Mengangkat Uda dan Dara ke dalam bendang

       

ULASAN | Ia bukan sekadar persoalan teater sebagai teater, atau mengangkat sesuatu naskhah ke tempat yang kita rasa tinggi. Sedangkan tinggi itu sendiri sifatnya subjektif dan tergantung pada penilaian seseorang.

Teater di sawah padi - Muzikal Uda dan Dara - umumnya bukan sekadar teater. Ia adalah tentang pencipta Uda dan Dara serta persekitaran itu sendiri, iaitu Usman Awang.

Menurut pengarah teater, Dinsman, dia melihat Usman ada dalam watak penting Uda dan Dara, iaitu Utih.

Bersama Utih itu pula ialah pesanan demi pesanan yang perlu disebarluaskan. Justeru, sawah di kawasan perkampungan Melayu di Sungai Besar itu adalah tempat yang wajar.

Biarlah orang lain melihat Uda dan Dara dari segi keberkesanan lakonan atau elok canggung muziknya, indah cacat dialognya, atau mantap longgar pencak silatnya.

Tulisan ini melihat Uda dan Dara yang beraksi di atas sawah - suatu aspek empirikal dalam masyarakat Melayu hingga hari ini.

Ratusan orang yang menjadi penonton pementasan pada malam tadi datang dari pelbagai latar. Sebahagiannya memang 'berkorban' dengan datang dari jauh.

Meredah malam gelita

Sungai Besar dari Kuala Lumpur bukan tempat yang boleh dikunjungi dengan "saja-saja". Dari Sungai Buloh saja, kedudukan Sungai Besar itu melebihi dua marhalah. Maknanya, orang dari Sungai Buloh sudah layak sembahyang jamak kalau ke Sungai Besar.

Dari Sungai Besar, lebih dekat untuk ke Teluk Intan, Perak, berbanding Petaling Jaya Selangor.

Apa ada di Sungai Besar? Masyarakat Melayu yang mendominasi kawasan itu sehingga kira-kira 70 peratus. Daripada jumlah itu sebahagiannya adalah orang Jawa dan Banjar.

Di sana juga Umno yang dipimpin oleh ketuanya yang 'luar biasa'. Siapa tidak kenal Datuk Seri Jamal Mad Yunos?

Dalam keadaan begitulah ada orang datang bersama ipar-duai sanggup menyewa hotel di Sungai Besar semata-mata untuk menyaksikan Uda dan Dara Dinsman.

Lokasi pementasan teater itu memang mencabar bagi sesetengah orang, terutama apabila Sungai Besar bukanlah tempat yang sering dikunjungi atau dilintasi. Apa lagi mencari lokasi pada waktu malam gelita.

Namun kepuasan boleh saja diperolehi daripada lakonan dan penceritaan digarap Dinsman - tokoh teater yang masih dikenang dengan Bukan Bunuh Diri, Tamu Dari Medan Perang dan Menunggu Kata Dari Tuhan.

Sebelum ini Dinsman sudah mementaskan Teater Di Atas Pokok di Shah Alam.

Teater di sawah padi - Muzikal Uda dan Dara menghimpunkan antara lain Taufiq Izmir sebagai Uda, Yuzara Amrand (Dara) Hafidz Haikal (Alang Bakhil), Fairul Pujangga (Malim) dan Intan Suraya (Ibu Uda).

Watak penting Utih pula dibawa pelakon dari Medan, Sumater, Ilhamdi Sulaiman.

Biar bergema suaranya

Seperti kata Dinsman, Utih seorang pejuang yang mahu membebaskan masyarakatnya daripada belenggu penindasan serta pembodohan orang yang berkuasa. Orang yang menyebabkan penduduk kampung menjadi miskin dan terjajah.

Dengan watak Utih yang aneh dan dianggap gila, dia mencabar kuasa - diwakili Alang Bakhil - yang merantai penduduk kampung.

Maknanya, di dunia realiti, untuk melawan orang yang gila kuasa, kita kadang-kadang perlu menjadi 'lebih gila'. Dan Utih barangkali adalah itu.

Cuma itulah, dalam keadaan begitu akan selalu muncul Lebai yang menyandarkan hujah dan nasihatnya pada tasbih dan jubah.

Mengapa gamaknya Dinsman mementaskan Uda dan Dara di sawah padi dan bukan pentas lebih gah seperti Istana Budaya?

Dinsman pernah berkata, Istana Budaya bukan tempat yang sesuai untuk mementaskan teater. Antara lain kerana sistem bunyi dan kedudukannya yang tidak sempurna.

Lagi pula, apa sangatlah naskhah Usman Awang untuk disejajarkan dengan siri konsert yang diadakan dari semasa ke semasa di "istana" itu, kan?

Dan cukup-cukuplah kita menyerahkan makna "tinggi" itu untuk ditafsirkan pihak "istana".

Uda dan Dara layak dipentaskan di Istana Budaya jika kamu berasa teater wajib terus dielitkan dan sukar dijangkau masyarakat. Dan seperti yang dikatakan awal tadi, "tinggi" itu bersifat subjektif.

Mengangkat Uda dan Dara Usman ke tengah masyarakat kampung juga adalah aksi meninggikan naskhah sasterawan negara itu. Biar suara dan pesanan Usman melalui pelbagai watak yang ada bergema melangkaui batas bendang, ban dan pokok-pokok pisang di Sungai Besar.

Bak kata orang di kampung Uda: "Menyanyi sebagai hamba atau berdarah sebagai pahlawan?"

Teater di sawah padi - Muzikal Uda dan Dara - akan dipentaskan sekali lagi pada malam ini. Masih ada masa untuk ke Sungai Besar dan menikmatinya. Pergilah.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda