Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
PM Thai 'tak boleh sabar' tengok Lamyai
Diterbitkan:  Jun 13, 2017 2:22 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Nama Lamyai Haithongkham bukanlah sebesar mana sebelum ini. Tambahan pula dia adalah artis baru di Thailand yang semakin menjadi perhatian ramai di negara itu.

Seorang daripada mereka ialah perdana menteri Thailand sendiri, Prayuth Chan-o-cha.

Menurut laporan media, Prayuth meminta orang ramai dan media memberi amaran kepada Lamyai kerana aksi merangsang nafsu yang dipaparkan penyanyi itu ketika di atas pentas.

"Saya mahu orang ramai dan media bagi peringatan kepada dia. Saya tak tahu apa nak buat pada orang yang suka kepada gaya, pakaian dan persembahan begini," kata Prayuth dipetik akhbar The Nation hari ini.

Tidak banyak maklumat yang dapat diperoleh mengenai Lamyai selain dia dikenali dengan pakaian seksi ketika beraksi. Gerakan tubuhnya juga berbentuk provokatif.

Dia dilaporkan menjadi sebahagian daripada penyanyi irama luk thung, iaitu sejenis muzik Thailand yang muncul selepas Perang Dunia Kedua.

Ia melalui proses evolusi pada awal abad ke-20. Genre itu paling popular di wiayah timur laut Thailand.

Media melaporkan Lamyai paling dikenali kerana aksi gerakan sembilan goyangan kepala.

Pengkritik berpendapat penampilan Lamyai, 18, tidak sesuai dengan budaya tempatan.

Sementara itu eksekutif kanan syarikat rakaman Lamyai, Prajakchai Naowarat, berkata mereka akan mengurangkan rutin menggiurkan ketika beraksi.

"Kami akan perbetulkan apa yang patut. Aksi goyangan kepala dan pinggang itu juga akan dikurangkan kepada tiga kali, bukan sembilan lagi," katanya.

Lamyai juga, kata Prajakchai, akan berpakaian "lebih baik" pada masa depan.

Bagaimanapun, eksekutif kanan syarikat Haithongkham (balang emas) itu mendakwa, gerakan itu sering dilakukan penyanyi kelas dunia.

Lamyat - atau nama sebenarnya Suphansa Vechkama - dikenali ramai melalui lagu paling popularnya, Pusao Kha Loh dan video rasminya di YouTube didakwa sudah ditonton lebih 230 juta kali hanya dalam tempoh enam bulan.

Lihat Komen
ADS