Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kasih tak terhingga buat bapa yang pernah bergadai nyawa untuk negara mendorong Datuk Jurey Latiff Rosli menghasilkan filem Malay Regiment.

Meskipun tanpa kelibat bapanya, detik 31 Ogos ini bakal menjadi tarikh bermakna buat pengarah dan penerbit itu apabila filem berkenaan mula ditayangkan.

“Saya mendedikasikan filem ini kepada ayahanda Kapten (B) Mohd Rosli Yahya yang pernah memperjuangkan nasib bekas perajurit.

“Selain itu, naskhah berkenaan juga dihasilkan demi mengenang jasa perajurit yang terkorban dalam mempertahankan tanah air,” katanya kepada Malaysiakini.

Bapa Jurey meninggal dunia empat tahun lalu pada usia 69 tahun.

Mengakui perasaan kagum terhadap lelaki itu tidak pernah pudar, Jurey berkata selepas pencen bapanya banyak melakukan kerja-kerja bagi membantu meringankan bekas anggota tentera yang lain.

Malah, kontroversi yang melanda filem itu juga tidak mematahkan semangatnya untuk mendedikasikan pengorbanan bapanya yang pernah menjadi naib presiden Bekas Perajurit Malaysia selama dua penggal.

Malay Regiment diinspirasikan daripada kisah benar mengenai 11 askar yang terkorban pada 1976 apabila helikopter mereka ditembak jatuh pengganas komunis.

Filem itu juga memaparkan bagaimana tiga anak muda cuba menggali kembali kisah yang berlaku kepada datuk mereka.

Sejak Isnin lalu, Malay Regiment terpalit kontroversi selepas penyiaran trailernya dimuat naik ke YouTube sehingga mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Trailer itu didakwa cuba meremeh-remehkan parti DAP selain memiliki sentimen perkauman dalam sebuah babak yang kemudian dipotong selepas dicadangkan Salleh.

Perkara terbabit bagaimanapun dinafikan oleh Jurey.

“Filem ini sebenarnya dibuat untuk rakyat Malaysia sempena menyambut bulan kemerdekaan tahun ini, malah tiada isu rasis pun.

"Bertindak adil, tengok dahulu baru nilai sama ada filem ini bodoh atau sampah seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya.

Tetap positif

Meskipun dilanda kontroversi, Jurey sekurang-kurangnya mampu menarik nafas lega kerana hasratnya untuk ‘memperkenalkan’ Malay Regiment kepada umum tercapai.

Malah, dia tetap berfikiran positif mengenai kehadiran penonton meskipun filem berkenaan pada awalnya mendapat publisiti kurang menyenangkan.

“Sama ada baik atau pun buruk, publisiti tetap publisiti. Terpulanglah kepada masyarakat untuk menerima ataupun tidak filem itu nanti.

“Biasanya, filem sejarah kurang mendapat sambutan memberangsangkan. Tetapi apabila ramai bercakap mengenai filem berkenaan, mungkin hal itu sedikit-sebanyak membuatkan ramai tertanya-tanya dan ingin menilai sendiri.

"Dalam hal sebegini, saya tetap positif kerana paling penting naskhah untuk bapa sudah pun dihasilkan,” katanya.

Pada masa sama, Jurey menegaskan masyarakat tidak perlu cepat menjatuh hukum kerana kisah dipaparkan adalah untuk memperingati bakti dicurahkan oleh pahlawan negara.

Justeru, Jurey mencadangkan kepada sesiapa yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai Malay Regiment untuk menonton kisah itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS