Malaysiakini Seni & Hiburan

Aduhai Malay Regiment

Anne Muhammad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Filem patriotik bersempena 60 tahun kemerdekaan Malaysia, Malay Regiment memasuki minggu kedua tayangannya di seluruh negara.

Berada dalam skop filem genre patriotik, ia diarahkan oleh Datuk Jurey Latiff Rosli dan menelan belanja sebanyak RM2.5 juta.

Sebelum tayangannya bermula, filem ini telah mengundang kontroversi. Ia susulan daripada trailer filem yang memaparkan babak sebuah kereta bernombor pendaftaran DAP164 dengan seorang lelaki memakai sut berdiri di hadapan bangunan parlimen.

Bagi sesetengah orang ia seakan-akan menyindir salah satu parti pembangkang utama di negara ini, DAP. Aksara dan nombor itu menjadi antara ejekan kebanyakan tentera siber penyokong kerajaan.

Namun, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mengarahkan babak yang meremehkan DAP itu di sunting sebelum ditayang kepada umum.

Selepas dua minggu ditayangkan, hasil carian di laman sesawang cinema.com.my mendapati hanya lima pawagam sahaja di seluruh negara yang menayangkannya malah, masa tayangan pula hanya satu masa sahaja sehari.

Skim wajib tayang

Kunjungan saya ke sebuah pawagam di Shah Alam, Selangor pada Selasa lalu mendapati Malay Regiment bukanlah pilihan penonton. Justeru, untuk tayangan pada petang itu, saya seakan-akan begitu istimewa kerana Malay Regiment ditayangkan untuk saya seorang!

Ketika saya beratur untuk membeli tiket, petugas kaunter itu terkejut dengan pilihan filem yang saya akan tonton.

"Nak tengok Malay Regiment?" katanya.

Saya mengangguk, dan dia masih tidak berpuas hati. Lalu dia bertanya sekali lagi: "Betul Malay Regiment?"

Selepas menyelesaikan tontonan filem itu, saya bertemu seorang lagi petugas di panggung itu.

Dia enggan dikenali, tetapi memberitahu tayangan Malay Regiment bergantung kepada keadaan semasa. Jika ada yang membeli tiket, maka adalah. Sebaliknya jika tiada, maka ia tidak ditayangkan.

“Paling ramai yang tonton satu panggung hanya enam orang, itu pun sebuah keluarga yang membeli tiket Ahad lalu.

“Tapi kebanyakannya kami batalkan tayangan kerana tidak ada permintaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 14 September 2017 tempoh wajib tayang untuk filem itu berakhir. Dalam skim wajib tayang, pawagam perlu menayang filem yang diluluskan selama 14 hari berturut-turut.

Mampukah Malay Regiment mengalahkan hukum penawaran dan permintaan dalam kuasa pasaran?

Kisah askar gempur komunis

Malay Regiment dikhabarkan tercetus daripada insipirasi kisah sebenar yang berlaku pada 16 April 1976 dan 15 Julai 1946 iaitu ketika berlakunya operasi yang diberi nama Ops Kota Gubir I dan II yang melibatkan pasukan keselamatan dari unit 17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Ops Kota Gubir I dan II itu melibatkan askar Melayu yang menggempur komunis di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Gubir di Kedah.

Filem itu juga hasil kisah benar mengenai 11 askar yang terkorban apabila helikopter mereka ditembak jatuh komunis.

Operasi itu juga menyaksikan enam daripada 15 komunis dibunuh selain pelbagai jenis senjata dan bom dirampas.

Filem itu juga memaparkan bagaimana tiga anak muda cuba menggali kembali kisah yang berlaku kepada datuk mereka.

Malay Regiment juga mengupas wasiat yang ketiga dalam tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang wajib diketahui seluruh rakyat di negara ini.

Ia adalah simbolik kepada perjuangan dan falsafah perjuangan RAMD yang diangkat sebagai salah satu wasiat iaitu semangat dalam perjuangan demi agama bangsa dan tanah air adalah satu contoh terbaik membina bangsa Malaysia.

Teknik imbas kembali

Saya menjangkakan filem ini adalah filem yang hebat berdasarkan poster-poster terpampang di merata tempat kerana kelihatan meyakinkan.

Dari segi penyampaian filemnya pula, di peringkat awal agak memberangsangkan kerana terdapat babak mendebarkan apabila helikopter askar Melayu terhempas akibat ditembak.

Namun, agak menghampakan, selepas babak helikopter itu terhempas, jalan cerita mula meleret sehingga timbul rasa bosan.

Selain itu, jalan ceritanya yang menggunakan teknik imbas kembali dan mempertemukan dua zaman ini agak kelam kabut serta mengejutkan. Terutamanya melibatkan babak-babak zaman dulu yang ditukar kepada zaman sekarang.

Dari segi idea, menggunakan teknik imbas kembali itu pada saya agak menarik namun tidak diolah dengan baik.

CGI keterlaluan

Sepanjang menonton filem ini, bagi saya banyak babak yang tidak perlu ditampilkan.

Contohnya babak askar bersiar di dalam hutan, kelibat ular yang dua kali menjadi 'latar depan' gambar menyebabkan filem ini hilang fokus daripada tujuan asalnya.

Namun, filem patriotik ini wajar dipuji kerana menggunakan 30 peratus teknologi teknik imej janaan komputer (CGI).

Bagi saya, teknik CGI yang keterlaluan untuk babak perang kelihatan tidak sesuai kerana tidak disunting dengan baik.

Selain itu, filem ini mempunyai nilai murni tersendiri apabila memaparkan kasih sayang seorang lelaki bergelar seorang suami, bapa kepada kepada keluarga.

Filem ini juga menunjukkan bagaimana keperibadian seorang ketua kepada anak buahnya dalam mengharungi saat getir.

Catatan ini sekadar sudut pandang jujur saya sebagai penonton tunggal dalam panggung pada hari itu yang mendambakan kelainan dalam filem tempatan berunsur patriotik.

Setiap orang boleh saja mempunyai pendapatnya yang tersendiri.