Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Berbanding segelintir pengguna yang gemar menyalahertikan penggunaan Bigo Live, pelakon Saharul Ridzwan pula memilih untuk memanfaatkan aplikasi itu dengan pendekatan positif. 

Bagi Saharul, Bigo Live mempunyai faedah tersendiri sekiranya aplikasi itu digunakan dengan baik. Misalnya untuk berdiskusi atau memaparkan kreativiti penggunanya.

“Saya bersiaran secara langsung bukan untuk saja-saja tetapi ada topik untuk diketengahkan. Antara topik saya bincangkan misalnya murah rezeki atau melaksanakan tanggungjawab.

“Pengguna yang menyambut isu dan mengutarakan buah fikiran mereka pula bukan calang-calang orang. Ada di antara mereka profesor dan individu dari bidang profesional,” katanya.

Pemilik nama penuh Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 28, itu ditemui pada majlis pengumuman Anugerah Skrin (ASK) 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dua drama dilakonkan Saharul, Kapcai Ayah dan Trauma, antara 19 naskhah yang tercalon untuk merebut gelaran drama terbaik pada acara yang dijadual berlangsung 3 November ini.

Pada kebanyakan orang, Bigo Live dianggap banyak mendatangkan kesan buruk berbanding baik. Hal itu khususnya berlaku buat golongan wanita yang tidak segan silu memakai pakaian seminima mungkin ketika mengakses aplikasi berkenaan.

Itulah perkara yang pernah terjadi kepada pelakon Fathia Latiff dan Natasha Elyzza apabila keseronokan mereka bertukar menjadi ‘mimpi ngeri’ hanya dalam tempoh beberapa saat.

Kenali peminat lebih dekat

Dalam Bigo Live, Fathia yang biasa muncul di khalayak ramai dengan imej muslimah, dilihat menari-nari dengan aksi memberahikan hingga menampakkan sebahagian buah dadanya.

Nama Natasha turut terpalit apabila dipersalahkan kerana menjadi invididu bertanggungjawab merakam dan menyiar situasi ketika itu.

Saharul yang melihat gambaran mengenai Bigo Live dalam sisi yang berlainan yakin aplikasi berkenaan tidak harus dipersalahkan sebaliknya, bergantung kepada individu yang mengakes media sosial itu.

Pun begitu, Saharul tidak mengaitkan kenyataannya dengan sesiapa terutama ‘fenomena’ yang menghangatkan industri tanah air baru-baru ini itu.

Kata pelakon Hati Perempuan itu, tidak wajar aplikasi yang membolehkan seseorang penyiar (broadcaster) berinteraksi secara langsung dengan penonton itu dianggap hanya mendatangkan perkara tidak berfaedah.

“Semuanya terpulang kepada diri sendiri. Jangan salahkan aplikasi itu. Kalau memang mahu buang masa maka Bigo Live tidak akan memberikan anda sebarang faedah,” katanya.

Menurut Saharul lagi, menerusi Bigo Live, dia boleh mendekatkan diri dengan peminat sekurang-kurang tiga kali sehari walaupun ketika sedang sibuk menjalani rutin seharian sebagai seorang artis.

Dan hal itu sekali gus membuka peluang untuk dia menambah dan mengenali peminat dengan lebih ramai.

“Pada sebelah pagi khusus untuk bertukar-tukar maklumat atau isu semasa, tengah hari berkongsi kehidupan di lokasi penggambaran sebagai artis dan malam pula untuk sesuatu yang lebih santai,” katanya.

Lihat Komen
ADS