Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Ketika zaman mudanya dia pernah diiktiraf sebagai wanita tercantik Malaya oleh majalah antarabangsa, Times, dan dikenali sebagai pelakon berbakat.

Namun, di sebalik pujian diberikan itu dia tetap merendah diri. Malah dia enggan mengaku dirinya cantik apatah lagi pandai berlakon.

Dia - primadona Datuk Seri Maria Menado - malah menegaskan dirinya hanya orang biasa-biasa saja, bukan seperti yang selalu dianggap orang.

"Nombor satu, saya bukan aktres terbaik dan nombor dua, bukan aktres tercantik. Saya orang biasa-biasa saja. Tetapi itu tidaklah bermakna saya menolak pengiktirafan media itu," katanya.

Maria - atau nama sebenarnya Liesbet Dotulong - ditemui sempena tayangan semula filem klasik Hindi, Singapore terbitan 1960 di Kuala Lumpur semalam.

Dilahirkan pada 2 Februari 1932 di Manado, Sulawesi Utara Indonesia, Maria ialah sosok bintang filem yang cukup terkenal sekitar tahun 1957 hingga 1963.

Melalui lakonannya yang berkesan dalam Pontianak, filem seram tempatan sulung yang diterbitkan pada 1957, karier Maria semakin melonjak sekaligus membawa kemasyhuran kepada namanya.

Selain Majalah Times, Maria turut mendapat gelaran Glamour Girl di Malay Filem Production dan Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara oleh pertubuhan berita United Press International.

Menceritakan perjalanan hidupnya Maria berkata begitu banyak pengalaman dilalui, bermula daripada susah hingga senang.

Ketika itu katanya gaji sebagai anak wayang memang kecil. Namun Maria bersyukur diberi bayaran paling tinggi iaitu sebanyak S$250 berbanding artis lain sekitar S$100 hingga S$150. Manakala bonus pula S$500 bagi setiap filem dilakonkan.

“Saya bersyukur kerana bertuah dapat bayaran tertinggi daripada Show Brothers, mungkin juga bos memang suka saya.

“Iyalah, saya datang dari Indonesia ke Singapura dan pernah menjadi model dalam bidang peragaan,” katanya mengulas mengenai pencapaian karier seninya.

Sewaktu di puncak kemasyhuran itulah Maria, menjadi aktres Melayu pertama yang diberi peluang membawa watak jahat di samping pelakon Hindi, Shammi Kapoor, dalam Singapore.

Kerjaya filem Maria terhenti selepas bernikah dengan Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin pada 1963. Sejak itu Majlis Diraja Istana Pahang mengumumkan filem-filemnya dilarang daripada ditayangkan.

Pada ketika itu Maria sudah membintangi 20 buah filem dalam tempoh 12 tahun termasuk Penghidupan bergandingan dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee (pada 1951), Dendam Pontianak (1957), Sultan Mahmud mangkat dijulang (1961), Tun Fatimah (1962) dan Raja Bersiong (1968).

Meskipun tidak lagi aktif berlakon, Maria masih mengikuti perkembangan terkini industri seni tanpa jemu.

Dia malah berpendapat aktres zaman kini amat bertuah walaupun sekiranya tidak mempunyai bakat yang seberapa mereka masih boleh berguru untuk mendalami ilmu lakonan.

“Dulu kami perlu belajar dan cuma membayangkan bentuk karakter yang diinginkan sendiri berbanding sekarang di mana mereka boleh masuk ke kelas lakonan dan belajar,” katanya.

Lihat Komen
ADS