan Portugis.

S Sudarmaji bukan orang asing. Dia adalah perantau seperti P Ramlee meninggalkan desa halamannya di Pulau Pinang ke Singapura. Bapa P Ramlee yang berasal dari Lhokseumawe, Aceh adalah juga perantau. Bapa seniman tersohor itu bukan orang asing, dan bukannya pendatang. Dia ialah perantau.

Istilah ‘dagang’ dan ‘rantau’ digunakan juga di dalam lirik lagu Joget Pahang dalam filem Hang Tuah pada 1956. P Ramlee sendiri yang menyanyikan lagu tersebut dan liriknya adalah hasil nukilan Jamil Sulong.

Pada rangkap pertama istilah "merantau" digandingkan dengan istilah "dagang". Kebiasaannya begitulah – orang berdagang atau perantau mengharapkan bantuan kasihan daripada orang tempatan. Bantuan diberikan bukan kerana sifat mereka sebagai pedagang atau perantau tetapi lebih kerana mereka adalah dari rumpun bangsa yang sama.

Pukullah gendang hai kulit kerbau
Dalam majlis tari menari
Sayalah ini bang hoi dagang merantau
Mengharap belas orang di sini

Sebuah lagu yang boleh menjelaskan tentang pemaknaan perantau adalah lagu S Effendi yang bertajuk Semalam Di Malaya. Lagu itu ditulis dan digubah oleh Saiful Bahri. Seperti P Ramlee dan S Sudarmaji, penyanyi dan penulis lagenda ini umumnya popular di kedua-dua negara pada masa yang sama. Lagu-lagu mereka yang dinyanyikan adalah merupakan manifestasi pemikiran orang Melayu pada masa itu.

S Effendi dilahirkan dengan nama Said Arrasyidi di Bondowoso sekitar 1930 (sesetengah sumber berkata, dia lahir pada 1923) di Besuki, Jawa Timur dan meninggal di Jakarta pada 11 April 1983.

Nama S Effendi mula digunakan semasa beliau berkarya di studio RRI Jakarta dengan iringan Orkes Studio Djakarta (OSD) pimpinan Josd Clebert pada 1952. S Effendi melantunkan lagu-lagu popular yang diciptakannya sendiri, seperti Bahtera Laju, Timang-timang, dan Fatwa Pujangga, selain karya orang lain. Misalnya Semalam Di Malaysia (karya Syaiful Bahri), Di Ambang Sore (Ismail Marzuki), dan Seroja karya Husein Bawafie.

Merantau dalam berjuang

Lagu-lagu S Effendi berentak Melayu Deli asli dan lagu-lagu patriotik. Penulis lirik dan penggubah lagu ‘Semalam di Malaya’ Saiful Bahri sebenarnya dilahirkan di Payakumbuh, Sumatera Barat pada 19 September 1924.

Kerja Saiful Bahri sebagai pemuzik, penulis lirik lagu dan juga penyanyi membawa beliau merantau ke Malaya pada 1960. Di Kuala Lumpur, dia terlibat dalam industri lagu serta menjadi pegawai khas kepada Menteri Penerangan Malaya, Senu Abdul Rahman, dan beliau pernah menjadi pengarah muzik di Filem Negara Malaysia.

Membaca lirik Semalam Di Malaya sudah cukup menggambarkan ia sebuah lagu yang mempunyai maksud yang sangat dalam dan ada elemen politik pada masa itu. Pada rangkap pertama yang berbunyi:
Aku pulang dari rantau
Bertahun-tahun di negeri orang, oh Malaya
Oh di mana kawan dulu
Kawan dulu yang sama berjuang, oh Malaya

Lagu tersebut lebih menggambarkan pengalaman peribadi penulis liriknya. Saiful Bahri adalah antara individu yang mendapat perlindungan semasa Sukarno menjadi Presiden Indonesia. Beliau tidak bersetuju dasar politik Sukarno yang akrab dengan komunis dan menyertai gerakan menentang presiden berkenaan.

Rangkap pertama yang menyebut istilah "berjuang" itu sebenarnya merujuk perjuangan politik beliau menentang Sukarno. Malaya pada masa itu berkebetulan mempunyai hubungan diplomatik yang dingin dengan Indonesia. Sukarno melihat Malaya pada masa itu probarat dan antikomunis dan sosialis.

Saiful Bahri berlindung di Malaya kerana beliau beranggapan bahawa Malaya memiliki kebudayaan yang sama dengan kampung halamannya.

Rangkap kedua dan ketiga lebih menceritakan tentang kisah cinta hampanya. Namun secara keseluruhan lagu ini, Saiful Bahri lebih menekankan kehidupan seorang perantau.

Kekasih hati pun telah pula hilang
Hilang tak berpesan
Aduhai nasib, apakah daya
Cinta hamba jiwaku merana, mana dinda

Inilah kisahku semalam di Malaysia
Diri terasa sunyi
Aduhai nasib, apakah daya
Aku hanya seorang pengembara yang hina

Legasi karya P Ramlee, S Effendi dan para seniman lain memberi makna kehidupan orang Melayu pada zamannya dan panduan buat kita pada masa sekarang, khususnya tentang orang Melayu.


DR MUHAIMIN SULAM aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya membayangkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS