Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lagu patriotik sekarang kurang jiwa
Diterbitkan:  Aug 31, 2017 7:57 PM
Dikemaskini: 12:10 PM

Genap enam dekad sejak bendera Union Jack diturunkan di depan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.

Kemudian bendera negara - kini dinamakan Jalur Gemilang - dinaikkan sebagai tanda lahirnya tanah berdaulat, Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian membentuk Malaysia enam tahun selepas itu.

Sejak pengisytiharan kemerdekaan oleh perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj di Stadium Merdeka pada tarikh keramat 31 Ogos 1957, setiap tahun pada tarikh sama, rakyat negara ini mengenang detik itu dengan semangat kecintaan negara.

Setiap tahun, pada hari yang diisytihar cuti umum itu, program TV akan memutarkan klip video dengan lagu-lagu patriotisme, selain perbarisan di Dataran Merdeka yang meriah dihadiri segenap lapisan masyarakat.

Cukup seminggu selepas 31 Ogos, kebanyakan rakyat sudah pun menghafal lirik lagu itu.

Ada lirik yang kekal dalam ingatan baik kerana kekuatan liriknya sendiri mahupun susunan melodi. Ada pula, meski liriknya dihafal, namun terasa ada sesuatu yang kurang.

Pengalaman mendengar lagu patriotik seumpamanya dikongsi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang terasa bersemangat setiap kali dikumandangkan lagu Jalur Gemilang, Tanggal 31, ataupun Bahtera Merdeka.

“Setiap kali lagu itu dikumandangkan, terasa perasaan kasih kepada negara itu hadir daripada penulis lirik, pencipta lagu dan suasana yang menyelubungi semasa ia dihasilkan.

“Apabila kita menyertai program sambutan kemerdekaan lalu mendengar lagu Jalur Gemilang atau Tanggal 31 atau pun Bahtera Merdeka dikumandangkan, terasa semangat patriotisme kita mengalir dalam jasad kita dan rakyat yang mendengar,” katanya.

Satu Malaysia ada kurang

Bagaimanapun pada waktu ini, beliau berkata semangat yang pernah dirasai dulu semakin berkurangan sekarang.

Mohd Asri yang turut popular dengan panggilan Maza berkata kebanyakan lagu patriotik hari ini kurang berjaya mendapat tempat di jiwa rakyat.

“Pada zaman kita ini beberapa lagu termasuk lagu Satu Malaysia seakan-akan ada kekurangan pada semangat lagu-lagu tersebut.

“Lebih terasa seakan kurang cukup semangat patriotisme dalam pembikinan dan suasana kelahiran lagu-lagu tersebut. Ia lebih dirasakan bersifat sementara dan tidak 'evergreen' ataupun merentasi zaman.

“Ada pun lagu-lagu selepas zaman tersebut, terasa kurang 'rempah ratus' jiwa patriotisme padanya. Mungkin kita kena mencari puncanya," kata mufti yang sering menjadi perhatian kerana pandangannya yang kadang-kadang bercanggah dengan ilmuan konservatif.

Suka atau tidak, Perlis mempunyai mufti yang serba boleh.

Melalui status lain dalam Facebook Mohd Asri memuat naik satu klip video menyelitkan bacaan puisi bertemakan hari kemerdekaan.

Walaupun bukanlah puisi terbaik kemerdekaan yang pernah ditulis, nukilan Mohd Asri itu seperti reaksi beliau kepada situasi semasa politik Malaysia yang tidak menentu.

Klip video itu memaparkan imej-imej bertemakan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Turut dimuatkan adalah gambar seperti himpunan BERSIH, logo parti-parti pembangkang, beberapa pemimpin pembangkang dan penceramah terkenal Azhar Idrus.

Diselang seli dengan imej-imej itu adalah bacaan puisi yang antara lain baitnya ialah:
Siapa yang khianat kita terkam
Siapa yang memusnahkannya kita tikam
Siapa yang menindas jelatanya kita rejam
Siapa yang menipu penduduknya kita hentam
Kerana cinta pada watan kita tak pernah suram

Lihat Komen
ADS