Selepas pengarah, pelakon utama Srengenge, Eman Manan pula menjawab kritikan kerana sesekali gagal menuturkan dialek utara dengan meyakinkan dalam telefilem berkenaan.
Pemenang tiga anugerah pelakon lelaki terbaik di festival Malaysia itu mengakui faktor dialek merupakan antara kelemahan telefilem itu, selain penerbit memiliki bajet yang terhad untuk sebuah drama tempatan.
"Selain itu, pelakon pula tidak semuanya berasal dari Kedah, maka sudah tentu ada kekurangan.
"Namun kami sudah bersedia dengan teguran dan berharap penonton faham selain dapat menerima kekurangan yang ada,” katanya kepada Malaysiakini.
Telefilem Srengenge yang ditayangkan di RTM pada 27 Mei lalu diadaptasi daripada karya Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad yang pernah diangkat sebagai novel terbaik oleh Panel Hadiah Karya Sastera 1973.
Novel itu mengisahkan penduduk sebuah kampung di Sik, Kedah, yang percaya terhadap kuasa keramat sebuah bukit.
Dalam Srengenge, Eman memegang watak Awang Cik Teh yang mahu kepercayaan itu dipadamkan dengan menyarankan kawasan bukit berhutan itu diratakan bagi ditanam huma.
Mengakui sedikit sebanyak mampu berbahasa utara, Eman berkata dia masih berupaya memahami dialek Kedah pada kebiasaannya.
“Hendak cakap saya fasih (loghat utara) 100 peratus tidak boleh kerana saya berasal dari Terengganu, tetapi boleh memahami bahasa itu kerana berkawan dengan ramai orang Kedah.
“Dan kebiasaannya, apabila menjalani sesuatu penggambaran di Kedah, saya akan bercakap loghat utara tanpa berasa kekok walaupun drama itu bukan menggunakan dialek berkenaan.
"Mungkin mengambil masa lama untuk saya atau pelakon lain yang bukan berasal dari negeri utara untuk bercakap loghat di sana,” katanya.
Semalam, pengarah Srengenge, Mahuddin Ibrahim berkata pihak produksi telefilem itu telah melakukan sebaik mungkin namun mengakui tidak mampu memuaskan hati semua pihak.
“Memang asalnya kami mahu menggunakan bahasa Kedah 100 peratus, tetapi penduduk di Sik bercakap loghat yang bukan biasa kita dengari. Ia lebih macam bahasa Siam.
“Selepas berbincang dengan penerbit, kami bersetuju untuk menggunakan bahasa yang mudah difahami memandangkan ia sebuah karya besar Sasterawan Negara," kata Mahudin atau lebih dikenali sebagai Jack.
Khuatir terima watak
Eman menjelaskan pada awalnya dia turut berasa khuatir untuk menerima tawaran bagi menjayakan Serengenge, lebih-lebih lagi bukan mudah menerbitkan telefilem yang diadaptasi daripada novel sastera.
Malah secara jujur aktor itu mengaku belum pernah menikmati Srengenge walaupun sudah biasa dengan karya-karya lain Shahnon seperti Ranjau Sepanjang Jalan dan Tunggul-Tunggul Gerigis.
“Ada perkara ditulis dalam novel susah untuk diangkat secara visual. Penulis juga tidak membuat novel untuk satu hari boleh difilem atau didramakan dalam televisyen.
“Mungkin hal itu menyebabkan kerja adaptasi novel ke filem atau drama banyak gagal. Hal itu berlaku bukan saja di sini tetapi di luar negara,” katanya.
Bagaimanapun katanya, keresahan itu berakhir setelah dia membuat penelitian penuh terhadap skrip dan seterusnya menerima watak yang ditawarkan.
