Paling Popular
Terkini

ULASAN | Lampu jalanan. Kesibukan kota raya. Deretan bangunan tinggi, manusia yang lemas dan lelah menuju cita-cita. Kuala Lumpur adalah saksi segala-galanya.

Di sebalik kejayaan ada yang berduka, menangis dan meratap. Yang berjaya dapat mengumpul kekayaan berbilion ringgit setiap tahun. Yang gagal dan kecundang, akan terjerumus. Putus asa. Kecewa. Marah-marah. Kuala Lumpur adalah segala-galanya.

Sejak 1 Februari 1974 Kuala Lumpur mula bergelar Wilayah Persekutuan dengan pelbagai suka duka. Kejayaan dan kegagalan. Dengan tiga juta penduduk tempatan yang sah dan entah berapa juta pendatang tanpa izin, Kuala Lumpur adalah di antara kota yang pesat membangun.

Dengan kemudahan asas dan perubatan, Kuala Lumpur setanding Jakarta, Bangkok atau Hanoi yang sesak dan berliku.

Kos kehidupan dan peluang pekerjaan menjadikan Kuala Lumpur terlalu berkira dengan kerjaya.

Bagi warga kota raya berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, anda antara warga miskin yang terperangkap dengan kesesakan jalan raya dan peluang mendiami rumah selesa.

Gaji RM4,000 terlalu kecil untuk beras dan ikan kering, apatah lagi untuk keperluan kehidupan lain seperti hal-hal kekeluargaan, perbelanjaan anak ke pusat pengajian tinggi dan kos penjagaan anak kecil.

Kemiskinan bandar sememangnya terabai daripada perancangan kota menjelang Transformasi Nasional 2050.

Anda jangan sakit kerana kos rawatan terlalu tinggi. Hospital kerajaan pun tidak menyediakan ubat-ubatan yang secukupnya dan perlu dibeli di farmasi. Bagi kakitangan dan pesara awam yang dulunya ada rawatan percuma, kini hak mereka sudah dinafikan.

Mereka perlu membeli ubat dan membuat tuntutan kemudian di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Entah berapa lama wang tuntutan baru akan dibayar semula.

Suara rakyat akhirnya lebur

Sebelum ini kakitangan dan pesara kerajaan dibekalkan ubat penyakit kronik oleh syarikat farmasi Oratis. Kini bekalan tidak disediakan lagi kerana kerajaan lambat melunaskan bayaran menyebabkan farmasi menghadapi masalah.

Ada yang kata kerajaan tidak ada duit sekarang, namun di sebalik kenyataan mengenainya, pembesar negara berketa, ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat.

Kita ada hubungan dagang yang baik dengan Arab Saudi, China dan India. Pemimpin kita amat baik dengan pemimpin negara lain yang ada kepentingan ekonomi. Kita ada wang, tapi di mana wang itu?

Apa pun Kuala Lumpur tetap hidup dengan kerencaman kehidupan. Pembangunan dan sektor dagang berkembang pesat sehingga kita terlupa untuk meraikan kepentingan seni di Malaysia.

Kebanyakan negara maju, karya seni dihargai dan dimartabatkan. Kita terlalu berkira, hatta sebuah arca yang sekian lama berdiri di Kuala Lumpur dimusnahkan kerana mengotorkan ibu kota kita.

Arca Puncak Purnama sudah diruntuhkan tahun lalu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana dituduh menghalang pemandangan umum, kotor dan menjadi sarang nyamuk. Hasil rekaan Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal dimusnahkan kononnya membahayakan orang ramai.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, arca tersebut telah terbiar tanpa jagaan dan penyenggaraan.

Ramai seniman yang membantah. Ramai warga Kuala Lumpur yang bersuara kerana arca yang menampilkan susuk seni kita sudah dimusnahkan oleh tangan birokrat. Namun siapalah rakyat biasa kerana suara mereka akhirnya lebur di sebalik sang penguasa yang lebih bertaring.

Simbolik pemusnahan arca boleh dibaca sebagai karya seni kurang diperlukan untuk sebuah kota raya bernama Kuala Lumpur.

Penyair bawah tiang lampu seperti Pyanhabib, Imuda, Sani Sudin, Kamarool Yusuf dan Ladin Nuawi tiada lagi ruang seperti tahun 1986. Sajak dan cerpen tak boleh dibaca dekat Pasar Budaya. Ia dah jadi kawasan pelancongan. Pelancongan adalah ekonomi. Ekonomi ada kaitan dengan kapitalis. Di belakangnya adalah orang politik dan penguasa yang luar biasa kuasanya.

Justeru, seni semakin jauh di Kuala Lumpur. Bangunan pun kurang seninya. Bagai kotak kaca dan simen yang disusun bertingkat-tingkat.

Benarlah kata seniman, Kuala Lumpur kurang seni dan budaya. Kuala Lumpur juga terlalu asing bagi pencipta seni bina apabila banyak bangunan menggapai awan tidak mempunyai ciri warisan tempatan.

Kecuali Menara Bumiputra, Menara Telekom, Menara Berkembar Petronas dan beberapa lagi, tidak banyak bangunan yang menggambarkan seni bina tempatan.

Lebih malang apabila banyak nama premis tidak menggambarkan ciri Nusantara. Empire Tower, Menara Multi Purpose, Capital Square Condominiums, Wisma Goldhill, Menara Keck Seng, Park View Service Apartment -- tidak menggambarkan realiti kewujudannya di Lembah Klang.

Namun hakikatnya, inilah Kuala Lumpur, kota yang megah dengan nama dan segan untuk mendaulatkan karya seni ke tahap yang sepatutnya.

Anwar gugur, seni dimusuhi

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur pernah menjanjikan penyediaan ruang selesa untuk seniman berkarya pada 1987. Beliau membayangkan Dataran Merdeka - yang ketika itu dalam proses pembinaan - akan memberi ruang kepada seniman berkarya.

Ketika itu gerakan seniman jalanan hampir memeriahkan Kuala Lumpur setiap malam minggu. Baca puisi, aksi spontan teater di bawah tiang lampu dan persembahan Sani Sudin bersama Kopratasa yang menyanyi dan berceloteh menarik perhatian ramai.

Tepian Pasar Budaya dan Jalan Chow Kit dihidupkan oleh Pyanhabib, Khalid Salleh, Halim Yazid, Ladin Nuawi, Siso dan Imuda dengan aksi spontan. Mereka di antara seniman jalanan yang akhirnya membesar dengan karya seni menarik.

Banyak juga acara sastera secara rasmi anjuran DBKL tiada lagi. Baca Puisi DBKL yang dianjurkan di Jalan Raja Laut hanya bertahan seketika. Majlis yang digerakkan oleh penyair Abdulaziz HM kini hampir dilupakan masyarakat kota raya.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga semakin mengendurkan acara seni di Kuala Lumpur. Pengucapan Puisi Kuala Lumpur tidak ada lagi.

DBP juga memperkenalkan penataran sastera yang bertujuan pendedahan sasterawan muda ke Indonesia. Malang, ia hanya berjalan beberapa tahun. Program berkenaan berjaya memberi pendedahan kepada beberapa penulis muda berkenalan dengan tokoh kesenian di Jakarta tapi malangnya berakhir tanpa tindakan susulan.

Ketika Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang menjawat Penasihat Sastera Maybank (1991-2001), beliau menggerakkan program baca puisi bulanan dengan mengundang ramai penyair terkenal tempatan dan luar negara, termasuk WS Rendra.

Program berkenaan mendapat sambutan ramai kerana pembabitan badan korporat dalam bidang kesenian dianggap sesuatu yang mustahil di negara ini.

Majlis ini juga berlalu tanpa upaya meneruskan aktiviti seni. Persoalan yang timbul ialah apakah acara seni memerlukan pembabitan tokoh politik sebagai penggerak?

Ketika itu ada individu yang berkuasa meminati karya seni, justeru, acara kesenian menjadi tugasan negara. Individu berkenaan - Datuk Seri Anwar Ibrahim - amat meminati seni dan Maybank ada iltizam untuk menjadikan acara baca puisi sebagai program bulanan di ibu pejabat bank berkenaan.

Apabila Anwar digugurkan pada 2 September 1998, acara seni dianggap musuh, dianggap reformis, dianggap untuk orang radikal dan golongan kiri.

Hari ini banyak majlis seni sekadar diadakan bagi mengisi jadual kegiatan semata-mata. Seni sekadar ada pun tak apa, tak ada pun tak apa. Kecuali konsert pop dan rock yang dianggap preastasi tinggi, kegiatan sastera dan budaya sekadar menghabiskan bajet yang tersisa dalam rangka perbelanjaan nasional. Pementasan teater Melayu kurang diberi tumpun berbanding teater Inggeris yang mendapat penajaan korporat dan tercatat dalam kalendar pelancongan negara.

Warisan tradisional seperti wayang kulit, makyung, menora, dikir barat, boria, dondang sayang dan ghazal sudah lama tak kedengaran di Kuala Lumpur. Kota raya ini terlalu sibuk dan tak sempat meraikan warisan tradisional.

Industri kreatif jika diberi peluang boleh meletakkan Kuala Lumur ditahap yang tinggi. Karya seni amat diperlukan ketika Kuala Lumpur semakin sibuk dan sempit. Kesenian sepatutnya pengubat jiwa warga Kuala Lumpur yang sekian banyak masa mereka untuk aktiviti ekonomi dan sosial.

Pada 2013 industri berkenaan menjana pendapatan sebanyak RM7 bilion dan meningkat RM1.9 bilion lagi pada 2014. Pada 2015 dan 2016 angkanya tidak kelihatan. Mungkinkah kreatif tidak dianggap sebagai keperluan negara lagi?

Bagaimanapun karya seni tidak seharusnya digandingkan dengan perkiraan untung dan rugi semata-mata. Ia harus dimartabatkan sebagai penggerak minda dan pengasuh jiwa manusia menjelang 2050.

Kemajuan tidak bermakna jika Kuala Lumpur gagal menempatkan diri sebagai kota seni terkemuka di rantau ini. Jika kota raya terdekat seperti Bangkok, Jakarta dan Hanoi dikenali dengan kegiatan seni, Kuala Lumpur harus berubah daripada kota batu yang kaku dan bisu kepada ruang untuk menyuarakan isi hati warganya. Hal ini boleh dicapai jika ada iltizam. DBP,

DBKL dan badan korporat perlu kaji isu ini bagi memastikan Kuala Lumpur berkembang dari segi ekonomi dan kemanusiaan.

Malangnya kita berada dalam keadaan yang celaru dan lesu sekarang. Kuala Lumpur kurang seninya. Ada yang mengeluh dan putus asa. Ada apa di Kuala Lumpur sekarang kecuali kesesakan, banjir kilat, tanah runtuh, jejak tikus dan anak muda merenung masa depan yang penuh tanda soal.


IMLAN ADABI ialah sasterawan dan bekas wartawan Berita Harian. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukan menggambarkan pandangan Malaysiakini

Lihat Komen
ADS