Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bisik Pada Langit - Tersentuh tapi tak cukup menyentuh

ULASAN FILEM | Filem ini memang menarik tetapi bukanlah yang terbaik daripada Kabir Bhatia

Tulisan ini dimulakan dengan bernostalgia bahawa sinema Malaysia pernah ada melodrama yang hebat pada era 80-an.

Tentu ada yang masih ingat filem seperti Dia Ibuku (1981) arahan Yassin Salleh, Esok untuk Siapa (1982) arahan Jins Shamsudin, Ranjau Sepanjang Jalan (1983) arahan Jamil Sulung dan Bila Hati Telah Retak (1983) arahan Rahman B.

Saya tidak ingat melodrama yang lahir pada tahun 1990-an. Tiada yang melintas di fikiran saya. Hanya ada satu yang melekat dalam ingatan, iaitu Sayang Salmah (1995) arahan Mahadi J Murat.

Kebanyakan filem selepas itu terhasil dengan apa yang disebut sebagai “formula filem Melayu”. Ada filem yang berjaya dan ada filem yang gagal – sesuatu yang lumrah. Boleh dikatakan kita memang kurang filem yang menjual air mata di panggung.

Lantas setelah sekian lama, Kabir Bhatia menyajikan kita dengan Bisik dari Langit yang pada mulanya hanya dirancang untuk tayangan di televisyen menerusi Astro First Eksklusif.

Bagaimanapun, pihak Astro berkemungkinan menganggap karya Kabir Bhatia ini boleh memberikan impak tontonan yang besar lalu mempersembahkannya di layar lebar.

Tanpa jubah, celak dan tasbih

Karya daripada idea asal Saniboey Mohd Ismail ini bukan hanya dibawa ke panggung malahan diterbitkan dalam bentuk novel karangan Siti Khadijah, terbitan Penerbit Karyaseni. Novel ini telah dinobatkan sebagai novel terbaik dalam Anugerah Buku Negara 2017.

Bisik Pada Langit ialah filem keluarga yang melontarkan nilai dan pengajaran kepada penonton. Kekuatan filem ini ialah jalan cerita yang kemas walaupun banyak menggunakan teknik imbas kembali. Teknik ini selalunya gagal dalam filem Malaysia.

Kabir Bhatia meletakkan penonton dalam jalur cerita melalui adegan demi adegan yang mencengkam perasaan. Bagaimanapun sejujurnya, saya biasa-biasa sahaja pada awal membawa ke pertengahan dan praakhir filem ini.

Ada perasaan sedih tapi tidak begitu sebak seperti sewaktu saya menonton Redha (2016) arahan Tunku Mona Riza.

Bagaimanapun, apabila tiba adegan Irwan (Erwin Dawson) memainkan rakaman video Siti Hajar (Ummi Nazeera) mula terasa hiba sangat.

Adegan selepas itu lebih menyentuh perasaan, iaitu sewaktu Irwan bersalam dengan Wak Rosli (Jalil Hamid). Dapat dirasakan penanggungan emosi yang berat seorang kawan dan seorang ayah. Sebak terasa pada momen ini.

Selain jalan cerita, kekuatan utama Bisik Pada Langit ialah kemantapan lakonan yang dibawa oleh pelakon yang berwibawa dan telah teruji seperti Jalil Hamid, Beto Kusyairi dan Fadilah Mansor. Lakonan Naim Daniel yang membawa watak Iqram dalam flem ini juga wajar diberikan perhatian.

Selebihnya, senimatografi di bawah pengarah fotografi, Norhanisham Muhammad (Labu) juga memikat mata. Lokasi yang menarik di Tanjung Piai, Johor dan Perth, Australia bukan sahaja diabadikan dengan baik tetapi juga mengemaskan perjalanan cerita.

Tanpa doa merayu-rayu

Lagu Lygophobia dendangan Akim & The Majistret, ciptaan Hang Nadim dan lirik ditulisnya oleh Laq juga berjaya meruntun jiwa penonton.

Muzik latar juga telah dikraf dengan sempurna agar menyebati dengan cerita dan bukan sekadar tempelan semata-mata.

Adegan paling menarik bagi saya ialah sewaktu ketibaan jenazah Siti Hajar ke pekarangan masjid. Pengarah lazimnya menggunakan adegan pengebumian di tanah perkuburan untuk menggambarkan kematian.

Kabir Bhatia sebaliknya memaparkan adegan solat jenazah dan kenduri arwah yang telah usai. Satu gambaran yang sederhana tetapi bermakna.

Bisik Pada Langit juga membuktikan bahawa citra Islam dalam filem tidak hanya memerlukan watak-watak berjubah labuh, bercelak hitam dan tasbih tak lekang di tangan.

Citra Islam boleh sahaja ditunjukkan dengan bersahaja dan lebih natural melalui perlakuan watak biasa.

Kabir Bhatia tidak menggunakan adegan berdoa dengan ungkapan merayu-rayu kepada Tuhan seperti yang selalu kita lihat dalam drama Melayu. Cukup sekadar adegan solat ketika Siti Hajar sedang nazak.

Begitu juga adegan Wak Rosli mengajak Zaidi ke masjid untuk melakukan solat syukur setelah menerima berita daripada Irwan bahawa Siti Hajar telah sedar. Atau adegan Zaidi mengajak ayahnya berwuduk ketika dalam keadaan marah.

Bukan Kaki Bakar

Begitupun, saya tidak menganggap ini sebagai karya terbaik Kabir Bhatia. Sejak menonton iklan acah filem ini di televisyen dan menontonnya di panggung saya kekal tertanya-tanya – apakah perlunya Bisik Pada Langit dibawa ke layar lebar?

Saya tidak boleh lari daripada membezakan filem ini dengan filem melodrama yang saya nyatakan di awal tulisan ini. Saya tidak merasakan Bisik Pada Langit mempunyai idealisme yang kuat dan permainan visual yang lebih kental untuk menjadikannya sebuah filem yang menjanjikan di layar lebar.

Pada hemat saya, karya Kabir Bhatia ini selayaknya kekal disiarkan di televisyen sahaja.

Pengalaman menonton dua karya terbaik Kabir Bhatia, iaitu Cinta (2006) dan Sepi (2008) di layar lebar tidak ada dalam Bisik Pada Langit. Bagaimanapun, ini tidak bermakna filem ini mengecewakan. Cuma, kekuatannya sebagai filem untuk tayangan di panggung tidak menyerlah.

Sebenarnya, ini bukan hanya berlaku pada Bisik Pada Langit. Ada banyak lagi filem Malaysia yang ditayangkan di panggung tidak mempunyai ruh sebagai filem yang selayaknya ditayangkan di layar lebar. Sebaliknya, hanya layak dianggap sebagai drama televisyen yang dibawa ke panggung wayang sahaja.

Ada satu kisah klasik tentang hal ini. U-Wei Haji Shaari pernah menghasilkan Kaki Bakar (1995) untuk siaran televisyen. Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu drama ini telah ditolak untuk tayangan.

Selepas itu, karya yang dihasilkan dengan format filem 16mm ditukar kepada format filem 35mm. Proses ini dibuat di Australia. Kaki Bakar kemudian menjadi filem Malaysia pertama yang ditayangkan di Festival Filem Cannes di Perancis, sebuah festival filem yang berprestij.

Berbalik kepada Bisik Pada Langit, saya ulangi bahawa filem ini memang menarik tetapi bukanlah yang terbaik daripada Kabir Bhatia. Dari segi idealisme pula, karya ini pada hemat saya wajar kekal untuk tayangan di televisyen sahaja.

Saya tersentuh hati semasa menonton filem ini tetapi tidak sampai menyentuh jantung sebagai filem tayangan di panggung. Untuk standard Kabir Bhatia, saya mahu filem panggung yang lebih baik berbanding Bisik Pada Langit.


RIMANILZAH lelaki dari 'kota basah' di utara semenanjung. Peminat filem, buku, sajak dan barang vintaj, dulu dia lelaki urban sebelum kini berubah menjadi lelaki uban.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS