Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit bimbang amalan 'duit tepi' di stesen TV
Diterbitkan:  Aug 1, 2017 11:53 PM
Dikemaskini: 4:01 PM

Dilema tidak berkesudahan mengenai ‘duit tepi’ tidak wajar dipandang ringan kerana isu berkenaan dianggap membebankan golongan penerbit drama tempatan.

Menurut Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli, sudah sampai masanya semua stesen televisyen menyiasat isu berbangkit.

Katanya, terdapat orang kanan stesen televisyen meminta ‘duit tepi’ atau rasuah daripada penerbit sebelum drama mereka dapat diluluskan untuk ditayangkan.

“Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia berharap ada pihak akan tampil memberikan maklumat mengenai orang kuat stesen televisyen minta duit agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat mengambil tindakan sewajarnya.

“Kami memandang serius perkara ini kerana kos penerbitan semakin meningkat, ditambah pula dengan ‘duit tepi’ yang penerbit perlu bayar.

“Ini akan menjejaskan kualiti penerbitan program televisyen,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Kata Jurey, masalah ini bukanlah perkara baru malah beberapa tahun lalu, PVTM telah membuat laporan kepada sebuah stesen televisyen untuk diambil tindakan.

Stesen berkenaan kemudian melakukan rombakan dan siasatan dalaman.

Jejas industri

Jurey mengulas demikian selepas ruangan pojok dalam sebuah akhbar baru-baru ini mendedahkan terdapat orang penting dalam sebuah stesen televisyen meminta rasuah.

Katanya, sekiranya tidak dipantau, amalan ‘duit tepi’ mampu menjejaskan imej industri tanah air kerana kualiti drama yang bagus diperlekehkan berbanding wang untuk lulus projek.

“Kita mahu penerbit menghasilkan program berkualiti serta dapat mewujudkan peluang yang adil dan industri yang sihat serta berdaya saing.

“Penerbit digalakkan berusaha menghasilkan produk berkualiti dalam memastikan produk mereka diterima, bukannya dengan membayar duit tepi bagi mendapatkan projek,” katanya.

Sehubungan itu, perkara berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan PVTM pada 15 Ogos depan untuk dibincangkan dan bagi mencari jalan penyelesaian.

“Isu ini akan terus dipantau oleh persatuan demi menjaga ahli yang ditindas serta menghadapi apa jua masalah,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS