Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Ia adalah antara kerja tangan Hamir Soib paling kecil untuk pameran kali ini. Dan memang nama pameran itu pun Small Works semuanya adalah kecil secara ralatif jika dibandingkan dengan lukisan Hamir sebelum ini.

Lukisan antara yang terkecil itu dilengkapkan dengan satu set tujuh kotak disusun berbaris kemas pada sebatang tiang di galeri Segaris Art Centre di Publika, Kuala Lumpur.

Namun seperti hal kebiasaannnya untuk lukisan-lukisan Hamir, jangan memandang pada saiz. Dalam kekecilan dan sepi itu lukisan berjudul Klinik Dr Hamir itu memancarkan mesej yang besar dan bingit - kecuali jika anda sengaja enggan, atau mengambil sikap ignorance.

Susunan lukisan di pameran Small Works itu memang menarik. Antara lukisan terawal dapat dilihat pada ruang pameran itu ialah Senyum Seorang Kolektor yang dihasilkan pada 2016. Ia adalah lukisan menggunakan bahan bitumen di atas kanvas.

Ke depan sedikit, pengunjung boleh segera menjamu mata menikmati himpunan beg tangan wanita berjenama mahal. Ia sudah pun dikisahkan dalam laporan terdahulu Malaysiakini.

Beberapa langkah lagi ke depan, di situlah anda boleh melihat susunan tujuh kotak putih berbaris. Di dalamnya ada tersimpan ubat-ubatan dikeluarkan oleh "Klinik Dr Hamir".

Namanya saja sudah nakal, sebenarnya.

"Sekarang ramai benar orang menyamar. Sesiapa saja boleh mengaku menjadi apa saja - doktor, datuk, datuk seri - semua boleh," katanya menjelaskan mengapa dia sengaja menamakan lukisan itu Klinik Dr Hamir.

Hamir seorang pelukis dan sememangnya bukan seorang doktor perubatan.

Lukisan itu asalnya terinspirasi daripada pengalaman Hamir menemani ibunya di hospital. Dia ingin melukis ubat-ubatan yang diberikan kepada si ibu.

Tujuh hari seminggu

Namun idea itu dikembangkan menjadi 'lain'. Hamir, 48, melukis tujuh jenis ubat yang sebenarnya sudah lazim diambil orang ramai di negara ini.

"Ia adalah ubat-ubatan penahan sakit, menandakan betapa kini kita sudah terlalu menanggung kesengsaraan akibat kehidupan kontemporari.

"Satu daripada ubat itu adalah pil yang anda kena ambil sepanjang hidup jika sudah mula memakannya, iaitu untuk ubat darah tinggi," katanya.

Apakah yang menyebabkan kita merana dan terpaksa menelan ubat penahan sakit itu? Banyak. Kerana kos hidup yang tidak pernah menurun, harga barangan keperluan dan minyak yang menyeksa dan banyak lagi.

Tidak boleh dilupakan, 'penyakit' yang dibawa lalat-lalat berterbangan dalam segenap bidang di negara ini.

Kisah tentang lalat itu juga pernah disiarkan Malaysiakini 9 April lalu.

Dan ia sengaja disiapkan sebanyak tujuh 'biji' walaupun asalnya Hamir bercadang menyiapkan lebih banyak daripada itu.

Tujuh adalah simbolik kepada tujuh hari seminggu yang tidak boleh tidak, mesti dilalui seseorang.

Selepas ini Hamir juga akan mengembangkan idea lukisan bersaiz 5sm x 5sm itu. Dia akan menyiapkan siri gula-gula "m". Ada beberapa keping sudah siap namun ia bukan untuk dipamerkan.

Hamir akan menyiapkan siri "m" yang lain.

"Huruf 'm' itu ada banyak makna. Ia pun boleh dianggap sebagai sejenis penyakit juga. Misalnya, Melayu, malas, mengumpat, dan seumpamanya," kata Hamir.

Namun elok juga dinyatakan, lukisan Hamir wajar dihayati dengan fikiran terbuka. Elakkan paranoid atau ketakutan pada sesuatu yang tidak perlu - seperti kebimbangan yang mungkin dialami seseorang ketika melihat set beg pada lukisan berjudul .my collection itu.

Lukisan lain yang tidak kurang menarik - dan tajamnya - ialah Hijab Muslimah (bitumen dan akrilik atas kanvas - 2014), Broken Rice Bowl (bitumen dan akrilik atas kanvas - 2014), The Pimp (bitumen atas kanvas - 2014) Talk Cock (bitumen atas kanvas - 2011), Unesco Malaysia's Heritage Building (akrilik atas kanvas - 2016) dan The Great Tone (bitumen atas kanvas - 2015).

Jika melihat siri gigi rosak berlubang pula, luangkan sedikit masa yang lebih untuk mengintai imej-imej yang disembunyikan padanya.

Pameran Small Works itu berlangsung sehingga 19 Mei ini.

Lihat Komen
ADS