Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Maya Karin teruja tapi belum cukup puas dengan Tun Fatimah

Walaupun sudah berakhir, persembahan Maya Karin dalam teater Tun Fatimah di Teater Bangsawan Melaka baru-baru ini ditelah meninggalkan kesan amat mendalam di lubuk hatinya.

Bukan saja pelbagai perkara baru dapat dipelajari - khusus bab bahasa Melayu klasik - anak kacukan Melayu dan German itu turut berpeluang mendalami serba sedikit ilmu persilatan.

Dengan persembahan tidak mengecewakan Maya dilihat berhasil memberikan lakonan terbaik setanding dengan usaha latihan singkat.

Pun begitu, menggambarkan dirinya seakan “tidak puas” Maya berkata, alangkah bagusnya jika dia tidak perlu bergelut dengan masa bagi mewarnai watak seorang Tun Fatimah, puteri kepada Bendahara Melaka, Tun Mutahir itu.

“Tempoh masa diberikan ialah sebulan untuk membina karakter Tun Fatimah, manakala tiga minggu untuk mendalami silat. Ia memang tidak cukup buat saya.

“Jika diberikan masa yang lebih, saya benar-benar ingin memperbaiki mutu lakonan selain diberi ruang secukupnya untuk menjiwai bahasa Melayu klasik,” katanya.

Selain Maya, naskhah arahan Lokman Ghani itu turut dibintangi Remy Ishak yang membawakan watak Sultan Melaka, Ashraf Muslim (Tun Ali), Roslan Salleh (Bendahara), Ruzaid Abdul Rahman (Mendaliar), Isma Halil Hamzah (Laksamana Khoja Hassan) dan Ebby Yus (Kitul).

Sebenarnya Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia itu begitu teruja apabila namanya dipilih bagi menjayakan Tun Fatimah.

Nasib baik hanya latihan

Alasannya itulah buat julung kalinya dia dapat beraksi untuk pentas teater bangsawan, dan kedua, dia juga dapat bersilat.

Malah, apabila pelakon yang baru menyambut hari lahir ke-38 itu baru-baru ini berpencak buat kali pertama di atas pentas, hatinya terus terpukau dengan seni bunga-bunga ilmu mempertahankan diri yang dipelajari.

“Kalau ada waktu terluang, mungkin saya akan memasuki kelas belajar silat selepas ini untuk belajar lebih banyak rahsia bidang itu,” katanya.

Menyentuh bab bahasa Melayu klasik dan persilatan, kedua-dua perkara itu diakui Maya sememangnya memerlukan penghayatan sepenuh jiwa.

Sejak sesi latihan lagi, pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu berkata dia diuji pelbagai aspek terutama mengenai kemampuannya untuk mengingat dialog yang didapati amat mengelirukan.

Kata Maya, ada masanya dia tersasul menyebut beberapa perkataan kerana terkeliru dengan maksudnya, seperti gundah-gulana, datuk bendahara dan bandar raya.

Hal itu bukan saja mencuit hati pelakon lain malah Maya kerap kali menjadi bahan usikan kru produksi disebabkan telatahnya itu.

“Nak sebut datuk bendahara tapi yang terkeluar dari mulut datuk bandar raya. Nasib baiklah kejadian itu hanya berlaku semasa sesi latihan.

“Gitulah jadinya apabila budak Jerman disuruh berbahasa Melayu klasik, tapi saya berusaha sehabis baik untuk memahami setiap perkataan yang ada dalam skrip,” katanya yang dalam perkembangan lain akan muncul dalam dua filem tahun depan, Munafik 2 dan Olympic Dream.

Persembahan teater Tun Fatimah itu diadakan sempena majlis memperingati hari kelahiran ke-79 Yang Dipertua Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Lihat Komen
ADS