Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Angelina nafi eksploitasi kanak-kanak
Diterbitkan:  Jul 31, 2017 12:14 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Angelina Jolie menafikan sesi uji bakat untuk filem arahannya, First They Killed My Father dilakukan dengan 'memangsakan' kanak-kanak yang terlibat.

Pengarah berkenaan berkata demikian sebagai mengulas laporan majalah Vanity Fair yang mencetuskan kemarahan umum pengguna internet awal minggu ini apabila mereka mengkritik kaedah yang digunakan dalam uji bakat tersebut.

Kritikan yang diberikan mendakwa, uji bakat tersebut bersifat kejam dan mengeksploitasi.

First They Killed My Father merupakan filem yang diadaptasi dari memoir seorang aktivis hak asasi manusia dan pensyarah kelahiran Kemboja Loung Ung.

Angelina turut berperanan sebagai penulis selain mengarah filem berkenaan.

Drama berkenaan memaparkan kisah Loung yang hidup di bawah kekejaman regim Khmer Rouge di Kemboja.

Menurut laporan, kanak-kanak yang datang untuk sesi uji bakat dijanjikan bayaran tetapi kemudian wang itu diambil semula kononnya ia sebahagian daripada proses latihan penghayatan watak.

Pada Ahad lalu, menerusi wakil dari Netflix- yang menghasil dan mengedarkan filem berkenaan, Angelina dan penerbit Rithny Panh mengeluarkan kenyataan bersama sebagai respon kepada orang ramai yang berang dan menyangkal dakwaan bahawa produksi terbabit bersifat ekploitasi.

"Saya kecewa apabila latihan lakonan demi penambahbaikan dari babak dalam filem berkenaan dianggap seolah-olah senario sebenar.

"Tuduhan menyatakan terdapat wang benar-benar diambil dari kanak-kanak yang menjalani sesi uji bakat adalah palsu dan mengecewakan.

"Saya sendiri akan mengamuk sekiranya hal ini benar-benar berlaku," kata Angelina.

Angelina turut menjelaskan, ibu bapa, penjaga dan doktor berada di lokasi penggambaran setiap hari bagi memastikan tiada sesiapa yang mengalami kecederaan kerana mengambil bahagian dalam filem yang memaparkan sejarah hitam negara mereka.

Panh - seorang daripada mangsa yang terselamat dari regim Khmer Rouge - berkata, sesi uji bakat itu dilakukan dengan berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan penduduk negara itu

Katanya, sesebuah babak akan dilakukan oleh kanak-kanak hanya selepas mendapat persetujuan daripada keluarga dan mematuhi garis panduan ditetapkan organisasi bukan kerajaan.

"Kanak-kanak terbabit tidak diperdaya atau diperangkap seperti dakwaan sesetengah pihak. Mereka faham benar ini semua hanya lakonan semata-mata," kata Panh pula.

Sementara itu, artikel dalam majalah Vanity Fair telah memperincikan apa yang berlaku pada hari berkenaan berbanding satu perenggan yang diedarkan di Twitter yang mana ia mencetuskan kemarahan orang ramai.

Menurut kenyataaan dikeluarkan jurucakap Vanity Fair, penulis Evgenia Peretz menyifatkan dengan jelas bahawa sesi uji bakat itu dianggap sebagai ‘permainan’ dan pembikin filem bertindak melampaui batas dalam menangani tekanan psikologi ke atas pelakon dan krew apabila menghasilkan filem mengenai pembunuhan beramai-ramai di Kemboja oleh Khmer Rouge.

Filem Angelina akan ditayangkan di Netflix selepas berakhirnya Festival Filem Antarabangsa Toronto pada September depan.

Lihat Komen
ADS