Pelakon dan pelawak Mat Sentol menyambut baik Anugerah Bintang Legenda dan Pingat Ahli Kehormat Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) yang diterimanya hari ini kerana ia disampaikan ketika beliau masih hidup.
Menurutnya, setiap seniman tidak perlu menunggu terlalu lama untuk dikenang jasa dan usaha mereka dalam membangunkan industri seni tanah air.
“Pengiktirafan sebegini adalah sesuatu yang bagus. Bagi saya, jangan sampai orang itu dah mati atau semput baru nak bagi,” katanya dalam sidang media selepas menerima anugerah berkenaan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada Program Kajian Insan - Khazanah Seni Negara di Finas, Hulu Kelang hari ini.
Program berkenaan yang berlangsung kira-kira dua jam dikendalikan oleh Aziz M Osman selaku moderator.
Dalam program itu, Aziz yang juga pelakon dan pengarah bertanyakan soalan dan Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya, 90-an, menjawab soalan diajukan.
Seperti biasa, Mat Sentol yang memang terkenal dengan lawak mencuit hati tidak gagal memberikan jawapan yang lucu di samping temu bual itu turut diselang-seli dengan aksinya yang menghiburkan.
Mat Sentol popular di era sekitar 1950an dengan filem seperti Mat Bond, Mat Raja Kapur, Mat Tenggek dan Mat Spy. Selain berlakon, Mat Sentol juga menjadi pengarah, berbakat dalam bidang animasi dan penggunaan kesan khas.
'Charlie Charplin Malaysia'
Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini, Presiden Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), Datuk Jurey Rosli menjelaskan, pengiktirafan ini merupakan penanda aras bagi menghargai kemahiran, pengalaman dan kepakaran setiap karyawan industri filem di Malaysia.
“Kami tengok Pak Mat (Mat Sentol) sebagai individu yang banyak menyumbang dalam industri, beliau pada zamannya sudah bergerak melampaui masa.
“Pemikirannya begitu kreatif, beliau sudah mula melakukan efek kesan khas pada zaman dulu lagi. Mat Sentol juga dianggap antara spesis yang sudah tiada, dengan lawak-lawaknya, beliau ibarat Charlie Chaplin Malaysia.
“Justeru, kami buat keputusan untuk memberi anugerah berkenaan semasa hayatnya kerana kita tidak mahu sudah meninggal baru nak mengiktiraf bakatnya itu.
“Dengan adanya program sebegini, Mat Sentol boleh datang sendiri dan bercerita kisahnya, bukannya anak atau isteri beliau yang berbuat demikian untuknya,” katanya.
Menurut Jurey yang juga Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia, CCIG kini kian rancak meneruskan usaha mengiktiraf lebih ramai bintang legenda masih hidup.
Katanya, pelakon Datuk Sarimah Ahmad termasuk dalam perancangan CCIG seterusnya.
“Bintang legenda yang masih hidup tidak ramai, yang ada di Singapura Wahid Satay dan Datuk Maria Menado manakala di Malaysia adalah Datuk Sarimah untuk berkongsi pengalamannya dalam perfileman negara.
“Kami merancang untuk memberi Anugerah Bintang Legenda dan Ahli Kehormat CCIG kepada Datuk Sarimah dalam masa terdekat, iaitu sebelum tiba bulan Ramadan,” katanya.
