Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

BUKU Poligami; topik yang cukup digemari sesetengah lelaki baik yang sudah beristeri atau yang masih bujang. Akan tetapi, ia menggerunkan bagi setiap yang bernama isteri.

Bukan sahaja bimbang dirinya diabaikan si suami yang sudah bertemu yang lebih muda dan perawan, namum kegusaran sebaliknya berkisar akan masa depan anak-anak kelak.

Yang bermain di fikiran mereka, bagaimana nasib anak-anak jika si suami mengabaikan tugasnya sebagai bapa?

Bagaimana dengan pendidikan anak-anak? Meskipun ramai pula isteri zaman ini yang sudah berkerjaya namun bagaimana pula yang tidak bekerja dan kalaupun bekerja, gajinya cukup-cukup untuk biaya bulanan?

Menerusi 16 bab dalam karyanya, Merantau ke Deli, Hamka berbicara dengan hikmah akan kehidupan berpoligami.

Beliau mengupas bagaimana keghairahan hati seorang suami untuk beristeri muda dan kesetiaan isteri tua yang dipersiakan lantaran si suami termakan akan momokan dan mulut jahat si isteri muda.

Untuk berpoligami, bukan sekadar berfikir tentang nikmat beristeri muda dan bergetah, namun akalnya harus dipanjangkan ke masa hadapan, tatkala manis berumahtangga muda sudah beransur pergi.

Fikirannya harus jauh menjangkau hari susah sudah beranak pinak.
 

“Sungguh ramai sekali manusia yang lemah dan tak dapat mengendalikan dirinya untuk menahan hawa nafsu. Perturutkan dahulu. Buruk baiknya hitung di belakang.”

Permulaan keinginan beristeri dua

Dalam novel Merantau ke Deli, Hamka mengangkat tema percintaan dan perkahwinan antara pemuda turunan Minangkabau yang beradat berlembaga yang merantau ke bumi Deli, Leman dan perempuan Jawa, Poniem.

Dek kerana cinta yang mendalam terhadap Poniem, kuli perempuan yang cantik merangkap isteri “piaraan” mandur besar, Leman menjunjung, memahat janji setinggi langit dan sedalam lautan bahawa cintanya pada Poniem tidak akan dipersia.

Poniem diajaknya kahwin lari, memulakan hidup baharu dan bersih. Saya tertarik dengan buah fikiran Poniem mengenai pernikahan.

Katanya; “Kahwin adalah suatu jalan yang paling suci, sejahat-jahat dan semalang nasib seorang kuli perempuan kebun, masih dia satu kali selama hidupnya dapat juga hendaknya dia kahwin dengan kesaksian tuan kadi. Namun, kahwin yang suci itu belum tentu akan menjadi bahagia, barangkali membawa celaka.”

Hamka meletakkan plot penceritaan, walaupun sudah lebih lima tahun Poniem dan Leman hidup bersuami isteri, mereka belum juga dikurniakan zuriat penyambung legasi perniagaan mereka.

Saudara mara perempuan Leman, kiri dan kanan,meracun fikiran Leman agar bernikah lagi dengan perempuan sekampung sehalaman agar biar punya keturunan, bersuku, beradat berlembaga.

Menurut adat Minagkabau, sekurang-kurangnya sekali dalam hidup hendaklah dia kahwin di kampungnya sendiri. Setelah adanya isterinya di kampung, walaupun dia akan kahwin lagi sekali, dua ataupun sepuluh kali di negeri lain, tidaklah dia akan tecela, sebab dia telah sanggup mendirikan adat dan lembaga.

Acap kali saya tertanya lupakah Leman pada janjinya pada Poniem tika dia memujuk agar berkahwin lari dengannya? Padahal jika dia punya anak sekalipun dengan Poniem tetap juga dia tidak dikatakan mendirikan adat kerana Poniem itu bukan turunan Minangkabau asli.

Resah dan gelisah Leman sudah bersilih ganti dengan bayangan kecantikan, Mariatun, gadis Minang yang akan dia nikahi. Sudah bermain di layar matanya akan manisnya berumahtangga dengan gadis perawan secantik Mariatun. Sudah lupa si Leman pada sumpah dan janjinya tika dulu.

Berjanji bersumpah setia hanya pada Poniem.

Kata Bagindo Kayo; “Hatimu kalau engkau beristeri seorang lagi tidak akan tetap lagi, bertambah soal yang akan engkau fikirkan sebuah lagi, iaitu menjaga perhubungan isterimu di dalam rumah.”

Bagi saya apa yang dinukilkan oleh Hamka adalah seperti menceritakan realiti hari ini, bahawa tidak semua si isteri rela dan sanggup mengharung hidup bermadu walaupun pada asalnya si isteri memberi izin atau dia langsung tidak memberi izin.

Bagaimanapun, kehidupan berpoligami adalah menurut bagaimana si suami mengemudi sesebuah perkahwinan tersebut. Kalau sudah tidak mampu dari segi nafkah zahir seperti biaya bulanan untuk isteri, anak-anak dan segala jenis biaya bulanan, usahlah bermimpi untuk berpoligami.

Kerap dan ramai sekali laki-laki berkata, “poligami itu sunah Nabi”. Sunah poligami diperbesarkan tapi yang wajib dilambatkan.

Merujuk kepada kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mustafa bin Muluk lwn Juridah binti Jumat, Mahkamah Syariah memutuskan bahawa permohonan poligami pemohon ditolak melihatkan kepada dua isu utama.

Pertama, perkahwinan yang dicadangkan adalah patut dan perlu. Isteri pemohon pada asasnya tidak membangkang permohonan pemohon untuk berpoligami namun melihatkan kepada isu kedua kes pemohon iaitu dalam konteks kemampuan dan keadilan pemohon.

Walaupun isteri pertama telah bersetuju dengan permohonan poligami tersebut, tetapi Mahkamah Syariah tidak meluluskannya kerana wujud keraguan dari segi kemampuan pemohon dan tanggungan yang sedia ada.

Kes ini jelas menujukkan bahawa syarat-syarat berpoligami bukan bertujuan untuk mengharamkan amalan poligami. Sebaliknya, ia adalah satu keharusan bersyarat agar tidak disalahguna sewenang-wenangnya oleh pasangan.

Oleh sebab itu syarat keadilan hendaklah diutamakan dan diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh mahkamah.

Pindaan undang-undang

Bawah pindaan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) yang telah dibentangkan di parlimen pada 22 September 2005, Seksyen 23(10)(b) rang undang-undang itu memberi kuasa kepada Mahkamah syariah untuk meluluskan permohonan harta sepencarian oleh isteri pertama walaupun dia tidak diceraikan sekiranya suami mereka berpoligami.

Hal ini adalah bagi menjamin hak-hak dan menjaga kemaslahatan wanita dari segi pengurusan harta. Peruntukan ini merupakan pindaan kepada peruntukan poligami yang sedia ada dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri kecuali bagi negeri Terengganu dan Sarawak.

Terengganu dan Sarawak tidak memperuntukkan dan meminda peruntukan tentang harta sepencarian dalam poligami. Hal ini bermakna, harta sepencarian bagi negeri-negeri tersebut hanya boleh dituntut hanya setelah berlaku perceraian sama ada perceraian mati ataupun perceraian hidup sahaja.

Menurut Peguam Syarie, Roshdan Sujak Rafie menerusi artikelnya yang bertajuk “Poligami tak lupus hak harta sepencarian”, beliau menjelaskan bahawa pindaan ini memberi hak kepada pihak isteri ataupun isteri-isteri untuk membuat permohonan tuntutan harta sepencarian ke atas apa-apa harta yang diperoleh melalui usaha bersama secara khusus dalam tempoh perkahwinan (tanpa memerlukan perceraian) dan permohonan ini boleh dibuat sama ada sebelum kebenaran berpoligami diberikan kepada suami ataupun selepas berlakunya poligami dan pendaftaran poligami.

Namun permohonan ini adalah pilihan dari pihak isteri dan ia tidak mengikat permohonan poligami atau menjadi perkara yang diwajibkan dan mahkamah tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya pihak-pihak tidak membuat tuntutan tersebut.

Pada hemat saya, Hamka sepertinya sudah memberi amaran dan perhitungan bahawa kehidupan berpoligami adalah kehidupan yang sukar untuk dilalui.

Jalannya berliku kerana si suami memimpin dua insan yang pastinya berbeza sikap, sifat,keinginan dan bermacam ragam. Cemburu pasti wujud. Bagaimana dua hati yang berbeza hendak dipuaskan.

Namun pada masa yang sama, saya bersetuju dengan pindaan yang dilakukan oleh parlimen kerana ia merupakan satu perubahan besar dalam usaha melindungi kepentingan, kebajikan serta hak isteri pertama dan anak-anaknya di samping memberi keadilan dalam berpoligami.


SITI AISYAH MAISARAH BOHANG adalah graduan syariah dan undang-undang daripada sebuah universiti awam di Malaysia.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS