Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Didakwa persenda Najib, Seniman tuntut TV S'pura mohon maaf
Diterbitkan:  Apr 4, 2017 5:57 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan membuat laporan polis terhadap stesen penyiaran negara jiran kerana didakwa menyiarkan rancangan yang mempersendakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah turut mendesak penerbit rancangan Ok Choppe memohon maaf terhadap perdana menteri.

"Seniman mendesak penerbit rancangan Ok Choppe daripada Mediacorp 5 untuk meminta maaf kepada perdana menteri Malaysia dan rakyat Malaysia di atas keceluparan ini.

"Jika tidak, kami akan mengetuai usaha untuk mengharamkan artis-artis biadap ini daripada terus berkarya di Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Menerusi rakaman yang tular di media sosial, beberapa selebriti Singapura termasuk pengacara terkenal, Najip Ali didakwa menjadikan Najib sebagai bahan jenaka ketika muncul dalam episod ke-26 rancangan berkenaan.

Rancangan yang dihoskan Vernetta Lopez itu turut menampilkan tiga selebriti lain iaitu Mike Kasem, Rishi Budhrani dan Sam See.

Dalam rancangan tersebut, mereka dikehendaki mengisi tempat kosong terhadap soalan yang dikemukakan Vernetta.

Soalan tersebut berbunyi: “Najib slams ____ for threatening Malaysia’s progress” (Najib membidas ____ kerana mengancam perkembangan negara).

Selebriti-selebriti tersebut kemudian memberikan pelbagai jawapan dalam bentuk jenaka.

Antaranya, Rishi yang menjawab “The truth is, Najib slams himself for threatening Malaysia progress" (Najib bidas dirinya sendiri kerana mengancam kemajuan negara) yang membuatkan penonton tertawa.

Penyiar radio, Mike Kassem pula berkata “Najib Slams the news for threatening Malaysia’s progress (Najib bidas berita tertentu kerana mengancam kemajuan negara).

Sam pula menjawab "The most dangerous thing, Beauty And The Beast for threatening Malaysia’s progress (Paling bahaya, Beauty And The Beast kerana mengacam pembangunan negara).

Bagaimanapun, jawapan yang sebenar diberikan oleh pengacara terbabit adalah "Najib slams fake news for threatening Malaysia’s progress” (Najib membidas berita palsu kerana mengancam perkembangan negara).

Menurut Hafiz, perbuatan mempersenda pemimpin sebuah negara lain adalah tidak wajar demi mengaut keuntungan dan menaikkan rating penonton.

Malah, katanya, perbuatan itu juga boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura.

Justeru, Hafiz berkata Seniman akan membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur, Jumaat ini berhubung isu berkenaan.

 

Lihat Komen
ADS