Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hina bapa Watson: Pengacara, penerbit didakwa
Diterbitkan:  Jun 6, 2017 2:24 PM
Dikemaskini: Jun 7, 2017 3:21 AM

Gara-gara meniru bunyi kambing semasa menyebut nama bapa bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek, pengacara dan penerbit program Sukan Tak Sentral di TV3 hari ini dihadapkan ke mahkamah.

Kedua-dua mereka, Azizul Ammar Abu Hassan dan Abdul Ghani Mohd Mokhtar didakwa di Mahkamah Majistret Sibu mengikut Sekyen 504 Kanun Keseksaan kerana cuba mencetuskan ketidaktenteraman awam.

Bagaimanapun kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah.

Jika disabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Memetik laporan The Star, majistret Saiful Sayoti membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dengan RM3,500 setiap seorang dan mengarahkan mereka menghadiri perbicaraan pada 4 Julai depan.

Menerusi program berkenaan pada 22 Mei lalu, di Hotel Medan, Azizul meniru bunyi kambing semasa menyebut nama bapa Watson ketika mengacarakan program komedi itu yang disiarkan menerusi TV3.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Datuk Ahmad Izham Omar sebelum ini dalam satu mesyuarat tertutup memohon maaf kepada Watson.

Keputusan juga diambil untuk menggantung tugas Azizul dan krew terbabit.

Watson pada 24 April lalu, membuat laporan polis ke atas Azizul berhubung dakwaan penghinaan itu. Beliau juga menyatakan hasrat untuk menyaman malu syarikat televisyen swasta tersebut dan akan mencari peguam yang bersedia untuk membantunya.

Menurut beliau, hatinya belum terbuka untuk menerima permohonan maaf daripada TV3 dan Primeworks Studios Sdn Bhd yang mempersenda-sendakan nama bapanya.

Luahan Watson itu mendapat reaksi serta perkongsian ratusan netizen yang mahu Watson menyaman stesen televisyen berkenaan serta mengutuk tindakan rancangan tersebut yang menghina bapanya.

Watson yang memegang rekod kebangsaan 100m iaitu 10.30 saat selama 18 tahun sebelum dipecahkan Khairul Hafiz Jantan yang melakukan 10.18s pada Sukma Sarawak tahun lepas, diisytiharkan muflis selepas gagal membayar balik pinjaman bank yang digunakan untuk menanggung kos perubatan bapanya yang menderita barah telinga.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan daripada status muflis selepas kerajaan Sarawak membayar balik tunggakan pinjaman sebanyak RM80,000 itu.

Lihat Komen
ADS