Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kassim Ahmad mungkin lebih dikenali lewat polemik antihadis yang timbul selepas bukunya, Hadis: Satu Penilaian Semula diterbitkan pada 1986.

Apa yang amat jarang diangkat daripada anak kelahiran Kedah itu ialah idea-idea perlawanannya yang disimpulkan dalam lima ciri oleh Dr Teo Lee Ken dari National University of Singapore iaitu:

  • Wacana masyarakat tanpa kelas (yang meliputi ras, agama, ekonomi dan lain-lain)
  • Sosioanalisis kuasa,
  • Perubahan sosial secara total (termasuklah secara struktural mahupun material)
  • Kritikan sosial
  • Budaya serta khazanah nasional

Menjadi salah seorang panel sesi dialog, Teo mengupas pemikiran Kassim yang disifatkannya sebagai satu susuk berwarna-warni dan menarik.

Betapa berwarna-warninya Kassim dapat dilihat sejak zaman mudanya, ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda dan sarjana di Universiti Malaya Singapura pada 1950-an sebelum berkhidmat dalam agensi kerajaan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dia kemudian mengajar di School of Oriental and African Studies (SOAS) di University of London, menulis Hikayat Hang Tuah yang mengangkat Hang Jebat sebagai wira dan selepas itu menyertai Partai Rakyat Malaya (PRM).

Semasa bersama PRM Kassim sempat menukar nama parti tesebut kepada Partai Sosialis Rakyat Malaya.

Samakan taraf Quran, hadis

Kassim pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama lima tahun.

Warna Kassim yang paling silau barangkali adalah apabila beliau menyertai Umno pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ramai yang tidak adil pada Kassim. Beliau sebenarnya bukan antihadis,” kata Zahid M Nasser, penulis muda lulusan Usuluddin dari Universiti al-Azhar yang turut menjadi panel.

Kenyataan itu mungkin akan menjernihkan pandangan keras banyak orang terhadap Kassim.

Sambung Zahid, Kassim tidak menolak hadis sebaliknya tidak bersetuju dengan pandangan yang menyamatarafkan al-Quran dengan hadis.

Walaupun kelihatan seperti membela Kassim, Zahid sebenarnya “tidak puas” dengan Kassim yang menurutnya tidak menawarkan penyelesaian kepada rungutannya sendiri.

Kata Zahid, Kassim sepatutnya mengeluarkan kaedah-kaedah usul dengan menulis tafsirnya sendiri.

"Katakanlah, namanya Tafsir al-Kassim," cadang Zahid.

Walaupun mungkin tafsirnya nanti tidak diterima orang pada masa ini, siapa tahu pada masa akan datang, idea-idea pengagum Hassan Hanafi itu akan diangkat dan dibicarakan – seperti yang terjadi kepada idea-idea dari aliran Muktazilah.

Dan jika kita menyangka idea kontroversi Kassim tentang hadis sebagai satu-satunya idea beliau, kita silap besar. Kassim jauh lebih berperanan daripada itu.

Kekuatan utama Kassim, menurut Teo, ialah sebagai pemikir sosial, terutamanya berkait politik dan budaya.

Sidang Roh di Utusan Zaman

Kassim adalah antara tokoh langka (kalau bukan satu-satunya) di negara ini yang berupaya memadukan politik dengan budaya.

Apa yang berlaku pada dalam politik negara hari ini adalah gabungan antara kapitalisme yang negatif dengan agama yang negatif,.

Tiada tokoh politik atau pemikir politik kontemporari yang mampu mengungkapkan idea-idea baru dan segar - seperti yang dilahirkan Kassim pada zamannya - untuk keluar dari lubang biawak itu.

Seorang lagi panel Dialog Obscura: Siapa Kassim Ahmad? pada 23 September lalu ialah Ainunl Muaiyanah yang lebih gemar melihat Kassim sebagai seorang sasterawan.

Ada satu ungkapan yang berbunyi “satu karya yang baik adalah karya yang berbicara lebih kuat daripada diri penulisnya”.

Sajak Kassim, Sidang Roh yang tersiar di Utusan Zaman keluaran Ogos 1960 disifatkan sebagai memenuhi ciri tersebut apabila ia dikatakan mendapat sambutan secara meluas melampaui peribadi Kassim sendiri.

Sajak itu juga terdapat dalam buku yang mengumpulkan karya-karya Kassim (sajak dan puisi); Kemarau Di Lembah terbitan Teks Publishing (1985).

Ainunl menyukai cerpen Satu Cerita Biasa dalam buku tersebut yang menurutnya mewakili gagasan pemikiran Kassim. Namun, seperti Zahid, Ainunl juga “tidak puas” dengan Kassim kerana tidak lagi menghasilkan karya-karya sastera hebat seperti dalam Kemarau Di Lembah sebagai respon kepada situasi semasa.

Kekuatan Kassim dalam sastera bagaimanapun lebih terserlah lewat esei-esei kritikannya yang dikumpul dalam Dialog Dengan Sasterawan.

Beliau mengkritik keras Masuri SN, Datuk A Samad Said, Datuk Shahnon Ahmad dan lain-lain tanpa menyimpan kuku. Kritikan yang jika dibuat pada masa ini, mungkin membolehkannya disaman.

Surah paling digemari

Sebagai pendukung agenda seni untuk masyarakat pada zaman ASAS ‘50, sejak dari awal Kassim (dan sasterawan lain) “bergaduh” dengan Hamzah Hussin yang mendukung seni untuk seni.

Dan beliau seperti tidak pernah bercadang untuk menukar sikapnya kepada sesiapa pun.

Apabila Kassim menulis Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam (2008), tidak ramai yang percaya beliau telah berubah.

Salah seorang daripadanya termasuklah Teo sendiri. Katanya perubahan sikap Kassim sama ada dari Marxisme, sosialisme, marhaenis, Islamis, atau Quranis tidak menukar lima ciri yang ada pada dirinya (seperti yang disebut di atas).

Kassim hanya berubah dari segi pendekatan, atau perumpamaannya seperti menukar baju. Semangat melawannya masih ada di sana. Sikap Kassim konsisten terhadap golongan yang tertindas.

Apabila ditanya apakah surah dalam al-Quran yang paling penting baginya, Kassim menjawab surah al-Ma’un - yang mencelakakan orang yang menunaikan solat tapi lalai, tidak memberi sedikit pertolongan kepada orang yang berhak mendapatnya.

Ia adalah surah yang menyebut dengan jelas celaan kepada orang yang menindas, menzalimi anak yatim, orang miskin adalah para pendusta agama.

Rencamnya Kassim, ironi, paradoks, atau apa pun sikapnya - tidak penting bagi kita. Apa yang penting adalah bagaimana kita menanggapi fikirannya untuk diterjemahkan dalam konteks semasa, juga bagaimana caranya menjawab soalan yang ditanyakan Marx: “What is to be done?” (Apakah yang perlu dilakukan?).

Penutup Teo pada malam itu agak menarik.

“Kita tidak perlukan Kassim Ahmad. Kita perlukan seribu Kassim Ahmad yang baru," katanya.

Dialog itu diadakan pada 23 September lalu di Rumah Attap Library . Seorang lagi panel yang dijemput ialah wartawan veteran, Wan Hamidi Hamid. Nazir Harith Fadzilah pula bertindak sebagai moderator.


HAIZIR OTHMAN anak kelahiran Melaka yang meminati seni, sastera dan falsafah secara sederhana, kerana Sapardi juga menggunakan pedoman yang sama dalam bercinta.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS