Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bade akur tujuh adegan Sindiket kena 'cantas'

Pengarah Bade Hj Azmi terpaksa akur apabila tujuh daripada adegan filem terbarunya, Sindiket dipotong Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) sebelum diluluskan untuk tayangan.

Menerima keputusan itu dengan baik, Bade menganggap jumlah potongan itu lebih kecil berbanding filem lain pernah dihasilkannya sebelum ini seperti Maut (2009).

“Saya reda dan bersedia dengan keputusan LPF kerana pernah mengalami nasib yang lebih (teruk) daripada itu apabila Maut terpaksa dipotong berpuluh-puluh adegan," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan media filem berkenaan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya semalam.

Meskipun kecewa, Bade mengakui LPF hanya menjalankan tugas agar tiada adegan seks atau babak ganas ditonjolkan secara keterlaluan dalam sesebuah filem.

Cuma seperti pengarah lain, Bade berkata sudah tentu tindakan LPF itu sedikit sebanyak mengganggu hasil karyanya.

“Disebabkan potongan itu, suntingan akhir kerja tangan saya nampak ‘kasar'," kata Bade atau nama sebenarnya, Badaruddin Azmi.

Antara adegan yang dipotong adalah babak yang dikatakan menjejaskan reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan aksi wanita bunuh diri.

Isu pemerdagangan manusia

Sindiket yang diinspirasikan dari kisah benar mengetengahkan isu pemerdagangan manusia yang berlaku di Malaysia.

Filem yang memulakan penggambaran pada 2013 itu dibarisi pelakon antaranya Sharnaaz Ahmad, Soo Wincci, Daphne Iking, Liyana Jasmay, Tony Eusoff dan Sharifah Amani.

Penerbit Syarikat Loyal Studio Sdn Bhd memilih Pulau Sebatik, Kalimantan Indonesia dan Kundasang, Sabah sebagai lokasi penggambaran.

Pengarah yang sinonim dengan filem aksi seperti Gangster, KL Menjerit dan Castello itu berharap Sindiket dapat mendidik masyarakat mengenai isu pemerdagangan manusia.

“Selain pengedaran dadah yang menjadi masalah dunia nombor satu, pemerdagangan manusia adalah isu yang amat serius.

“Adalah bagus untuk mendidik masyarakat mengenai masalah pemerdangangan kerana jika anda mengetahui kisah sebenar ia sebenarnya amat menyakitkan untuk dihadam.

“Kebanyakan kisah benar ini diketahui selepas saya menjalankan kajian dan penyelidikan ke atas individu yang mengetahui atau terbabit dengan isu itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS