Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil sebagai orang tengah untuk membantu pengadu berhubung dakwaan penipuan skim jualan rumah yang antara lain mengaitkan nama Boy Iman.

Menurut Pengurus Pentadbiran Unit Tindakan Khas (UTK) PPIM, Mohd Faris Ahmad Puzi, kira-kira seratus pengadu membuat aduan kepada PPIM selepas mengesyaki menjadi mangsa penipuan.

"Selama dua tahun kononnya projek itu berlangsung namun hanya dua atau tiga rumah saja yang siap.

"Selebihnya tiada perkembangan, jadi tugas kami di sini adalah ingin memudahkan urusan pengadu membuat tuntutan sivil dan mendapatkan wang mereka semula," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, PPIM mempertemukan Boy Iman dengan para pengadu dalam sebuah sidang media.

Pelakon dan usahawan Boy Iman atau nama sebenarnya Datuk Norul Iman Abd Rahman hadir memberi penjelasan kepada pelabur apabila syarikatnya DBI Technology turut dinamakan dalam laporan pengadu.

Tunggu keputusan rasmi

Sehubungan itu, Faris berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya masih belum boleh mendedahkan nama individu disyaki.

Sebelum ini, laman popular di Facebook PW Community menyiarkan dakwaan DBI menipu orang ramai dengan menggunakan helah menerusi skim piramid.

Boy Iman bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Ketika dihubungi, Faris turut meminta orang ramai menunggu hingga keputusan akhir siasatan diperoleh sebelum membuat apa-apa tuduhan.

"Kami masih belum memperoleh keputusan rasmi. Dia (Boy Iman) mungkin boleh didapati bersalah atau pun tidak.

"Hasil siasatan ini akan kami serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, Boy Iman membuat laporan polis ke atas pengendali Facebook PW Community dan media yang didakwa memfitnah dan menyebabkan syarikatnya rugi.

Menurut Boy Iman, dakwaan PW Community itu tidak berasas. 

Boy Iman turut mendakwa menerima ugutan di laman sosial daripada akaun yang tidak dikenali dan menyatakan kebimbangannya terhadap keselamatan kakitangan syarikatnya.

DBI Technology merupakan syarikat yang ditubuhkan Boy Iman selepas meninggakan DBI Properties, syarikat yang pernah menjadi ejen pemasaran kepada pemaju yang disyaki bertanggungjawab menawarkan banglo berharga 60,000 seunit.

Malaysiakini sudah menghubungi Boy Iman untuk mendapatkan penjelasan lanjut namun gagal.

Lihat Komen
ADS