Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon popular Datuk Jalaluddin Hassan bersedia menjalani hidup baru jika jodoh beliau dengan seorang ibu tunggal yang juga ahli jawatan kuasa (AJK) masjid menjadi kenyataan.

Jalaluddin juga berkata bapanya Tan Sri Hassan Azhari pernah menyarankan dia memilih anak dara sebagai teman hidup.

Bagaimanapun katanya wanita yang belum pernah bersuami tidak menjamin sesuatu rumah tangga bebas daripada masalah.

"Saya memberitahu bapa agar tidak meletakkan syarat sebegitu kerana belum tentu anak dara dapat menjanjikan kebahagiaan.

"Saya juga takut timbul hal remeh temeh kalau ikut syarat itu malah berasakan tiada sesiapa boleh menggantikan tempat isteri," katanya.

Pandai masak asam pedas

Menurut Jalaluddin, ciri-ciri yang terdapat pada bakal isterinya itu mempunyai banyak persamaan dengan arwah isterinya Datin Hashimah Mad Ehsan.

Justeru keadaan itulah yang benar-benar menyentuh perasaannya dan mendorong beliau membuka hatinya untuk beristeri sekali lagi.

"Arwah memang suka memasak dan rajin ke masjid selain sering menganjurkan majlis keilmuan.

"Wanita berkenaan memang pandai memasak asam pedas dan membuat sambal belacan seperti arwah.

"Mungkin Allah memakbulkan doa saya dan nak atau tidak mahu, jika berkahwin dengannya saya memang sudah bersedia berubah dan memperbaiki diri," katanya.

Jalaluddin, 63, ditemui pada majlis pelancaran teater Bahara Emas anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, masih terlalu awal buat Jalaluddin yang pernah mengacarakan rancangan kuiz Who Wants to Be A Millionaire itu untuk melangsungkan sebarang acara perkahwinan.

Bertemu menerusi Facebook

Katanya, beliau ingin menunggu hingga genap setahun pemergian arwah isterinya yang meninggal dunia pada November tahun lalu.

Jalaluddin bertemu dengan wanita yang juga ibu tunggal berusia 44 tahun itu menerusi Facebook.

"Saya tidak menyangka dia adalah adik kepada sahabat karib saya.

"Kali pertama saya berhubung dengannya dengan mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan semoga mendapat ibadah berkat tetapi dia tidak menjawab mesej itu.

"Selepas itu kami berjumpa buat pertama kali semasa menghadiri rumah terbuka sahabat karib saya itu dan kami mula bertukar-tukar nombor telefon," katanya.

Lihat Komen
ADS