Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sheila muncul hidang kisah 'boneka bernyawa'
Diterbitkan:  Apr 12, 2017 11:51 AM
Dikemaskini: 12:22 PM

Selepas puluhan tahun menghiburkan peminat, di hati Datuk Sheila Majid, beliau berasakan seolah-olah yang beraksi di atas pentas itu adalah "boneka bernyawa".

Dan sebagai penghibur, ratu jazz itu berasakan dirinya adalah boneka kepunyaan orang ramai yang menyaksikannya membuat persembahan.

Kata Sheila, demi memenuhi tanggungjawab sebagai penghibur, beliau terpaksa menjadi seorang Sheila "yang berbeza" antara di atas pentas dan sebaliknya.

“Hakikatnya, saya individu yang low profile tetapi bekerja di ruang high profile. Jadi apa yang dipersembahkan, dipertontonkan oleh khalayak itu hanyalah macam satu boneka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berkisah mengenai album terbarunya, Boneka. Ia adalah album rakaman studio pertama selepas kali terakhir mengeluarkan album seumpama itu 13 tahun lalu.

Album itu dilancarkan secara rasmi di Kuala Lumpur semalam.

Menceritakan mengenai album itu, Sheila berkata, beliau sengaja memilih tajuk itu kerana berasakan ia dapat menceritakan perjalanan hidupnya.

“Saya adalah boneka kepunyaan khalayak sewaktu di atas pentas,” katanya.

Sheila atau nama sebenarnya Shaheila Abdul Majid, 51, berkata Boneka adalah buah tangan paling didambakannya untuk dipersembahkan kepada peminat.

Boneka adalah hadiah buat peminat yang tidak putus-putus bertanyakan mengenai kemunculan album terbaru saya.

"Kalau nak diikutkan, disebabkan industri tidak menentu, saya tidak yakin untuk tampil dengan album baru,” katanya.

Berubah lepas jumpa Tohpati

Menurut penyanyi Sinaran itu, Boneka mengambil tempoh tiga tahun sebelum disiapkan dan dipastikan begitu agar dapat meninggalkan impak positif dan menjadi kepada halwa telinga pendengar.

Kelangsungan pembikinan album itu berjalan lancar sebaik beliau ‘bertemu jodoh’ dengan komposer dan gitaris terkenal Indonesia, Tohpati tahun lalu.

“Mengikut perancangan awal, saya hanya mahu mengisi album ini lima buah lagu saja.

“Dan sejujurnya, hampir 100 lagu diberikan kepada saya oleh pelbagai komposer tetapi hanya empat yang dirasakan betul-betul sesuai," katanya.

Sheila sebenarnya sangat memilih. Justeru, satu daripada lagu yang ditolak itu ialah hasil ciptaan suaminya, bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Acis, yang dirasakan kurang serasi untuk dibawa.

Kata Sheila, lagu itu lebih sesuai dibawa oleh penyanyi lain.

“Tetapi pertemuan dengan Tohpati mengubah segalanya. Dan selepas itu saya berjaya memenuhkan album itu hingga 10 buah lagu,” katanya.

Selain komposer Indonesia, album Boneka turut mendapat sentuhan penggubah lagu tempatan iaitu Azman Abu Hassan, Kevin Chin, Omar K, Jenny Chin dan Najwa Mahiaddin.

Pun begitu, proses rakaman lagu tidak mengambil masa yang lama dengan beberapa lagu dirakamkan di Indonesia manakala selebihnya di Malaysia.

Antara lagu dimuatkan dalam Boneka ialah Lebih Dewasa, Melukis Dunia, Ku Nanti, Kasih Abadi, My All dan Kasih Kamu.

Lihat Komen
ADS