Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dalam sederhana angpau Tere Liye memukau pembaca
Diterbitkan:  May 10, 2017 3:04 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Novel Kau, Aku Dan Sepucuk Angpau Merah (KADSAM) ini tidak mempunyai sinopsis di kulit belakangnya. Namun ketiadaan itu tidak langsung menjadi penyebab untuk kita menolak daripada mendekati buku ini.

Tarikan utama pastilah pada nama besar pengarangnya, Tere Liye, yang lewat novel-novelnya sebelum ini sangat berkemampuan untuk mencungkil hal-hal istmewa daripada kehidupan yang tidak menarik perhatian.

Ya, benar. Mungkin tidak ada yang menarik perhatian kita daripada kehidupan Borno - seorang bujang paling lurus yang baru mencuba untuk mencari rezeki sebagai pengemudi sepit di Sungai Kapuas, Pontianak di Kalimantan.

Sepit (dari kata speed) adalah perahu kayu yang membawa penumpang membelah arus Sungai Kapuas untuk ke seberang iaitu ke kota Pontianak.

Setiap hari, pengemudi-pengemudi sepit akan beratur mengambil giliran membawa penumpang yang juga perlu beratur panjang di dermaga kayu.

Namun, anak yatim ini dengan perwatakan serba sederhana inilah yang memberikan kelainan lantas menjadikan KADSAM begitu menyenangkan dan istimewa.

Jarang sekali Tere Liye mengungkapkan latar tempat secara nyata lewat novel-novel karangan beliau. Namun dalam KADSAM, latar tempat sangat jelas – sebuah kota air yang dibelah oleh aliran Sungai Kapuas yang bermuara di Laut Cinta Selatan.

Apakah KADSAM ini adalah sebuah kisah cinta teruna dan dara?

Ada apa dengan sampul merah

Juga benar. Kisah cinta yang serba sederhana, lucu dan mengharukan.

Berawal daripada sepucuk surat bersampul merah, digam rapi tanpa nama yang ditemukan Borno keciciran dalam sepitnya, bujang paling lurus ini menjadi penasaran ingin mencari pemilik sampul itu.

Daripada tiga orang penumpang yang terakhir menaiki sepitnya, Borno amat yakin sampul itu adalah milik "gadis berbaju kuning, mengembangkan payung merah, rambut tergerai panjang, wajah sendu menawan" (muka surat 75).

Merasakan sampul itu penting, Borno berusaha mencari gadis berkenaan sehinggalah gadis itu dijumpai sedang membahagi-bahagikan angpau merah (sama seperti yang dijumpainya) kepada kanak-kanak sekolah juga kepada pengemudi-pengemudi sepit di dermaga.

Kehampaan dan berasakan tiada yang penting mengenai sampul berkenaan menyebabkan Borno menyimpan saja sampul itu tanpa menghiraukannya lagi.

Begitupun, gadis sendu menawan yang sering menaiki sepit di dermaga kayu itu semakin menjadi pujaan Borno sehinggakan dia menggunakan pelbagai helah untuk membolehkan gadis itu secara kebetulan menaiki sepitnya setiap hari pada giliran ke-13.

Begitupun adakah kemunculan gadis sendu menawan yang akhirnya dikenali sebagai Mei itu suatu kebetulan?

Apakah sampul merah yang dijumpai oleh Borno itu juga tercicir hanya secara kebetulan tanpa dirancang?

Apakah kaitan kematian bapa Borno dengan sampul merah yang keciciran itu di tangan Tere Liye (gambar)?

Tidak berlebihan untuk dikatakan bahawa, pembaca sukar sekali untuk mengagak plot cerita yang dijalin oleh pengarang sehinggakan ia berlangsung sebagai sesuatu yang tidak terjangkakan – suatu keistimewaan penulis yang tidak boleh dinafikan.

Apa yang menyebabkan novel ini menjadi lebih istimewa ialah apabila pengarang membawakan watak-watak serba sederhana yang wujud dalam alam realiti melalui watak Koh Acong, Pak Tua, Cik Tilani, Jauhari mahupun Bang Togar.

Di akhir cerita ini, pembaca akan merasakan sesuatu yang cukup menyenangkan kerana KADSAM memaparkan kisah manusia-manusia biasa dengan watak, perwatakan dan peranan yang serba sederhana.

Namun kesederhanaan inilah yang akan membuat pembaca tersenyum puas untuk lebih menghargai dan menghormati sumbangan dan kewujudan mereka dalam kehidupan nyata.

Tidak ketinggalan, pembaca selepas ini pasti menjadikan Sungai Kapuas di Pontianak, Kalimantan sebagai destinasi untuk dikunjungi bagi merasakan denyut nadi kehidupan daerah ini sebagaimana yang dikisahkan dalam KADSAM.

Tajuk: Kau, Aku Dan Sepucuk Angpau Merah.
Pengarang: Tere Liye
Penerbit: PT Gramedia Pustaka Utama, Jakarta (2012)
Halaman: 507


NOR RAIHAN ABU BAKAR bekas wartawan akhbar yang kini bertugas sebagai pensyarah sebuah pusat pengajian tinggi awam


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS