Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Alhamdulillah, aku bersyukur kepada-Mu ya Allah atas segala nikmat dan rahmat yang Engkau kurniakan kepadaku selama ini, hingga aku berada seperti sekarang – hidup serba sederhana tetapi sentiasa Engkau kurniakan ingatan kepada-Mu.

Di usia 68 tahun sekarang aku masih berteater, masih berkreativiti, masih aktif melakukan kerja-kerja seni dan mementaskan teater satu demi atu walaupun sudah bertahun aku berkira-kira untuk bersara bagi menumpukan perhatian ke arah amalan/kerja-kerja yang boleh membawa aku lebih mendekat kepada-Mu.

Beberapa tahun lalu aku mementaskan teater di dalam masjid-masjid dan surau-surau. Tentunya Engkaulah yang mempersiapkan prasarananya hingga memudahkan aku bergerak ke situ; bermula dengan inisiatif Cikgu Khiruddin, Pengerusi Masjid Batu di Permatang Pauh, Pulau Pinang, dengan teater berjudul Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT), lakonan Sabri Yunus dan muzik Sani Sudin.

Ia sesuatu yang tidak pernah pun aku rancang secara sedar walaupun tak dinafikan pernah aku berkhayal dan berangan-angan kemungkinan bagaimanakah agaknya kalau teater dipentaskan di dalam masjid – apakah mungkin?

Sejak 2009 itu banyaklah juga masjid dan surau yang meminta untuk teater MKDT dimainkan di sana. Alhamdulillah aku berasa bertambah yakin bahawa seni teater bukanlah semuanya kemungkaran seperti yang disangka kebanyakan orang yang berasa mereka berada lebih dekat dengan Tuhan daripada orang-orang seni.

Kemudian, suatu petang selesai solat Asar di sebuah surau dan aku melihat keluar melalui tingkapnya, tak semena-mena mata batinku seperti ternampak suatu peristiwa teater sedang terjadi di atas sepohon pokok besar tinggi di situ.

Basah muka dek air mata

Tentulah Engkau yang memperlihatkan keterpesonaan itu kepadaku, hingga hari-hari berikutnya aku berusaha menemukan sebuah karya yang ku namakan Teater Atas Pokok (TAP).

Alhamdulillah, Engkau telah kurniakan aku pengalaman yang sungguh bermakna dan indah sewaktu bekerja menghasilkan TAP. Ramai kawan menyokong dan membantu. Dan paling aku bersyukur ialah Engkau telah menyelamatkan kami semuanya.

Aku masih ingat lagi bagaimana pagi 16 April 2016 itu aku bangun tidur seperti dikejutkan oleh kesedaran bahawa aku telah dan sedang memperjudikan nasib 10 pelakon dan pemuzik, terutamanya tiga orang yang perlu membuat banyak gerakan bebas di atas pokok, bahawa keselamatan mereka sebenarnya berada dalam bahaya.

Aku benar-benar terkejut dengan risiko yang telah aku ambil dan tidak menyedarinya disebabkan oleh keadaan terpukauku (obses) dengan kreativiti dan imaginasi yang Engkau kurniakan untuk aku mencipta sebuah karya bentuk baru yang kunamakan Teater Atas Pokok itu.

Basahlah muka oleh air mata keinsafan dan kebergantungan kepada-Mu ya Allah. Bercampur baur dengan kesyukuran bahawa Engkau telah menyelamatkan kami selama ini.

Beberapa kali terjadi alat keselamatan yang dipasang kemas itu pun masih boleh terungkai, dan “nasib baiknya" pelakon berkenaan menyedarinya. Kalau tidak… (janganlah dibayangkan apa mungkin terjadi!).

Maka sewaktu taklimat pengarah sebelum persembahan, aku melafazkan ucapan sepenuhnya sambil menahan sebak. Sebak seorang hamba kerdil yang menyatakan kebergantungan kepada Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Mengasihani.

Alhamdulillah, Engkau mengurniakan kami keselamatan serentak hasil memuaskan daripada apa yang kami usahakan dan harapkan melalui persembahan TAP itu.

Kini ya Allah, Engkau kurniakan pula inspirasi “Teater di Sawah Padi” (TdSP) kepadaku, setelah Engkau uji kami dengan beberapa rintangan, kesukaran dan peristiwa yang mengecewakan.

Sawah terbentang luas

Barangkali risiko keselamatan TdSP ini tidaklah sebesar risiko keselamatan TAP. Namun siapakah dapat menafikan kemungkinan-kemungkinan risiko tersembunyi yang tidaklah kurang bahayanya!

Seperti ketika mengerjakan TAP aku bersyukur dikurniakan sahabat-sahabat yang membantu, demikian juga ketika mengerjakan TdSP.

Aku bersyukur kepada-Mu ya Allah. Memang teater adalah kerja berkumpulan dan beramai-ramai.

Bermula dengan kerja mencari lokasi dan keperluan-keperluan berkaitan dengannya, Bahrin dari Institut Darul Ehsan (IDE) tampil secara sukarela menyumbangkan pelbagai bantuan, lebih daripada yang dijangka; di samping Yassin Salleh, Has Danny, Lena Farida, Saidin Omar, Sani Sudin dan Ridzuan Idris yang sentiasa berada bersamaku dan berkarya bersama.

Tak kuduga juga guru sosiologiku waktu di universiti dulu - Syed Husin Ali yang sangat kuhormati - awal-awal lagi tampil dan hadir membantu, dan terus membantu hingga ke saat pementasan. Dan aku terus berhutang budi.

Seperti sawah padi yang luas terbuka dan terbentang itu, begitulah luasnya ruang pelbagai peluang yang Engkau kurniakan kepada kami ya Tuhan.

Diganggu bimbang, cemas

Tidak kuduga dan tak pernah terlintas dalam fikiran bahawa suatu hari aku akan membawa kawan-kawan berkarya untuk sebuah kesenian di tengah-tengah sawah padi di luar bandar.

Oh, alangkah indahnya pemandangan dan suasananya! Syukur dan terima kasih tak terhingga buatmu ya Allah!

Memang aku sentiasa berfikir dan memperhitungkan tindakan dan pilihan cara dan gaya hidupku di bidang seni teater ini apakah ia membawa aku semakin menjauhi-Mu atau semakin mendekati-Mu.

Tidak mengapalah aku belum menemukan jawapannya yang pasti. Maka aku terus berfikir dan memperhitungkan – apakah aku semakin menjauh atau semakin mendekat, dan aku menjadi bimbang dan cemas kalau-kalau aku semakin menjauh.

Memang aku sering diganggu rasa bimbang dan cemas itu ya Allah. Engkau Maha Mengetahuinya.

Saat pementasan semakin hampir. Dan aku semakin mengharap kepada-Mu ya Allah. Aku mengharapkan restu dan keizinan-Mu, dan tentunya pertolongan-Mu, kerana tanpa-Mu aku tak mungkin berbuat apa pun yang aku mahu.

Aku mengharapkan kurnia-Mu ya Allah. Aku bergantung sepenuhnya kepada-Mu! Izinkanlah pementasanku…


DINSMAN ialah aktivis teater dan Presiden Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Teater muzikal Uda dan Dara di sawah padi ini akan dipentaskan pada 12 dan 13 Ogos ini di Parit 2 Barat, Jalan Lama Bagan Terap, Sungai Besar, Selangor.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS