Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Malay Regiment: Satu lagi propaganda anti-Cina

Setiap kali kita menyambut perayaan Merdeka pada 31hb Ogos, maka akan timbullah filem propaganda Umno yang menunjukkan orang Cina sebagai musuh negara.

Tahun lalu filem “Tanda Putra” mempamerkan unsur orang Cina yang memulakan tragedi 13 Mei, 1969. Pada tahun ini pula muncul filem Malay Regiment oleh Datuk Jurey Latiff Rosli yang menceritakan tentang pengorbanan askar Melayu melawan musuh negara.

Cuma dalam sejarah negara kita, askar Melayu hanya melawan musuh sebenar seperti tentera Jepun dan gerakan komunis 90 tahun dahulu.

Tetapi dalam filem Umno ini ditambah satu elemen baru. Sekarang Askar Melayu diminta juga melawan musuh baru iaitu DAP dan rakyat keturunan Cina yang menyokong DAP.

Filem ini menunjukkan seolah-olah Askar Melayu diminta meneruskan menentang musuh baru DAP, sebagai kesinambungan daripada perjuangan mereka dulu melawan Komunis. Saya menyeru janganlah membuang masa menonton filem ini.

Kerja jahat dan bodoh ini memalukan Askar Melayu itu sendiri. Mereka digambarkan semacam tidak peduli kepada maruah dan tanggung jawab mereka kepada negara, tetapi rela digunakan sebagai alat propaganda Umno melawan sebuah parti politik.

'Waspada taktik pilihan raya'

Askar Melayu dan seluruh anggota Angkatan Tentera Malaysia tidak berpolitik, dan tanggung jawab mereka ialah kepada Malaysia, bukan kepada Umno. Jangan sekali-kali kita merendahkan maruah mereka dan mensia-siakan pengorbanan mereka.

Umno dan BN memang takut kepada Pakatan Harapan. Malah mereka takut dengan kebangkitan rakyat sekarang ini.

Sebab itulah mereka cuba memecah-belahkan rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu dan yang berbangsa Cina.

Sekarang ini, DAP telah diterima oleh ramai orang Melayu dan inilah sebabnya Umno dan unit propaganda mereka mahu orang Melayu benci kepada DAP.

Kerana itulah, dalam trailer untuk filem tersebut, diselitkan satu adegan yang menunjukkan seolah-olah seorang berbangsa Cina ingin mengambil-alih kerajaan, ketika sedang berdiri disebelah keretanya berhadapan dengan bangunan Parlimen, dengan nombor plat yang membayangkan ianya adalah kepunyaan DAP.

Nombor kereta dalam filem Malay Regiment ini pun cuba menunjukkan bahawa orang Melayu harus benci kepada DAP.

Waspadalah rakyat Malaysia dengan berbagai taktik jahat BN musim pilihan raya ini.

 


ZAID IBRAHIM ialah bekas Menteri Undang-undang.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.
 

Lihat Komen
ADS