Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Filem berkisarkan kepayahan dan kegigihan seorang guru bahasa Inggeris mengajar di kawasan pedalaman diangkat sebagai filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) malam ini.

Adiwiraku yang diarah oleh Eric Ong menewaskan empat filem lain iaitu Redha, Interchange, Hanyut dan Desolasi.

Pengumuman itu menjadi kemuncak FFM29, sekaligus menandakan berlabuhnya tirai acara berprestij untuk anugerah filem Malaysia yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra tadi.

Adiwiraku turut mengungguli anugerah Pelakon Wanita Terbaik melalui lakonan Sangeeta Krishnasamy dan Cerita Asal Terbaik (Jason Chong).

Sementara itu Dain Said pula diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik menerusi Interchange.

Selain Pengarah Terbaik, Interchange turut membawa pulang tiga trofi lain menerusi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik lakonan Shaheizy Sam, Sinematografi Terbaik (Jordan Chiam) dan Penataan Seni Terbaik (Zaharah Nakibullah).

Bagi katagori Pelakon Lelaki Terbaik ia dimenangi oleh Nam Ron menerusi filem mengisahkan kesukaran pasangan suami isteri membesarkan anak autistik, Redha.

Filem padat mesej dan menyentuh jiwa itu juga membawa pulang anugerah Pengarah Harapan (Tunku Mona Riza), Pelakon Wanita Harapan (June Lojong) dan Pelakon kanak-kanak Terbaik (Haritz Haziq).

Abang Long Fadil 2 pula diumum sebagai filem mencatat kutipan tertinggi apabila mengaut sebanyak RM17.3 juta walaupun ketika ini tayangan filem itu masih berlangsung di pawagam.

Ini adalah filem ketiga bagi Astro Shaw selaku penerbit yang mencatat kutipan tertinggi selepas Polis Evo dan The Journey.

Nama lima finalis hanya diumumkan pada malam majlis berlangsung bagi mengelak kontroversi tahun lalu berulang kembali.

Finas sebelum ini menerima pelbagai kecaman apabila mengumumkan pengasingan kategori Filem Terbaik dan Filem Nasional mengikut bahasa.

Namun tahun ini, Finas memansuhkan Filem Nasional dan membuka ruang sebanyak 53 filem dalam pelbagai bahasa untuk merebut Anugerah Utama iaitu Filem Terbaik pada FFM29.

Finas sebelum ini menerima penyertaan 41 buah filem berbahasa Melayu, enam Mandarin, lima Tamil dan satu Inggeris.

Sementara itu, Datuk Yusof Haslam dinobatkan Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman. Tahun lalu Anugerah itu dibawa pulang oleh Deddy M Borhan.

Manakala Anugerah Khas Juri diberikan kepada Desolasi karya arahan Syafiq Yusuf, Shutter Life (Tan Seng Kiat) dan Pekak (Khairul Azri Md Noor).

Lihat Komen
ADS