Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tukang, seni rumah tradisi mangsa 'Melayu kedekut'

ULASAN | Kehadiran buruh binaan warga asing di Malaysia ini pada asalnya hanyalah sebagai pekerja di tapak-tapak pembinaan besar sahaja.

Namun selepas beberapa lama, buruh buruh binaan warga asing ini sedikit demi sedikit berubah.

Mereka mula mencari peluang sendiri dan menjadi tauke dengan masuk ke kampung-kampung mengambil upah membuat rumah.

Orang ramai yang mahu membina rumah baru ataupun mengubah suai kediaman lebih suka mengambil warga asing ini kerana kadar upah yang lebih murah berbanding dengan tukang rumah tradisional Melayu tradisional yang mempunyai formula sendiri menentukan kadar bayaran.

Di kalangan tukang-tukang rumah Melayu mereka menetapkan kadar upah adalah sama seperti harga barang yang digunakan dalam pembinaan.

Misalnya, jika kadar barang binaan ialah RM10,000 maka upah mereka juga adalah RM10,000.

Lama-kelamaan tukang tukang rumah Melayu ini bukan saja sudah tidak lagi mendapat kerja membuat rumah, malah mereka semakin hari semakin dilupakan.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila ada kalangan tukang-tukang rumah Melayu ini terpaksa mencari kerja lain yang tidak ada kaitan lansung dengan kemahiran mereka.

Upah mahal kualiti rendah

Ada tukang-tukang rumah ini merajuk dengan sikap orang Melayu sendiri yang bukan saja tidak lagi memandang mereka, malah sebahagian mereka dikeji kerana kononnya mengenakan upah mahal sedangkan binaan lambat disiapkan.

Bagi mereka, kerja tukang Melayu kurang berdaya saing berbanding warga asing yang meminta bayaran lebih murah dan kerja pula cepat disiapkan.

Namun hari ini selepas tukang-tukang rumah Melayu ini tiada, harga upah yang dikenakan oleh warga asing untuk membina rumah tidak lagi semurah dulu.

Malah pada ketika tertentu kadar yang dikenakan tiga kali ganda lebih mahal berbanding upah diambil oleh tukang-tukang rumah Melayu dulu.

Mahu tidak mahu, orang Melayu yang ingin membina atau mengubah suai rumah terpaksa mengupah warg warga asing ini jugalah.

Hal itu kerana kini tidak ada lagi tukang-tukang rumah Melayu yang dulu mereka kata mengenakan upah mahal dan lambat menyiapkan kerja.

Lebih malang lagi, kebanyakan warga asing ini bukan saja mengambil upah mahal, malah kualiti kerja mereka sangat teruk, manakala kualiti binaan lansung tidak ada.

Selain ingin mengaut untung sebesar mungkin mereka sebenarnya bukanlah seorang tukang rumah dalam erti kata pengamal seni bina.

Hari ini orang Melayu bukan saja menyesal kerana berbangga dengan warga asing yang kononnya kerja bagus dan murah upah.

Kini kita terpaksa menyesal kerana tukang-tukang rumah Melayu yang memiliki kesenian tersendiri sudah terbunuh oleh sikap masyarakat sendiri.

Tukang tempatan mungkin pernah mengenakan upah mahal secara bandingan namun hasil yang terbina biasanya memuaskan kerana ia memasukkan karya seni yang memang ada dalam jiwa mereka.

Inilah hasilnya apabila seni pertukangan dinilai dengan harga yang murah.

Selamat mengenang tukang-tukang rumah Melayu yang kini sudah menjadi buruh pula.


ROSLY YUSOFF aktivis dan bloger yang banyak melibatkan diri dengan kerja kemasyarakatan di sekitar Bukit Mertajam.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS