Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Pelapis Joget Gamelan, tarian penuh gemalai

Soon Li Wei & Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Apr 2017, 10:59 pagi

Dewan teater yang hingar sebentar tadi beransur hening tatkala lampu pentas dinyalakan, agak malap khusus disesuaikan dengan suasana persembahan.

Sekumpulan remaja berpakaian tradisional Melayu lengkap bersamping songket bagi lelaki manakala perempuan berbaju kurung songket berarak masuk ke pentas, masing-masing terus bersila di belakang pelbagai peralatan muzik yang telah tersedia di situ.

Sebaik sahaja gong dipalu, pemuzik mula mengalunkan lagu menggunakan peralatan muzik seperti keromong, gambang, saron, sletem, kenong, gong dan gendang, sekali gus melenyapkan terus saki-baki suara penonton.

Serentak itu kelihatan empat penari lelaki memulakan persembahan dengan silat tari bertajuk 'Perang' diiringi alunan gamelan. Para penonton yang hadir pada persembahan 'Gema Gemalai' di Teater KuAsh Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun (PKKTB), di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur, pada petang itu kelihatan khusyuk menonton persembahan itu.

Persembahan kedua, alunan instrumental gamelan Melayu tidak kurang hebatnya, dimainkan oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Hidupkan seni tarian

Seterusnya, kelihatan gadis-gadis remaja berpakaian penari istana lengkap dengan pelbagai perhiasan melangkah teratur ke pentas mempersembahkan rangkaian Joget Gamelan merangkumi tarian Togok, Timang Burung dan Topeng.

Para penonton terus terpana, mata masing-masing tertancap ke pentas menikmati seni tarian yang penuh gemalai, kaki diayun kemas namun menyerlahkan kelembutan sambil tangan masing-masing memegang kipas yang digerak-gerakkan melentuk-liuk mengikut alunan muzik.

Persembahan-persembahan itu dijayakan hasil inisiatif Pusat Budaya Pusaka(PUSAKA), PKKTB dan Yayasan Hasanah dalam usaha memartabatkan kembali seni Joget Gamelan yang dibawa dari Terengganu.

Yayasan Hasanah adalah satu entiti Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang diwujudkan bagi meningkatkan usaha dan penginstitusian tanggungjawab korporat Khazanah.

Mengulas mengenai persembahan itu, tenaga pengajar joget gamelan Farizan Mohammad Razuri berkata jarang sekali masyarakat masa kini dapat menyaksikan persembahan gamelan dalam 'repertoire' yang panjang, yang menggabungkan permainan alat muzik dan joget.

Pada masa ini, tambah beliau, muzik gamelan lebih banyak mengisi majlis rasmi sebagai muzik latar atau sekadar mengisi satu atau dua persembahan tarian sahaja.

"Justeru, kerjasama dalam mempersembahkan joget gamelan diharapkan dapat memperkenalkan kembali kepada generasi muda, seni warisan yang dilihat semakin tenggelam ditelan dek zaman," katanya kepada Bernama selepas persembahan baru-baru ini.

Joget Gamelan

Farizan menjelaskan bahawa, joget gamelan merujuk kepada sekumpulan gadis yang menzahirkan sebuah penceritaan melalui gerak tari diiringi muzik gamelan.

"Muzik dan tarian Gamelan adalah tafsiran kehidupan dan nilai-nilai murni yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu kerana ia boleh diangkat sama tinggi dengan kesenian bangsa lain dari seluruh pelosok dunia," katanya.

Menurut beliau seni persembahan muzik dan tarian Gamelan Melayu adalah warisan kesenian yang terkenal suatu ketika dahulu kerana kelembutan gerak tari, kemerduan alunan muzik, keindahan busana dan unsur penceritaannya yang mempersonakan.

Pakaian joget gamelan merangkumi pelbagai perhiasan seperti gerak gempa, gandik, bunga tajuk, gayut tengkuk, cekak leher, teratai (lapik dada), pending, selendang dan sepasang kipas.

"Perhiasan-perhiasan tersebut adalah kemestian kerana ia memberikan identiti tersendiri kepada joget gamelan Melayu," tegas beliau.

Joget Gamelan yang berasal dari istana Kerajaan Riau-Lingga di Pulau Penyengat, Riau dipercayai wujud sejak kurun ke-17. Seni itu kemudiannya dibawa ke Pahang dan dipersembah di Tanah Melayu pada 1811 di sebuah istana di Pekan sempena perkahwinan Diraja di antara kerajaan iaitu Riau-Lingga dan Pahang.

Pengaruh seni itu kemudiannya dikembangkan ke Terengganu menerusi perkahwinan diraja pada kurun ke-18, namun mengalami zaman gelap akibat Perang Dunia Kedua pada 1942.

Seni muzik gamelan kemudiannya dihidupkan kembali oleh seorang pengkaji budaya Melayu, Tan Sri Mubin Sheppard (Allahyarham) pada 1960-an apabila terlihat set gamelan yang disimpan di Istana Kolam, Terengganu. Beliau adalah seorang sejarawan serta budayawan Malaysia dan merupakan pengarah pertama Muzium Negara.

Guru tarian yang mempunyai pengalaman 16 tahun dalam joget gamelan itu adalah antara 10 tenaga pengajar yang menjayakan persembahan 'Gema Gemalai- Joget Gamelan' itu.

Menjelaskan lanjut, Farizan berkata projek itu bertujuan memberi kuasa kepada komuniti pengamal joget gamelan dengan memulakan program latihan di mana pengetahuan dalam warisan tradisi diperturunkan kepada generasi muda.

Setakat ini, projek berkenaan berjaya melatih 32 pelajar dari Sekolah Menengah Sultan Sulaiman dan Sekolah Menengah Tengku Bariah, Terengganu manakala di Kuala Lumpur, pelajar-pelajar PKKTB yang terlibat terdiri daripada 20 remaja kurang bernasib baik berusia di antara 13 dan 15 tahun dari rumah-rumah perlindungan seperti Rumah Safiyyah di Puncak Alam; Rumah Solehah, Ampang dan OrphanCARE Foundation, Petaling Jaya.

Latihan untuk persembahan itu yang sebanyak 16 sesi berlangsung selama kira-kira lapan bulan mulai Ogos tahun lepas hingga Mac, dengan PKKTB yang bertanggungjawab ke atas kanak-kanak rumah perlindungan itu manakala PUSAKA pula terhadap pelajar-pelajar dari Terengganu.

Persembahan pertama di khalayak umum, pelajar-pelajar PKKTB yang mempersembahkan silat tari dan tarian Togok itu adalah harapan bagi memastikan kelangsungan seni itu pada masa depan.

Projek berkenaan dibiayai dengan hasil pementasan muzikal Malam Terang Bulan (MTB) yang mengisahkan asal-usul penciptaan lagu 'Negaraku' di Dewan Filharmonik pada 2015.

Bina keyakinan diri

Farizan menjelaskan, pelajar kurang bernasib baik adalah kumpulan sasaran bagi program tersebut memandangkan mereka adalah masa depan dalam memastikan jangka hayat seni joget gamelan.

Bengkel selama enam bulan itu menjadi satu bentuk saluran kreatif untuk kanak-kanak tersebut dan dengan itu dapat menjauhkan mereka dari jalanan, membantu membina kembali keyakinan dan mencungkil bakat seni yang terpendam.

"Ada dalam kalangan remaja yang malu untuk membuat persembahan di khalayak ramai namun setelah mengikuti program kesenian ini selama enam bulan, keyakinan mereka pulih," katanya.

Selain melibatkan pengamal tradisional yang menjadi golongan pelapis para penari di raja, program itu juga merangkumi pelbagai aspek dokumentasi joget gamelan termasuk sejarah, pergerakan, peralatan muzik, pakaian serta temu bual dengan pakar-pakar tradisi.

-Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan