Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Monodrama 3 Negara - angin yang menyejuk jiwa panas

Persembahan Monodrama 3 Negara sempena acara DiverseCity di Kompleks Kraf, Jalan Conlay pada malam 16 September lalu menjadi semakin bermakna dengan kehadiran Ken Zuraida, pengarah teater tersohor dari negara seberang.

Mempertaruhkan karyanya, Cemarawungu, lakonan solo Ambadewi Soeroso, Ken menyajikan kisah perempuan malang mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi wanita.

Ditanya khalayak dalam sesi bicara seusai persembahan, kata Ken: "Ini soal keberpihakan."

Sambung isteri allahyarham Rendra itu, dia sudah bekerja selama puluhan tahun bersama golongan termarjinalkan.

Justeru, kata Ken (gambar), isu-isu kemanusiaan yang aktual dan real seperti itu sudah mendarah daging dalam tubuhnya.

Ia menjadi pilihannya sendiri untuk ditangani dan diperjuangkan meski kadangkala dianggap tabu, atau cuba ditutup-tutup oleh institusi agama atau adat-istiadat.

Cemarawungu sebagai satu naskhah mengisahkan seorang perempuan muda yang pulang ke rumah yang terlalu lama ditinggalkannnya.

Di sana dia menemui satu kotak berisi barang-barang lamanya yang kemudian menghantar dia ke masa lalu, saat-saat bersama Mak, Apak dan Acep.

Dia mula bermonolog mengenang kisah-kisah bersama mereka, memakai sarung batik sebelum menari tarian tradisional Jawa, menyesali kisah malang diperlakukan lelaki dan mengingat negara-negara yang pernah dia lawati.

KL tak janjikan apa-apa

“Kita di negara-negara berkembang, akan sering jadi objek,” begitu kata Ken Zuraida, juga selepas persembahan selesai. “Isu-isu wanita di sini (Malaysia) bukanlah tidak ada, tetapi saya percaya ia belum terangkat ke permukaan,” katanya lagi, menjawab soalan seorang penonton yang bertanya tentang keberanian beliau mengangkat persoalan wanita yang dimangsakan, tidak seperti penggiat teater arus perdana di Malaysia yang cenderung mengambil jalan selamat dan mengabaikan persoalan-persoalan masyarakat yang lebih nyata.

Selepas Cemarawungu, muncul Sani Sudin dipancar lampu sorot, berjalan masuk dari satu sudut dengan falsafah-falsafah hidupnya.

“Kuala Lumpur tidak menjanjikan apa-apa untuk aku. Untuk kau semua juga."

“Dalam pandai, ada bodoh yang tersembunyi. Dalam bodoh, ada pandai yang tersendiri.”

“Melihat dan mendengar itu adalah membaca”.

“Hidup ini tidak pernah siap.”

“Berikan aku seringgit. Aku mahu ke Mekah.”

Sani Sudin, lewat karyanya Di Bawah Tiang Lampu, bercakap seorang diri di tengah kota, menggumam entah apa, ketawa tak usul periksa; berehat di bawah sebatang tiang lampu DBKL selepas penat mundar-mandir mengumpul tin-tin minuman dalam karung guninya.

Dia membawa watak pendeta dalam persalinan orang bodoh, watak seorang kaya dalam pakaian orang miskin.

Sani mungkin mengingatkan kita kepada orang gila yang berjalan tanpa arah punca, atau gelandangan yang mencari tempat tidur. Di sebaliknya, dialah orang yang paling tahu tentang Kuala Lumpur – selok-beloknya, malam siangnya, kerenah manusianya, malah bahasa burung-burungnya.

Selepas persembahan berakhir, apabila lampu dipadam sebelum dibuka semula untuk membolehkan para penonton pulang, kita telah pun dikenyangkan dengan santapan seni oleh para seniman ini.

Ada seorang pelajar Sekolah Seri Puteri yang turut menonton menyatakan kekagumannya terhadap persembahan monodrama ini.

Seniman yang diperlukan

Dia menyifatkan persembahan berkenaan sebagai memberi makna yang jauh lebih besar daripada yang mampu diberikan oleh filem-filem pecah panggung di pawagam

Pengalaman dan perasaan itu, katanya, dialami di sebalik set pentas yang kecil dan pelakon yang hanya seorang itu.

Jawab Sani Sudin, setiap orang punya tafsiran tersendiri terhadap apa-apa pun.

"Ia ditentukan oleh pengalaman dan persekitaran masing-masing," katanya.

Melihat kepada situasi masyarakat kita yang sakit, barangkali apa yang diperlukan di negara ini ialah didikan jiwa melalui kelembutan seni, budaya dan bahasa.

Mungkin ia adalah salah satu kaedah yang boleh dicuba.

Ken Zuraida dan Sani Sudin adalah watak-watak seniman yang kita perlukan di negara ini, atau di mana-mana pun.

Karya-karya mereka boleh merawat jiwa yang cenderung sakit oleh persekitaran yang semakin tercemar oleh kebobrokan yang jika tidak diubat segera, mungkin saja boleh menjerumuskan kita ke arah perbuatan onar seperti menghisap dadah atau membakar sekolah tahfiz.


HAIZIR OTHMAN pemuda Melaka yang kini menetap di Kelang dan bekerja dalam persekitaran buku-buku akademik di sebuah kolej swasta di Subang Jaya

Lihat Komen
ADS